Friday, July 29, 2011

Puasa

Puasa dan Al-Quran akan memberi syafaat kepada kita kelak seandainya kita menyempurnakan haknya. Justeru dalam bulan Ramadhan yang bakal menjelang tiba ini, berazamlah untuk membaca dan mengkhatam al-Quran dan peliharalah kesucian ibadah puasa kita. Puasa adalah perisai dari api neraka. Perisai ini perlu dipelihara. Biar kukuh. Kata Habib Kazim dalam syarahannya di Masjid al-Falah USJ 9 pada 23 Julai 2011 (bersamaan 21 Syaaban 1432 H), “Jagalah lisan dan elaklah dari mengumpat dan berkata dusta kerana jika tidak dijaga maka robohlah perisai itu”. Kata Habib lagi, “Yang paling penting ialah jaga lisan ketika waktu tengah hari”. Memang betul pun, sebab waktu tengah hari kita banyak luangkan masa untuk bersembang. Justeru, kena jaga betul-betul lisan kita time tu takut gugur pahala puasa kita.




Di Masjid Al-Falah



Maulid



Habib Kazim al-Saqqaf dan Habib Ali Zainal Abidin

Sejarah

Seronok saya menghadiri majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) pada 23 Julai yang lepas. Sebenarnya saya menerima jemputan dari PSM untuk hadir ke majlis tersebut. Majlis pada hari itu ialah tentang penyampaian hadiah esei sejarah bagi tahun 2010 dan mesyuarat tahunan. Banyak ilmu yang dapat saya kutip apabila orang-orang lama berkongsi pengalaman hidup mereka. Pengalaman hidup adalah satu sejarah yang sangat bernilai.



Dato Haji Omar Mohd Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PSM memberikan ucapan aluan


Lt Jen (B) Dato Abdullah Shamsudin merasmikan majlis


Jualan buku PSM di luar dewan

Tarbiah



Cantik kulit kitab ini. Isinya pun cantik. Pelbagai. Tentang tarbiah. Ada juga syarah tentang Hizib Bahr dan salawat Masyis. Kitab Durar ar-Rasail lil Murid as-Sail adalah buah tangan Al-Mukarram Syeikh Sa’duddin Murad. Beliau adalah khalifah utama Syeikh Abdul Qadir Isa dan merupakan salah seorang guru kepada Syeikhna Sidi Yusuf al-Hasani. Pada 14 Julai 2011 2011 bersamaan 12 Syaaban 1432 H, kitab ini telah diijazah oleh Syeikhna Sidi Yusuf kepada pencinta ilmu yang hadir pada hari itu setelah mensyarahnya beberapa hari sebelum itu. Tarbiah bukan sekadar teori tetapi juga praktik. Praktik melibatkan amalan yang berterusan dan adakalanya perlu dilakukan serta-merta. Bila perlu serta-merta? Bila melihat perkara-perkara yang tak sepatutnya berlaku. Syeikhna Sidi Yusuf apabila melihat perkara-perkara sedemikian akan segera mengarahkan anak muridnya untuk memperbetulkan keadaan. “Mana boleh kasut letak kat atas dinding”, spontan Syeikhna Sidi Yusuf mengarahkan anak muridnya meletakkan kasut di bawah tatkala beliau terlihat ada beberapa kasut diletakkan di atas dinding padahal pada ketika itu ia sedang mensyarah. Dalam satu masa yang lain, Syeikhna Sidi Yusuf mengarahkan anak muridnya agar segera membetulkan parkir kenderaan masing-masing agar tidak mengganggu jiran dan lalulintas. Tarbiah tidak mengira masa dan ketika. Itulah guru yang sejati.




