Sunday, November 17, 2013

Hijrah dan Sakinah

Semalam, 12 Muharram 1435 H bersamaan 16 November 2013, Surau as-Sakinah, Taman Putra Perdana dibanjiri oleh jemaah yang ingin mendengar tausyiah yang disampaikan oleh Sayyidi Shaykh Ahmad al-Hadi al-Hasani, ulama besar yang berasal dari Maghribi yang pernah menimba ilmu kepada ulama tersohor di negara tersebut iaitu Al-Habib Maula Sayyidi Thuhami al-Idrisi al-Hasani (berusia 130 tahun pada ketika itu). Tema tausyiah pada malam itu berkisar tentang Ma'al Hijrah. Namun kupasan Sayyidi Shaykh sangat menarik kerana ia menyentuh tentang kisah-kisah binatang yang telah berkhidmat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw dalam peristiwa Hijrah. Walaupun kisah-kisah binatang ini selalu disampaikan dalam ceramah Ma'al Hijrah namun cara penyampaian Sayyidi Shaykh agak berbeza, agak halus dan berjaya merungkai beberapa persoalan yang tidak pernah terfikir sebelum ini (saya le yang tak pernah terfikir hendak mencari maklumat tentangnya). Kata Sayyidi Shaykh, kisah-kisah tersebut bukanlah kisah-kisah yang tidak mempunyai sandaran tetapi telah dicatat oleh ulama-ulama muktabar khususnya dalam mazhab Syafi'i seperti Imam Qastallani yang mensyarah kitab Shamail Tirmizi karya Imam Tirmizi, Imam Nawawi, Imam al-Haithami dan ramai lagi. Antara kisah yang disampaikan ialah saat Abu Bakar dipatuk ular dalam gua ketika bersama Baginda saw dalam peristiwa Hijrah. Kata Sayyidi Shaykh, tahukah anda mengapa ular tersebut mematuk Abu Bakar? Jemaah diam. Saya pula tidak sabar hendak mengetahui jawapannya. Kata Sayyidi Shaykh, ular itu telah tinggal di dalam gua tersebut selama 70 tahun dan ternanti-nanti kedatangan Baginda saw. Ular tersebut rindu hendak melihat wajah Baginda saw yang mulia. Namun tatkala Baginda saw berada di dalam gua, pandangannya terjejas disebabkan dihadang oleh Abu Bakar. Ini menyebabkan ia berang lalu mencederakan Abu Bakar. Dalam gua itu pula, ada labah-labah dan burung merpati. Labah-labah dengan serta-merta membina sarang yang besar manakala burung merpati itu pula bertelur. Kaum kafir Quraisy akhirnya sampai ke pintu gua berdasarkan pengamatan jejak yang dilakukan oleh ahli jejak kafir Quraisy. Kata Sayyidi Shaykh, ahli jejak kafir Quraisy mempunyai kebolehan yang sangat luar biasa. Mereka mampu mengenalpasti jantina seseorang hanya dengan berdasarkan pengamatan ke atas jejak. Kaum kafir Quraisy diketuai oleh Abu Jahal ketika sampai di gua. Abu Jahal menolak pandangan ahli jejak kaumnya sendiri sebaliknya berpegang kepada akalnya yang terhad itu yang menyatakan mana mungkin Baginda saw dan Abu Bakar berada dalam gua sedangkan sarang labah-labah yang terdapat di pintu gua itu sangat besar yang mungkin berusia puluhan tahun manakala ada pula burung merpati dalam gua seolah-olah tempat itu tidak pernah ada kehidupan manusia sebelum ini. Sebab itu kata Sayyidi Shaykh, jangan suka terpengaruh dengan akal yang akhirnya mungkin boleh menyebabkan kebinasaan. Berbalik kepada cerita labah-labah dan burung merpati, menurut Sayyidi Shaykh, peristiwa Hijrah telah mengangkat darjat labah-labah. Baginda saw mengiktiraf labah-labah yang telah berkhidmat kepadanya namun Baginda saw berpesan kepada umatnya agar sentiasa membersihkan rumah agar tidak terdapat sarang labah-labah kerana ia mewarisi kefakiran. Manakala darjat burung merpati juga diangkat berikutan peristiwa tersebut. Burung merpati itulah yang menurunkan zuriat yang tinggal di sekeliling Kaabah hingga ke hari ini. Dalam peristiwa yang lain, Sayyidi Shaykh ada menceritakan tentang kisah kaldai yang mengadu nasibnya kepada Baginda saw. Kata kaldai itu, moyangnya pernah berkhidmat kepada Nabi Musa as. Begitu juga dengan 70 moyang-moyangnya yang lain yang masing-masing berkhidmat kepada Nabi-Nabi di zamannya. Adapun ia telah ditaqdirkan untuk berkhidmat kepada Baginda saw. Atas sebab itu, sebelum ia berjumpa Baginda saw, ia telah didera oleh seorang Yahudi kerana ia tidak mahu berkhidmat kepadanya. Yahudi itu mahu menunggangnya tetapi ia enggan menyebabkan Yahudi itu marah kepadanya. Disebabkan kasihnya yang terlalu mendalam kepada Baginda saw, kaldai tersebut apabila mendengar berita kewafatan Baginda saw akhirnya tidak dapat mengawal dirinya lalu terjatuh ke dalam telaga milik Sahabat Ansar.  Kata Sayyidi Shaykh, jika binatang amat kasih kepada Baginda saw maka kita selaku umatnya hendaklah lebih lagi mengasihi Baginda saw. Anehnya, ada pula golongan-golongan yang tergamak menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Ada yang berani mengandaikan ibubapa Baginda saw begitu dan begini tanpa berasa bimbang ia akan menyakiti hati Baginda saw. Tidakkah mereka tahu bahawa barangsiapa yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya maka adalah laknat ke atas mereka? Telah tercatat dalam kitab-kitab yang ditulis oleh ulama-ulama Melayu bahawa barangsiapa yang menyakiti ibubapa Baginda saw maka adalah laknat ke atas mereka. Siapa dan layakkah kita hendak menolak pandangan ulama-ulama ini sedangkan mereka sendiri adalah ulama besar di Makkah malah ada di kalangan mereka yang menjadi mufti. Kata Sayyidi Shaykh, ulama-ulama besarMelayu seperti Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani, Shaykh Daud Fathani adalah antara sebahagian ulama yang membahaskan perkara ini dalam kitab mereka.
 
*Nota - sebarang kesalahan dalam catatan ini adalah kelemahan saya sendiri dalam mengingati baris-baris tausyiah yang disampaikan oleh Sayyidi Shaykh. Mohon kemaafan
 
Sayyidi Shaykh berkenan mengijazah Salawat al-Fatih kepada Jemaah di akhir majlis

No comments:

Post a Comment