Wednesday, September 15, 2010

5 Syawal 1431 Hijrah

"Apasal feri ni senget?" Tanya saya kepada isteri saya. Penumpang lain juga berasa sedemikian. Ada yang berbisik-bisik sesama sendiri. Ada juga yang mengambil tindakan dengan memindahkan beg-beg ke tempat kain dengan harapan dapat kurangkan keadaan senget. Apapun, keadaan menjadi normal apabila feri tersebut memulakan perjalanan. Agaknya sebelum bergerak tadi, mungkin kemudi feri tidak berada di posisi asal sehingga menyebabkan feri kelihatan agak senget, entah le itu cuma telahan saya. Perjalanan mengambil masa sejam dari Langkawi ke Kuala Perlis. Kami bertolak dari Langkawi lebih kurang jam 3 petang. Apabila sampai di Kuala Perlis, saya menghadapi sedikit masalah untuk mengesan beg kerana posisi asalnya telah berubah. Ianya mungkin ada kaitan dengan beg-beg yang telah dipindah tadi. Dari Kuala Perlis, kami bertolak menuju ke Taiping.


Kompleks terminal jeti di Kuah

Kapal-kapal layar tidak jauh dari jeti Kuah

Jeti Kuah

Salah satu feri ke Kuala Perlis

Tuesday, September 14, 2010

4 Syawal 1431

"Kalau nak beli minyak gamat, baik kita pergi terus ke kilang dia", bonda mertua saya memberikan cadangan. Lagipun bonda mertua saya kenal dengan pengusaha minyak gamat. Pagi itu, kami sekeluarga ke Warisan Salju. Letaknya di Bayas, beberapa km dari Kuah. Kalau tak silap saya, pengusahanya kini adalah generasi yang ke-3. Katanya, selain di Langkawi, mereka juga ada sebuah kilang di Kelantan dan pusat pemasaran di Kuala Lumpur. Sambungnya lagi, kalau berminat untuk menjadi pengedar di sekitar Kuala Lumpur, bolehlah berhubung dengan pejabatnya di sana. Sempat juga saya berbual-bual dengan pengusaha syarikat tersebut tentang pengalamannya mengendalikan perniagaan. "Ada juga beberapa produk kami yang masuk iklan dalam TV", kata pengusaha syarikat tersebut yang dikenali dengan nama Encik Noor Muhammad kepada saya.
Di sebelah petang, saya membawa anak-anak saya dan seorang anak saudara saya bersiar-siar di tepi pantai yang tidak jauh dari Masjid al-Hana, Kuah. Sebaik sahaja kami sampai di gigi pantai, ada seorang lelaki India yang lengkap dengan backpackernya datang menghampiri anak-anak saya. "Mari sini uncle nak bagitau. Kalau jumpa botol plastik dan sisa buangan, sila kumpul dan buangkan ke dalam tong sampah", kata lelaki India itu. Lelaki India itu kemudiannya menghampiri saya. "Memang hari-hari saya datang sini. Setiap orang yang saya jumpa pasti saya akan maklumkan kepada mereka tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Menjaga alam sekitar sangat penting untuk generasi akan datang. Kalau kita tidak menjaganya, sudah pasti generasi akan datang tidak dapat menikmati keindahan pantai seperti yang kita nikmati hari ini", kata lelaki India itu kepada saya dengan penuh bersemangat.




Gamat yang telah dikeringkan

Yang diluar kotak kaca itu ialah Raja Kayu

Gambar gamat

Bahan-bahan yang berkaitan dengan perubatan tradisional

Produk-produk keluaran Warisan Salju

Encik Noor Muhammad, pengusaha Warisan Salju

Salah sebuah kompleks beli-belah di pekan Kuah

Laluan di pekan Kuah

Haji Ismail Group - antara kedai beli-belah yang paling banyak mempunyai cawangan di Langkawi

Laluan ke pantai bersebelahan dengan Masjid al-Hana

Pemandangan di pesisir pantai

Dataran Lang boleh nampak dari sini

Sisi sebelah kanan dari pesisir pantai




Lelaki India yang prihatin dengan alam sekitar. Katanya setiap hari beliau akan datang ke sini, berjalan kaki dan mengutip sisa pepejal, sampah dan sebagainya agar tidak mencemar pantai