Kitab yang disyarah



Syeikh Yusuf Bakhour al-Hasani

Friday, July 22, 2011

Syaaban 1432 H

Alhamdulillah pada 14 Julai 2011 bersamaan dengan 12 Syaaban 1432 H, saya berkesempatan menghadiri majlis maulid dan qasidah di Masjid Taman Putra Perdana. Majlis maulid dan qasidah pada malam itu dipimpin oleh Ustaz Fadzli al-Yamani bersama-sama dengan pelajarnya dari Madrasah al-Yamani, Kampung Baru. Tambah menyerikan majlis ialah kehadiran guru kepada Ustaz Fadzli iaitu Syeikh Haidar Hassan Salim al-Waqidi dalam majlis pada malam itu. Menurut Ustaz Fadzli, gurunya itu baru sahaja tiba dari KLIA dari Yaman lebih kurang jam 6.30 petang, langsung dibawa rombongan terus ke Masjid Taman Putra Perdana untuk bersama-sama mengikuti majlis. Maka pada malam, Syeikh Haidar telah menyampaikan tausyiah kepada hadirin dengan kupasan yang sangat menarik. Antara isinya ialah tentang penghayatan dalam bulan Sya'aban. Bulan Sya'aban adalah bulan Nabi saw di mana umat Islam dianjurkan untuk memperbanyakkan puasa dan membaca salawat. Berbalik cerita tentang Syeikh Haidar, beliau merupakan penasihat Madrasah al-Yamani. Menurut Ustaz Fadzli, ini adalah tahun kelapan Syeikh Haidar datang ke sini dengan tujuan untuk memimpin majlis daurah kitab-kitab fiqh. Daurah tersebut lazimnya dihadiri oleh ustaz-ustaz kebanyakannya dari negara-negara di Asia Tenggara. Daurah ini diadakan dalam bulan Ramadhan.



Pengerusi majlis sedang memberi ucapan aluan



Ustaz Fadzli al-Yamani menjadi penterjemah kepada gurunya, Syeikh Haidar Hasan Salim al-Waqidi. Gurunya berada di sebelah kiri beliau





Pamplet Madrasah al-Yamani yang diedarkan pada malam itu

Wednesday, July 13, 2011

Salasilah

Dalam ruangan chatbox, saudara Shahtun ada menyebut tentang salasilah keluarganya yang telah diberikan oleh nyang (moyang) saya iaitu almarhum Hamam kepada datuk Shahtun yang bernama Mohd Sham. Baru-baru ini saya mempunyai sediikit kelapangan dan berkesempatan membelek-belek salasilah lama yang disusun oleh nyang saya satu masa dahulu. Dalam salasilah tersebut, dinyatakan bahawa datuk kepada saudara Shahtun bernama Mohd Sham yang merupakan satu-satunya anak kepada Pandak Makah. Pandak Makah dan nyang saya iaitu Hamam adalah adik beradik. Kesemua mereka adalah lima beradik. Yang tua bernama Mohd Nusi. Kedua, ialah Pandak Makah. Ketiga, Yahaya. Keempat, nyang saya iaitu Hamam. Dan yang bongsu ialah Hajar. Ayahanda kepada nyang saya dan juga moyang kepada Shahtun adalah Haji Ishak. Beliau lahir pada tahun 1852. Haji Ishak berkahwin dengan Wan Ngah Fatimah binti Wan Abas. Pada lembaran akhir salasilah ini, tercatat tarikh nyang saya menyusun salasilah ini iaitu pada 24 Ogos 1919. Terima kasih kepada almarhum nyang kerana telah menyusun salasilah yang sangat bernilai ini. Al-Fatihah untuk almarhum Nyang!

