Sunday, November 24, 2013

Sungai Putat

Semalam (Sabtu) 23 November 2013, saya ke Melaka bersama-sama dengan dua orang adik saya, Khairul Azri dan Muhammad Khairul Imran. Tujuan ke sana ialah untuk mengambil buku Maulid ad-Daiba'i di sebuah syarikat yang terletak di Sungai Putat, Melaka. Syarikat ini bukanlah sebuah syarikat percetakan namun ia ada mengeluarkan buku maulid untuk tujuan wakaf dan sumbangan. Saya mengambil buku ini untuk keperluan madrasah saya. Perancangan madrasah tahun depan (2014) ialah untuk menjadikan bacaan maulid ini sebagai bacaan tambahan kepada pelajar. Mudah-mudahan ia akan dapat memupuk rasa cinta yang lebih mendalam kepada Baginda saw di kalangan warga madrasah. Kami sampai di Ayer Keroh sekitar jam 8.30 pagi. Dari situ kami bergerak menghala ke Sungai Putat yang dikatakan satu hala ke Bukit Berendam. Sungai Putat letaknya bersempadan dengan Bukit Beruang. Beberapa tahun lalu, saya ada memiliki buku Batu Aceh Johor dalam Perbandingan terbitan Yayasan Warisan Johor. Buku ini dihadiah oleh ayahanda saya. Yang menarik tentang buku ini ialah gambar batu nisan Aceh yang menghiasi kulit depan buku ini. Dikatakan ia adalah batu nisan Aceh yang paling cantik di Malaysia. Batu nisan ini letaknya di Bukit Beruang. Menyedari akan Sungai Putat letaknya tidak jauh dari Bukit Beruang, saya pun mengajak adik-adik saya menziarahi makam-makam nisan Aceh di kawasan tersebut. Selesai urusan pengambilan buku, kami pun bergerak menuju ke Bukit Beruang. Malangnya saya lupa lokasi sebenar kawasan makam tersebut. Kami singgah di sebuah surau, kalau tak silap namanya Surau Qomar, letaknya dalam kawasan Taman Dahlia. Ada seorang lelaki separuh umur sedang asyik menyapu dan mengumpul daun-daun kering. Kami menyapa dan bertanya kepadanya tentang lokasi makam kalau-kalau ia tahu. "Oh, saya selalu pergi situ. Jumpa kawan saya", kata lelaki separuh umur agak ramah. "Dah tak jauh, masuk dalam kawasan taman. Makamnya dekat-dekat dengan kawasan hutan", sambungnya lagi. Kami pun masuk ikut Taman Bukit Melaka. Tidak ada penunjuk arah. Sehingga sampai ke satu simpang, kami ternampak penunjuk arah tapak sejarah nisan Acheh. Dari situ, kami bergerak perlahan-lahan sehingga sampai ke satu jalan yang agak hujung. Nama jalan itu ialah Jalan Perak. Disitulah letaknya beberapa makam yang menggunakan nisan Aceh yang berlainan jenis bentuknya. Kawasan makam itu diwarta oleh Jabatan Muzium sebagai Kompleks Makam Bukit Beruang 1 dan 2.
 
 
Kitab Maulid Daibai yang diambil di Sungai Putat
Buku Batu Aceh Johor yang dihadiah oleh ayahanda saya beberapa tahun lalu. Kulit bukunya memaparkan nisan Aceh yang paling cantik di Malaysia yang letaknya di Bukit Beruang Melaka
 
 
Penunjuk arah nisan Aceh di Taman Bukit Melaka
 Sebatang jalan menuju ke kawasan nisan Aceh
 
Ada papan tunjuk arah yang kecil. Tertulis "Makam Dato Aroom"
 
Jalan Perak - lokasi Kompleks Makam Bukit Beruang 1 dan 2. Betul-betul di pinggir kawasan taman perumahan

1 comment:

  1. Assalamualaikum, mnta maaf,adakah saudara keturunan dato aroom

    ReplyDelete