Kelihatan kapal-kapal berlabuh







Pemandangan dari jeti pelancongan

Pekan Rabu Langkawi dari tempat letak kereta menghadap pantai

3 Syawal 1431

Kami dalam perjalanan ke Langkawi untuk beraya di kampung sebelah isteri saya tapi kemudiannya berpatah balik kerana isteri saya tertinggal handphone. Nasib baik belum masuk highway. Hikmahnya apabila sampai di rumah kami dapat beraya dengan ibu saudara saya yang merupakan kakak kepada bonda saya yang baru saja sampai dengan ahli keluarganya dari Ipoh. Lepas zohor baru kami bertolak ke Langkawi. Jalan di lebuhraya menuju ke utara ok tetapi laluan menghala ke selatan, kenderaan agak sesak. Mungkin sebab esoknya, orang dah start kerja. Kami sampai di Kuala Perlis lebih kurang jam 5.30 petang. Pengunjung sangat ramai. Tempat parking penuh. Setelah meninggalkan isteri dan anak-anak saya di jeti saya mencari tempat parking. Setelah ditunjuk oleh petugas parking, saya dapat meletakkan kereta tidak jauh dari jeti tetapi di kawasan yang tidak berbumbung. "Berapa hari bang?" Tanya petugas. "Tiga hari", jawab saya. "Kalau macam tu RM 45", balas petugas. "Kenapa mahal sangat?" Tanya saya semula. "Sebab malam ada 4 orang kena jaga kawasan parking ni", kata petugas konfiden. Ikut pengalaman saya, kalau tak berbumbung, caj yang dikenakan sekitar RM 6 hingga RM 8 manakala yang berbumbung pula antara RM 8 hingga RM 12. Nampaknya musim perayaan ini, harga meningkat agak mendadak.


Jeti Kuala Perlis

Jadual Feri

Kawasan luar jeti Kuala Perlis

Masjid Terapung. Masih dalam pembinaan dan tidak jauh dari jeti

2 Syawal 1431

Seorang lagi sahabat lama saya, Zein datang ke rumah. Beliau juga datang bersama dengan keluarganya. Kalau tak silap saya, pakaian mereka merah sedondon. Persahabatan kami agak unik kerana kami menyambung tradisi persahabatan ayahanda saya dengan ayahandanya. Begini, ayahanda saya dan ayahanda Zein adalah sahabat baik ketika mereka bersekolah di sebuah sekolah asrama penuh sekitar tahun 1960-an. Sementara saya dan Zein pula bersahabat baik ketika kami sama-sama bersekolah di sebuah sekolah asrama penuh di utara semenanjung pada tahun 1990-an. "Mika nak ke mane lepaih ni?" Tanya saya kepada Zein dalam loghat Perak. "Teman lepaih ni nak balik Kuantan", Balas Zein juga dalam loghat Perak. Laluan yang dipilihnya untuk sampai ke Kuantan ialah melalui Rasa, kemudian Kuala Kubu Baru dan naik ke Genting Sempah. Kata Zein, semasa dia berulang-alik dari Kuantan ke UPSI, Tanjung Malim, memang itulah laluan utamanya. "Ok jalan tu, kalo dari Kuantan ke UPSI tu lebih kurang sejam je teman lalu", kata Zein senyum lebar. Tapi kereta mesti dalam keadaan baik terutamanya bahagian brek, kata Zein lagi.
Di sebelah petang, saudara-mara dari Kuala Kangsar pula datang ke rumah. Salah seorang darinya ialah sepupu saya yang tinggal di Bukit Katil, Melaka. Dia juga berhajat nak balik ke kampung sebelah isterinya di Kuala Lipis beberapa hari lagi. Laluan yang diambilnya ialah laluan Simpang Pulai.