Malam Mahabbah 3 Julai 2011 Pusat Islam

“Hero mesti le keluar last”, senyum saya mendengar perbualan beberapa orang penonton yang hadir pada malam itu. Benar. Saya sendiri pun sudah tidak sabar hendak melihat kemunculan penyanyi sebuah kumpulan rock terkemuka tanahair satu ketika dahulu iaitu Rahmat Ekamatra dengan penampilan baru. Jam sudah hampir pukul 10 malam. Debaran kian memuncak. Skrin memaparkan lagu-lagu Rahmat ala sesi karaoke mula dimainkan. Ah, detik semakin hampir. Countdown bermula. Dan Rahmat muncul dengan gaya tersendiri. Semarak Cinta Rasulullah. Itulah buah tangan terbaru Rahmat yang ditunggu-tunggu oleh khalayak malam itu khususnya para ikhwan. Gemuruh dewan muktamar malam itu melihat penampilan bersemangat Rahmat. Qasidah pertama yang dialunkan ialah In Jabartum Kasra Qalbi diikuti dengan Yammimnah wal Madinah. Dalam diam, bibir saya turut bergerak mengalunkan bait-bait indah terhadap Junjungan Besar Rasulullah saw. Betapa kami merindui mu ya Rasulullah saw. Tetamu kehormat pada malam itu memberi penghormatan kepada Rahmat. Secara spontan, Ulama Iraq, al-Musnid Syeikh Majid Rasyid al-Jailani meluru ke pentas. Jubah yang menjadi idaman para pencinta ilmu disarungkan ke tubuh Rahmat. Ah, saya kira ramai yang cemburu. Seperti kata Tuan Guru Yang Mulia, “Rasulullah saw menyarungkan jubahnya yang mulia ke susuk tubuh Kaab bin Zuhair setelah Kaab melantunkan syair-syair yang memuji kemuliaan baginda saw”. Rahmat berhak mendapat pengiktirafan seumpama Kaab mendapat anugerah yang tidak ternilai dari Rasulullah saw. Qasidah disambung lagi. Kali ini Ya Badra Tim dialunkan bersama-sama. Dewan Muktamar bergema dengan qasidah yang memuji Nabi saw. “Kenapa sekejap sangat?” bisik hati kecil saya. Jam hampir pukul 11.00 malam. Majlis sampai ke penghujung. Ditutup dengan maulid dan marhaban.
Oh, sebenarnya bukan Rahmat sahaja yang membuat persembahan. Kumpulan In-Team dan kumpulan Marjan juga turut berada di atas pentas. Kumpulan In-Team mengalunkan dua buah nasyid berjudul Dia Muhammad dan Pemergianku. Marjan pula selain mengalunkan beberapa nasyid dari album mereka turut mendendangkan nasyid istimewa yang digubah oleh Romi manakala liriknya ditulis oleh Tuan Guru Yang Mulia Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki. Judulnya ialah Cinta Tak Bertepi. Sebelum majlis ditutup dengan maulid, kesemua kumpulan termasuk Rahmat mendendangkan sebuah nasyid yang digubah sepenuhnya oleh Romi dengan judulnya Cahaya di atas Cahaya. Apa yang menarik ialah kesemua mereka yang berada di atas pentas adalah ahli Yayasan Sofa. Majlis turut diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran yang disampaikan oleh Johan Tilawah peringkat Kebangsaan 2011 dan tausyiah yang disampaikan oleh tetamu kehormat iaitu al-Musnid Dr Muhammad Taufiq bin Taisir al-Makhzumi dan Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki.






Beberapa ketika sebelum majlis bermula




Yang di-Pertua Yayasan Sofa membuka tirai majlis dengan ucapan pembukaan




Persembahan kumpulan Marjan











Persembahan kumpulan In-Team















Tausyiah yang disampaikan oleh al-Musnid Dr Muhammad Taufiq bin Taisir al-Makhzumi








Nasyid Cinta Tak Bertepi yang didendangkan oleh Marjan






Habib Umar al-Jufri turut hadir pada malam itu




Tetamu kehormat dan para hadirin masuk semula ke dalam dewan setelah selesai menjamu selera




Persembahan kemuncak malam itu


Rahmat dengan qasidahnya






al-Musnid Syeikh Majid Rasyid al-Jailani menyarungkan jubahnya ke tubuh Rahmat







Rahmat kembali mengalunkan qasidah dengan tambah bersemangat


Hadirin turut bersama-sama mengalunkan qasidah Ya Badra Tim




Tausyiah yang disampaikan oleh Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki


Marjan kembali ke pentas untuk mendendangkan nasyid Cinta Tak Bertepi


Kesemua mereka yang berada di atas pentas bersama-sama mengalunkan nasyid Cahaya di atas Cahaya


