Showing posts with label jumaat. Show all posts
Showing posts with label jumaat. Show all posts

Thursday, August 6, 2009

Tazkirah Jumaat

Ketika mata hampir nak terlelap, tiba-tiba ada satu poin yang agak menarik yang disampaikan dalam tazkirah Jumaat, sekaligus menyegarkan balik mata saya. Kata Ustaz Nazmi (nama ustaz yang sampaikan tazkirah tadi kalau tak silap saya le), Mungkin ada orang bertanya kenapa perempuan yang datang haid tidak perlu mengqadha’kan solatnya tetapi dalam ibadah puasa perlu mengqadha’kan puasanya. Lalu jawabnya, solat itu adalah satu ibadah dimana kita berhubung terus dengan Tuhan. Jadi dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Tuhan, maka solat tidak perlu diqadha’kan bagi perempuan yang datang haid. Sebaliknya dalam ibadah puasa, selain berhubung terus dengan Tuhan, kita juga sebenarnya berhubung dengan orang miskin. Ada bahagian orang miskin dalam ibadah puasa ini. Hikmahnya ialah supaya kita merasai apa yang dirasa oleh orang miskin. Jika mereka pernah merasai erti lapar, maka kita juga akan merasainya dengan berpuasa. Sebab itulah puasa perlu diqadha’ (diganti)[1]. Begitu juga dengan fidyah puasa yang diberikan kepada orang miskin kerana ada bahagian mereka itu disitu.

Lebih kurang macam tu le poin yang disampaikan. Tazkirah yang disampaikan pun agak ringkas sebab start agak lewat.



[1] Dalam konteks ini merujuk kepada perempuan yang datang haid

Friday, May 22, 2009

Khutbah Jumaat, Kewajipan mentaati dan membalas jasa ibu

Telah dua minggu berturut-turut saya bersolat Jumaat di masjid dalam kawasan KL, hari ini saya bersolat Jumaat dalam kawasan Selangor. Khutbah pada hari ini bertajuk Kewajipan mentaati dan membalas jasa ibu. Hayatilah teks khutbah ini seperti yang saya lampirkan dibawah ini,