1 Syawal 1431


Solat raya tahun ini bermula jam 9 pagi. Lepas solat, kami sekeluarga bersama-sama dengan ibubapa dan adik-adik saya bergerak ke Kuala Kangsar. Lokasi pertama yang ditujui ialah makam al-Ghufran. Kawasan makam ini letaknya bersebelahan dengan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Di kawasan makam ini, kami menziarahi makam datuk sebelah bonda saya dan makam datuk sebelah ayahanda saya. Dalam kesempatan yang ada, kami juga turut mengunjungi makam Tuan Guru Haji Wan Muhammad, tokoh ulama pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-29 Masehi yang pernah menabur jasa kepada beberapa orang Sultan Perak, makam Sultan Idris Shah, ayahanda kepada Sultan Iskandar Shah dan makam Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak yang sangat alim di zamannya. Saya turut menziarahi makam Laksamana Muhammad Amin yang letaknya agak hampir dengan perkarangan Masjid Ubudiah. Selanjutnya kami mengunjungi makam Daeng Selili di Padang Changkat. Selepas itu, barulah kami mengunjungi saudara-mara di Kuala Kangsar, kebanyakan rumah mereka di sekitar Bukit Chandan. "Elok solat Jumaat di Masjid Kolej saja sebab tak jauh dari sini, lagipun parking pun senang", salah seorang bapa saudara saya memberikan cadangan. Kolej yang dimaksudkan ialah Kolej Islam Darul Ridzuan yang letaknya di atas bukit dalam kawasan Bukit Chandan. Memang betul kata bapa saudara saya, parking pun senang di sini. Ini kali pertama kami menunaikan solat di masjid Kolej Islam Darul Ridzuan. Lebih kurang jam 3.30 petang, kami menziarahi pula satu lagi kawasan makam yang terletak di Jalan Baru menghala ke Manong. Di kawasan makam ini, kami menziarahi makam opah sebelah ayahanda saya, bapa saudara saya iaitu abang kepada bonda saya, bapa saudara saya iaitu abang kepada ayahanda saya dan beberapa orang lagi saudara-mara yang disemadikan di sini. Kami turut mengujungi makam Tuan Guru Haji Abdul Rahman yang merupakan anakanda kepada Tuan Guru Haji Saleh, seorang tokoh ulama yang sangat terkenal di negeri Perak satu masa dahulu. Makam Tuan Guru Haji Saleh juga turut berada di situ tetapi kami gagal mengesannya. Kata si penjaga makam kawasan itu, makam Tuan Guru Haji Saleh betul-betul terletak di bawah pokok halban condong tetapi setelah diamati nama yang tertera pada batu nisan itu adalah milik orang lain sementara batu nisan yang berdekatan pula tidak mempunyai catatan nama. Selanjutnya kami menziarahi makam Syeikh Tahir Jalaluddin, tokoh falak yang sangat terkenal di Alam Melayu. Rasanya, makam beliau yang paling mudah untuk di cari kerana tembok atau binaan sekeliling makam yang agak menonjol. Kami pulang ke Taiping selepas itu. Lebih kurang jam 6 petang, sahabat saya yang sering saya panggil sebagai Pak Syeikh datang ke rumah. Beliau datang bersama keluarganya dengan pakai hijau sedondon satu keluarga. "Esok aku nak balik Kelantan belah isteri aku", katanya kepada saya. "Ikut jalan mana?" Tanya saya balik. "Ikut Simpang Pulai lepas tu keluar Gua Musang. Dekat sikit nak ke Kuala Krai", kata sahabat saya.




Selepas solat raya, kami terus ke Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Mula-mula sekali kami menziarahi kawasan pemakaman al-Ghufran, letaknya di sebelah Masjid Ubudiah

Madrasah Idrisiah dari perkarangan luar Masjid Ubudiah


Makam datuk sebelah ayahanda saya (ayahanda kepada ayahanda saya)


Makam datuk sebelah bonda saya (ayahanda kepada bonda saya)




Makam Tuan Guru Haji Wan Muhammad

Tuan Guru Haji Wan Muhammad meninggal dunia pada 1 November 1929 Masehi

Makam Sultan Idris I

Tulisan pada makam

Lagi tulisan pada makam


Makam Sultan Iskandar Shah, anakanda Sultan Idris Shah I

Nisan makam Sultan Iskandar Shah mencatatkan bahawa baginda mangkat pada malam Jumaat, 14 Oktober 1938

Bersamaan dengan 19 Sya'aban 1357

Sisi lain nisan makam Sultan Iskandar Shah

Sisi lain makam Sultan Iskandar Shah



Nisan yang diperbuat dari kayu

Makam Laksamana Muhammad Amin

Penerangan makam

Sisi lain makam Laksamana Muhammad Amin

Kompleks Makam al-Ghufran



Pintu masuk Kompleks Makam al-Ghufran

Makam Daeng Selili di Padang Changkat

Penerangan tentang makam

Bahagian dalam Masjid Kolej Islam Darul Ridzuan

Gugusan lampu di dalam ruang solat utama


Sisi sebelah kiri masjid

Kolej Islam Darul Ridzuan

Menara masjid

Kubah dan menara masjid

Kedudukan masjid yang terletak di atas bukit

Makam nenda sebelah ayahanda saya (bonda kepada ayahanda) terletak di Jalan Baru



Nisan makam Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Saleh

Makam Syeikh Tahir Jalaluddin al-Falaki


Penerangan tentang tokoh yang alim dalam bidang falak ini


Nisan makam Syeikh Tahir

Nisan makam Syeikh Tahir

Nisan makam isteri Syeikh Tahir

Nisan makam Syeikh Tahir dan isterinya

Kawasan makam Syeikh Tahir terletak di Jalan Baru