Majlis diakhiri dengan maulid


Stesen penyiaran TV Al-Hijrah yang berada dalam kawasan kompleks Pusat Islam


CD Qasidah Rahmat yang mula dijual pada malam itu. Harganya RM 25

Thursday, July 7, 2011

Muhaddith

Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam kitabnya "al-Musnad", al-Hakim di dalam kitab "al-Kuna", Abu Nuaim di dalam kitab "al-Dalail", Ibn Asakir di dalam kitab "al-Tarikh", al-Thabrani di dalam kitab al-Ausath dan selain mereka daripada Aisyah secara marfu, Jibril berkata kepadaku; Aku berulang-alik ke sebelah timur dan barat maka aku tidak menemui seseorang yang lebih baik daripada Muhammad (saw) dan aku berulang alik ke timur dan barat maka aku tidak menemui anak keturunan seorang bapa yang lebih baik daripada anak keturunan Hasyim.
- Hadith pertama di dalam kitab al-Arbain al-Kattaniah fi Fadhail Ahlul Bait Khair al-Bariah




al-Muhaddith Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Kattani al-Husaini sedang mensyarah hadith yang terkandung di dalam kitab al-Arbain al-Kattaniah fi Fadhail Ahlul Bait Khair al-Bariah pada 1 Julai yang lepas

Nisan Aceh di Puchong

"Tuan ada info tentang makam ini?" tanya saya. "Saya pun tak tahu apa-apa. Yang saya tahu inilah makam yang paling awal di kawasan ini", kata si penjaga makam. Saya berpeluang menziarahi makam ini Jumaat lepas. Tidak berapa lama dahulu, saya ada mendapat maklumat tentang kewujudan makam nisan Aceh di dalam kawasan Puchong tetapi disebabkan terlalu sibuk saya akhirnya terlupa. Hinggalah baru-baru ini apabila seorang sahabat terdekat saya memberitahu saya tentang kewujudan makam nisan Aceh yang dikatakan telah ada sebelum zaman Jepun telah membuatkan saya teringat semula maklumat yang pernah saya terima tidak lama dahulu. Saya menziarahi makam ini bersama seorang sahabat. Dia pun teruja juga hendak melihat makam yang dimaksudkan. Batu nisan Aceh sentiasa menjadi tumpuan pengkaji sejarah. Ini adalah kerana ia dianggap sebagai sumber sejarah Malaysia yang sangat penting dan berkait rapat dengan sejarah Islam di Nusantara. Berdasarkan pemerhatian saya, nisan Aceh yang terdapat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol ini adalah dari jenis N jika mengikut pengelasan yang diberikan oleh Dr Othman Yatim (rujuk buku/tesisnya yang bertajuk Batu Aceh Early Islamic Gravestones in Peninsular Malaysia) atau dari jenis H jika mengikut pengelasan yang terdapat dalam buku Batu Aceh dalam Perbandingan tulisan Daniel Perret dan Kamarudin Ab Razak (terbitan Yayasan Warisan Johor). Bentuk nisan Aceh ini adalah seperti makam Panglima Hitam (rujuk buku Sejarah Kuala Selangor tulisan Dato Dr Haji Yusoff bin Hassan). Ada dua pasang nisan Aceh di kawasan ini. Kedua-duanya masih berkeadaan baik. Ketika saya menziarahi makam ini, ia belum diwartakan sebagai warisan sejarah. Usia makam ini mungkin sekitar 200 hingga 300 tahun atau mungkin lebih lagi, agaknya le kerana saya sendiri pun tak pasti.



Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol



Dua pasang nisan Aceh. Kata penjaga makam, makam ini adalah makam sepasang suami isteri



Makam dari sisi lain














Kata penjaga makam, kawasan perkuburan ini kini terbahagi dua iaitu satu bahagian yang diselia oleh jabatan agama manakala satu lagi wakaf. Makam nisan Aceh itu terletak di kawasan wakaf



Dua pokok besar yang kelihatan seperti pintu gerbang



Kawasan tanah perkuburan dilihat dari luar