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita bersungguh-sungguh dan berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan sentiasa mematuhi dan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita memperolehi kesejahteraan dan kerahmatan dari Allah dalam menjalani kehidupan kita di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam Surah Al-Isra' ayat 23:
Maksudnya:
"Dan Tuhan mu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-dua sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun seperti perkataan "ah" adalah tidak dibenarkan dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang baik dan mulia (bersopan santun)".
Dalam Islam kita dituntut agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan tuntutan tersebut adalah suatu kewajipan yang perlu ditunaikan . Ini kerana setiap permulaan kehidupan manusia adalah bermula dengan kelahiran dari seorang ibu. Oleh itu, Islam memandang serius hukum dan adab berkaitan hubungan anak dengan seorang ibu .
Kita diperintahkan untuk sentiasa melakukan kebaikan , berlemah lembut, berbudi bahasa dan bersopan santun terhadap mereka. Lantaran itu juga kita diharamkan dan dilarang keras untuk melakukan kekasaran terhadap mereka samada dengan perbuatan mahupun percakapan hatta dengan perkataan "ah" sekalipun tidak di benarkan memandangkan perkataan menyanggah seperti tersebut menunjukkan tanda ingkar atau membenci terhadap tindakan mereka.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN
Islam memandang berat pengorbanan seorang ibu kerana merujuk kepada kepayahan dan kesusahan mereka ketika mengandungkan kita, membesar, memelihara dan mendidik kita sehingga kita mampu berdikari.
Firman Allah dalam Surah Lukman ayat 14:
Maksudnya:
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepad Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan".
Pengorbanan mereka adalah pengobanan yang cukup besar. Maka atas dasar itulah Islam menggandingkan tanggungjawab mentaati ibubapa mengiringi persoalan mentauhidkan Allah.
Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 36:
Maksudnya
"Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua pun dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang yang bermusafir dalam kesusahan dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan suka membangga diri".
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Perintah untuk menyembah Allah dan larangan mensyirikkanNya diikuti dengan berbuat baik dengan kedua ibu bapa adalah menunjukkan begitu rapatnya hubungan antara persoalan taat kepada Allah dan taat kepada kedua ibu bapa. Namun dewasa ini, terdapat dikalangan anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab terhadap ibubapa mereka. Mereka tidak mempedulikan nasib ibu bapa, jarang bertanya khabar tentang sakit pening mereka, kurang prihatin terhadap kesusahan mereka. Bahkan, terdapat juga di kalangan kita menambah bebanan kepada ibu bapa seperti menyuruh menjaga cucu, menjadi pembantu rumah bahkan ada yang sanggup menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang-orang tua dan mengabaikannya.
Ingatlah bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda:
Bermaksud:
"Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa".
Walaubagaimanapun tidak menjadi kesalahan untuk menghantar ibubapa dengan kerelaan mereka sendiri untuk menginap di premis-premis atau rumah jagaan yang dikhususkan untuk mengikuti program-program yang telah disediakan seperti aktiviti-aktiviti ilmiah dan ibadah untuk warga emas. Oleh itu masyarakat setempat perlulah mengambil inisiatif terbaik dengan mewujudkan tempat-tempat pengajian bagi orang-orang tua seperti manayang terdapat di beberapa kawasan di negeri Selangor ini.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian
Sesungguhnya begitu besar sekali peranan dan pengorbanan kedua ibu bapa kita, lebih lebih lagi terhadap ibu. Ini adalah berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
Maksudnya :
"Muawiyah bin Haidah Al-Qusairi telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Siapakah orang yang paling patut untuk aku berbuat baik?. Baginda menjawab: Ibu Mu. Aku bertanya lagi: Kemudian siapa?. Baginda menjawab: Ibu Mu. Aku bertanya lagi: Kemudian siapa?. Baginda menjawab: Ibu Mu. Aku bertanya lagi: Kemudian siapa?. Baginda menjawab: Bapa Mu, seterusnya orang yang paling hampir denganmu" .
Menurut maksud Hadis tersebut pengulangan lafaz ibumu menunjukkan tentang ketinggian martabat seorang ibu tanpa menafikan hakikat dan tanggung jawab seorang ayah.
Dalam kita mengenang jasa ibu sempena kita menyambut hari ibu setiap tahun marilah sama-sama kita bermuhasabah dan berikrar untuk sentiasa menyayangi dan menjaga hubungan baik dengan ibu kita. Berusahalah agar kita tidak menyakiti hati ibu kita yang selama ini entah berapa kali kita telah menyakiti dan menyentuh hati dan perasaan mereka. Ingatlah, perbuatan menyakiti hati seorang ibu adalah merupakan dosa yang cukup besar. Berjanjilah kita bahawa kita akan menjadi anak yang tidak menderhaka kepada kedua ibu bapa kita.
Adalah sesuatu yang amat mengecewakan kita pada hari ini apabila ada sebahagian anak-anak tidak lagi hormat kepada ibu-bapa, berani memaki hamun apabila tidak mendapat apa yang dihajati malah lebih dahsyat sanggup melakukan jenayah seperti memukul, sepak terajang bahkan lebih dahsyat hingga sanggup membunuh ibu-bapa sendiri. Ini adalah tanda jiwa mereka sudah tandus daripada keimanan bahkan jiwa mereka sebenarnya telah dikuasai oleh syaitan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian.
Di antara amalan yang diajar oleh Islam untuk kita membalas jasa ibu bapa adalah dengan kita mendoakan kesejahteraan ke atas mereka.
Disamping itu, kita hendaklah sentiasa mengunjungi dan menziarahi mereka serta menghulurkanlah bantuan dan kewangan. Sentiasalah kita bertanya khabar dan prihatin tentang kesihatan mereka. Sebagai anak maka kita hendaklah sentiasa mendahulukan keutamaan ibu dari orang lain.
Marilah kita mengambil iktibar peristiwa yang pernah berlaku di zaman Nabi s.a.w. iaitu kisah seorang pemuda bernama Al-Qamah yang lebih mengutamakan isterinya berbanding ibunya sendiri. Akibatnya, ketika saat kematiannya al-Qamah tidakmampu untuk mengucap kalimah syahadah sehinggalah ibunya memaafkan kesalahan al-Qamah. Akhirnya, barulah al-Qamah dapat menghembuskan nafasnya dengan penuh tenteram.
Mahukah peristiwa tersebut terjadi kepada diri kita?. Semoga kita tidak termasuk dari golongan yang menderhakai kedua ibu bapa kita
Firman Allah dalam surah Al-Isra' : 24)
Maksudnya :
"Dan Hendaklah engkau merendahkan diri kepada keduanya kerana kasihan belas dan kasih sayang Mu dan Doakanlah untuk mereka dengan berkata : Wahai tuhan kami cucurilah rahmat kepada kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil".
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha Berkuasa, kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya Negeri Selangor, sebagai Negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadratmu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat suburkanlah jiwa kami dengan budaya pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit , persengketaan , kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian Negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Friday, May 1, 2009

Hari pekerja 2009

Hari ini adalah Hari Pekerja. Kebetulan jatuh pula pada hari Jumaat. Lalu ketika saya menunaikan solat Jumaat pada hari ini, teks khutbah yang dibacakan oleh khatib adalah berkaitan dengan isu kerja. Inilah teksnya untuk dihayati,


"KERJA SEBAGAI SATU IBADAT"

Khutbah Jumaat - 01 MEI 2009
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah sama-sama kita bersungguh-sungguh dan berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan sentiasa mematuhi dan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan Allah S.W.T. Mudah-mudahan kita memperolehi kesejahteraan dan kerahmatan dari Allah dalam menjalani kehidupan kita didunia dan akhirat.
Sesungguhnya Islam telah mewajibkan umatnya untuk berusaha dan mencari rezeki bagi menampung kehidupan didunia ini tanpa mengira jenis pekerjaan asalkan bertepatan dengan syariat Islam.Saranan tersebut telah jelas dalam Al-quran surah Al-A'raaf ayat 10 :
Maksudnya:
"Dan sesungguhnya kami telah menetapkan kamu (memberi kuasa) dibumi, dan kami jadikan untuk kamu padanya berbagai jalan penghidupan supaya kamu bersyukur, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur".
Dari Ibnu Umar R.A. telah bersabda Rasulullah S.A.W. :
Maksudnya:
"Tidak diterima iman tanpa amal dan tidak diterima amalan tanpa iman".
Islam amat tegas dalam soal mencari nafkah hidup didunia.Walau bagaimanapun, islam melarang manusia mementingkan dunia sehingga melupakan urusan akhirat. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. melalui firmannya dalam surah Al-qisas ayat 77 :
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadaMu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia ; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadaMu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-limpah) ;dan janganlah engkau melakukan kerosakkan dimuka bumi ; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakkan".
Sidang Jumaat sekalian,
Islam telah menetapkan satu prinsip yang jelas berkaitan sesuatu kerja yang boleh dikategorikan sebagai ibadat. Imam Ghazali dalam kitabnya Ikhya' Ulumuddin menjelaskan bahawa setiap pekerjaan itu hendaklah menepati ciri-ciri berikut iaiatu :
(1) Niat dan tujuan kerja itu mestilah untuk menjunjung perintah Allah.
(2) Kerja yang dilakukan tersebut tidak bercanggah dengan syariat Allah S.W.T.
(3) Kerja yang dilakukan adalah dengan bersungguh-sungguh dan tidak memudaratkan.
(4) Kerja tersebut tidak menghalang daripada menunaikan syariat Allah S.W.T. seperti solat, puasa dan sebagainya.
Sidang Jumaat sekalian,
Asas utama kerja yang dapat diterima sebagai ibadat ialah kerja yang dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah S.W.T. Kerja yang dilakukan bukan kerana Allah S.W.T.adalah sia-sia dan tidak dianggap sebagai ibadat.Betapa pentingnya niat itu sehinggakan para ulamak telah meletakkan hadis berkaitan niat sebagai mukadimah dalam kitab-kitab mereka.Contohnya dalam kitab Matan Arbain susunan Imam Nawawi Rahimullah .Sabda Rasulullah S.A.W.:
Maksudnya :
"Sesungguhnya setiap amalan itu dikira berdasarkan niat . Dan sesungguhnya amalan seseorang itu akan dinilai berdasarkan apa yang diniatkan".
( Riwayat Abu Daud )

Sidang Jumaat sekalian,
Selain dari niat yang suci kerana Allah S.W.T., pekerjaan tersebut perlu sesuai dan tidak bercanggah dengan syariat Allah. Hari ini ramai pekerja mengakui bekerja kerana Allah namun disebalik kerja yang dilakukan jelas ia bertentangan dengan Allah seperti membuka aurat, kerja ditempat yang diharamkan seperti tempat perjudian,kelab-kelab malam,tempat yang terlibat dengan riba' dan seumpamanya. Bagaimana mungkin kita boleh dikatakan kerja tersebut sebagai ibadat jika yang dilakukan bertentangan dengan syariat Allah ?.
Didalam sebuah hadis riwayat Bahari bahawa rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Manusia yang paling rugi pada hari kiamat ialah orang yang menerima rezeki dari sumber pekerjaan yang haram hingga mereka masuk neraka".
Begitu juga terdapat sebahagian pekerja pada hari ini, kadang-kadang mereka begitu bersungguh-sungguh dengan niat yang baik dalam kerja. Namun hakikatnya, mereka tidak menjaga hubungan dengan Allah dan manusia seperti mengamalkan rasuah, salah guna kuasa, menipu, hasad dengki sesama rakan sekerja dan sering mengadu dumba Mereka ini sebenarnya adalah orang yang rugi dalam kehidupan kerana menganggap mereka dapat kemuliaan disisi Allah tetapi sebenarnya mereka adalah orang yang tertipu. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam surah Hud ayat 15 :
Maksudnya :
"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-quran tentang sah batalnya), maka kami akan sempurnakan hasil usaha mereka didunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya ".
Dalam memenuhi syarat untuk menjadikan kerja sebagai satu ibadat seterusnya ialah setiap pekerjaan perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kerja yang dilakukan dapat memenuhi kehendak pelanggan dan dapat meningkatkan produktiviti serta memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan. Setiap pekerja perlu berusaha dengan sebaik mungkin dan sedia menghadapi segala karenah dengan bersikap sabar,tekun,berwawasan dan seumpamanya. Adalah merupakan satu kesalahan jika kerja yang diamanahkan dibuat sambil lewa. Islam begitu tegas berkaitan kerja secara bersungguh-sungguh ini sehingga dijelaskan oleh Nabi S.A.W. :
Maksudnya :
"Sesungguhnya Allah S.W.T. suka apabila seseorang diantara kamu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh".
(Riwayat At-Tabrani)
Sidang Jumaat sekalian,
Apa pun kedudukan kita dalam pekerjaan , kita akan dipersoalkan dan akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah S.W.T. Sama ada kita sebagai majikan ataupun sebagai pekerja, kita wajib untuk melaksanakan segala amanah yang dipikul. Kita juga wajib mematuhi segala peraturan dan hukum yang telah digariskan oleh islam. Sabda Nabi S.A.W. :
Maksudnya :
"Bahawa sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang kepimpinan, pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan dipersoalkan tentang kepimpinannya".
(Riwayat Muslim)
Sidang Jumaat sekalian,
Marilah kita bersama-sama bertekad dan menguatkan azam untuk meningkatkan kualiti kerja supaya kerja kita dinilai sebagai ibadat oleh Allah S.W.T. Semoga kehidupan kita mendapat keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T didunia dan diakhirat.
Maksudnya :
"Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sudah tetap kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya".
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Pada khutbah yang kedua ini saya ingin berpesan kepada diri saya dan saudara-saudara semua tentang setiap pekerjaan yang kita lakukan adalah merupakan satu ibadat dengan syarat kerja-kerja yang dilakukan mestilah pekerjaan yang halal.Begitu juga setiap umat islam wajib bekerja menyara hidup dan Allah memberi ganjaran syurga dan pengampunan kepada orang yang bekerja dengan cara yang halal .
Ya Allah, engkaulah tuhan yang maha berkuasa, kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya Negeri Selangor, sebagai Negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadratmu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat suburkanlah jiwa kami dengan budaya pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit , persengketaan , kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian Negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Friday, April 24, 2009

Khutbah, Memasyarakatkan Masjid



Hari ini, 24 April 2009 adalah hari Jumaat, penghulu segala hari. Saya menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Ehsan, Bandar Kinrara. Teks khutbah pada minggu ini bertajuk memasyarakatkan masjid. Lazminya teks ini dibaca diseluruh masjid di negeri Selangor dimana teksnya disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor. Dibawah ini saya sertakan teks khutbah untuk dihayati.



Masjid al-Ehsan Bandar Kinrara


Suasana masjid selepas solat Jumaat

Teks khutbah Jumaat
Memasyarakatkan Masjid (diambil dari laman web JAIS)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah S.W.T., dengan melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.Semoga dengan itu, kita akan sentiasa dirahmati allah S.W.T. didunia mahupun diakhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Masjid ialah rumah Allah dan juga pusat pembentukkan masyarakat,yang dapat memainkan peranan kearah meningkatkan syiar Islam . Masjid tidak hanya terbatas kepada ibadat khusus sahaja,seperti ibadat solat .Sebaliknya , konsep dan falsafah masjid yang telah ditunjukkan dan diperkatikkan oleh sirah Rasulullah S.A.W. merangkumi semua aspek termasuk perhubungan diantara manusia dengan allah dan antara manusia sesama manusia.Sebagai contoh, masjid Nabawi di Madinah,adalah menjadi nadi kepada keutuhan masyarakat dan negara islam pertama,pusat perpaduan dan lambang kekuatan Islam.
Sirah Rasulullah S.A.W. merangkumi semua aspek termasuk perhubungan diantara manusia dengan Allah dan antara manusia sesama manusia.Sebagai contoh, Masjid Nabawi di Madinah , adalah menjadi nadi kepada keutuhan masyarakat dan Negara Islam pertama,pusat perpaduan dan lambang kekuatan Islam.
Memasyarakatkan masjid bererti menjadikannya berperanan dengan lebih luas sebagaimana kesyumulan Islam itu sendiri seperti pusat pentadbiran, kebudayaan, ekonomi, dakwah islamiah, aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, pendidikan dan tarbiah, pusat perundangan, riadah, sumber maklumat, pusat khidmat dan nasihat, pusat ekonomi dan penyatuan ummah.
Sidang Jumaat yang mulia,
Masjid adalah rumah Allah yang dibina untuk memenuhi semua keperluan kehidupan umat Islam.Kemakmuran sesebuah masjid lazimnya bergantung kepada keberkesanan pegawai dan keseluruhan jawatankuasanya,keprihatinan dan rasa bertanggungjawab anak kariahnya serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampungnya atau persatuan penduduknya . Firman Allah S.W.T. dalam surah At-Taubat ayat 18 :
"Sesungguhnya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk".
Dasar memasyarakatkan masjid ini adalah saranan Kerajaan Negeri yang dipertanggungjawabkan melalui jabatan Agama Islam Selangor.Selaras dengan itu ia bertanggungjawab memantau kemajuan dan pembangunan masjid melalui pegawai-pegawai penyelaras diperingkat Negeri dan Daerah semata-mata ingin melihat bahawa masjid akan terus membangun dan makmur.
Pemantauan yang dibuat antaranya :-
(1) Memastikan pengimarahannya menjadi pusat pemgembangan ilmu .
(2) Memastikan pentadbiran dan pengurusan yang cemerlang dengan wujudnya pusat pentadbiran masjid seperti pejabat,peralatan pejabat yang lengkap, dewan mesyuarat yang menepati keperluan,perjalanan mesyuarat bulanan terjadual, mesyuarat tahunan yang kemas dengan laporan aktiviti dan kewangan yang telus dan pentadbiran senarai anak kariah yang sentiasa terpantau.
(3) Memastikan aktiviti kebersihan dan keceriaan masjid.
(4) Memastikan aktiviti ekonomi seperti kutipan mingguan Jumaat, tanah wakaf dan sebagainya.
(5) Memastikan aktiviti kemasyarakatannya untuk semua peringkat seperti program mesra remaja contohnya program 'Summer Camp', motivasi,tusyen, laman web masjid,program mesra keluarga, program mesra msyarakat, program kebajikan dan lain-lain.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebenarnya,kejayaan memasyarakatkan masjid itu sangat bergantung kepada sejauh mana peranan dan fungsi yang dijalankan dapat menarik minat msyarakat Islam disekelilingnya dan mengubah masyarakat kepada cenderung beribadat dan menggunakan masjid tersebut untuk kebaikkan dan kebajikan.
Antara peranan yang perlu dilakukan oleh masjid untuk memasyarakatkan umat Islam kearah cemerlang ialah :
(1) Menyusun struktur kerja Masjid.
Salah satu ciri kejayaan sesebuah masjid untuk menjadi pusat pentadbiran dan perkembangan masyarakat islam adalah terletak pada jawatankuasa kerja yang dinamik dan berkalibar.
(2) Melahirkan pegawai jawatankuasa masjid yang cemerlang.
Pegawai dan jawatankuasa masjid sangat bergantung kepada kreativiti dan aktiviti yang diciptakannya untuk menghidupkan roh islam dimasjid dan jamaahnya.Oleh itu pegawai dan jwatankuasa masjid perlulah mempunyai pengetahuan dan wawasan yang luas serta mampu menyelesaikan masalah kemasyarakatan dengan sebaik mungkin.
(3) Menyatukan umat islam.
Pegawai dan jawatankuasa masjid amat mementingkan semangat bersatu padu dikalangan para jamaahnya.Tidakkan seperti ini adalah untuk mewujudkan kesatuan dikalangan para jamaah.
(4) Menghidupkan semangt Musyawarah.
Masjid adalah tempat untuk bermusyawarah,bukan sahaja diantara para pentadbir dengan jawatankuasa dan para pentadbir dengan jamaah, diantara sesama ahli jamaah ataupun anak kariah.
(5) Memperkukuhkan akidah Ummah.
Dalam kehidupan masa kini yang penuh dengan cabaran dan tentangan, masjid perlu berperanan mengukuhkan akidah umat islam supaya tidak mudah terpengaruh dan terjerumus ke dalam unsur-unsur negatif. Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Ahqaaf ayat 13 :
"Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinan dengan berkata : "Tuhan kami ialah Allah ", kemudian mereka tetapteguh diatas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu) ,maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik ) terhadap mereka , dan mereka pula tidak akan berdukacita".
Oleh itu benteng akidah ini menjadi lebih penting lagi kerana dewasa ini tersebar ajaran-ajaran serta fahaman akidah yang menyesatkan.
(6) Mempererat kerjasama antara umat.
Untuk mewujudkan kemakmuran masjid serta menjadikan umat islam sebagai umat yang maju, memerlukan kerjasama erat dikalangan jamaah. Dalam rangka membentuk perpaduan jamaah ini, masjid perlu memanfaat dan menggabungkan potensi jamaah dengan sebaik mungkin untuk menyebar dan menegakkan agama Allah yang suci, firman Allah dalam surah As-Saff ayat 4 :
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agmanya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh".
(7) Masjid penghubungan masyarakat.
Melahirkan gambaran perdamaian dan keagungan islam sebagai agama. Dakwah adalah baik jika masjid dapat membuka pintu kepada mereka yang bukan islam untuk melawat ke rumah Allah ini, agar mereka dapat hadiah.
(8) Menentukan pembahagian kerja dan kegiatan Masjid.
Nazir hendaklah bijak membahagikan kerja kepada semua jawatankuasa pengurusan mengikut bidang tugas yang sesuai, begitu juga merancang aktiviti atau program tahunan berdasarkan pengurusan perancangan berokjektif.
(9) Menyusun struktur pengurusan masjid.
Ia wajar menyusun struktur pengurusan masjid. Dengan memiliki kepimpinan yang beramanah, jujur, berwawasan dan berkemampuan. Semangat Syura perlu dibudayakan dalam membuat keputusan untuk kepentingan aktiviti masjid.
"Sesungguhnya masjid yang telah didirikann diatan dasar takwa pada hari pertama adalah lebih baik engkau sembahyang didalamnya. Di masjid itu ada orang-orang lelaki yang ingin membersihkan (menyucikan) dirinya dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin) ".
(Surah At-Taubat ayat 108)

Saudara-saudara sekalian.
Pada khutbah kedua ini marilah kita sama-sama renungkan beberapa langkah-langkah yang mesti dilaksanakan, contohnya:
1. Masjid hendaklah menjadi institusi ilmu yang sentiasa menyumbang kepada peningkatan penghayatan islam dan akidah untuk kecemerlangan masyarakat islam.
2. Masjid sebagai pusat Dakwah Islamiah dengan penganjuran ceramah, forum atau dialog umum, bagi mendidik masyarakat memahami islam.
3. Masjid hendaklah mendaji pusat rujukan dalam pelbagai masalah kehidupan masyarakat islam dan bukan Islam seperti menjadi pusat bantuan, khidmat nasihat (kaunseling), tempat sokongan dan dorongan dan penyelesaian masalah gejala sosial yang dihadapi oleh masyarakat ;
4. Masjid hendaklah menjadi tempat penyatuan dan pembinaan ummah sehingga umat islam bersatu, kuat dan gemilang.
5. Masjid hendaklah mampu menyediakan kemudahan fasiliti kepada pengguna masjid seperti ruang solat wanita, bilik perpustakaan, ruang seminar, bilik air yang bersih, persekitaran yang cantik dan menarik.
6. Masjid hendaklah bijak mengurus tabung, sumbangan atau kewangan masjid dengan profesional agar ianya telus dengan sistem pelaporan yang memberikan kepuasan kepada jamaah.
Ya Allah, engkaulah tuhan yang maha berkuasa, kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukhkan negara umat islam khususnya Negeri Selangor, sebagai Negeri yang maju, sejahtera dan berkebajika. Justeru kami pohon kehadratMu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar,kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Tarikh bacaan 24 April 2009.