Friday, May 1, 2009

Hari pekerja 2009

Hari ini adalah Hari Pekerja. Kebetulan jatuh pula pada hari Jumaat. Lalu ketika saya menunaikan solat Jumaat pada hari ini, teks khutbah yang dibacakan oleh khatib adalah berkaitan dengan isu kerja. Inilah teksnya untuk dihayati,


"KERJA SEBAGAI SATU IBADAT"

Khutbah Jumaat - 01 MEI 2009
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah sama-sama kita bersungguh-sungguh dan berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan sentiasa mematuhi dan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan Allah S.W.T. Mudah-mudahan kita memperolehi kesejahteraan dan kerahmatan dari Allah dalam menjalani kehidupan kita didunia dan akhirat.
Sesungguhnya Islam telah mewajibkan umatnya untuk berusaha dan mencari rezeki bagi menampung kehidupan didunia ini tanpa mengira jenis pekerjaan asalkan bertepatan dengan syariat Islam.Saranan tersebut telah jelas dalam Al-quran surah Al-A'raaf ayat 10 :
Maksudnya:
"Dan sesungguhnya kami telah menetapkan kamu (memberi kuasa) dibumi, dan kami jadikan untuk kamu padanya berbagai jalan penghidupan supaya kamu bersyukur, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur".
Dari Ibnu Umar R.A. telah bersabda Rasulullah S.A.W. :
Maksudnya:
"Tidak diterima iman tanpa amal dan tidak diterima amalan tanpa iman".
Islam amat tegas dalam soal mencari nafkah hidup didunia.Walau bagaimanapun, islam melarang manusia mementingkan dunia sehingga melupakan urusan akhirat. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. melalui firmannya dalam surah Al-qisas ayat 77 :
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadaMu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia ; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadaMu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-limpah) ;dan janganlah engkau melakukan kerosakkan dimuka bumi ; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakkan".
Sidang Jumaat sekalian,
Islam telah menetapkan satu prinsip yang jelas berkaitan sesuatu kerja yang boleh dikategorikan sebagai ibadat. Imam Ghazali dalam kitabnya Ikhya' Ulumuddin menjelaskan bahawa setiap pekerjaan itu hendaklah menepati ciri-ciri berikut iaiatu :
(1) Niat dan tujuan kerja itu mestilah untuk menjunjung perintah Allah.
(2) Kerja yang dilakukan tersebut tidak bercanggah dengan syariat Allah S.W.T.
(3) Kerja yang dilakukan adalah dengan bersungguh-sungguh dan tidak memudaratkan.
(4) Kerja tersebut tidak menghalang daripada menunaikan syariat Allah S.W.T. seperti solat, puasa dan sebagainya.
Sidang Jumaat sekalian,
Asas utama kerja yang dapat diterima sebagai ibadat ialah kerja yang dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah S.W.T. Kerja yang dilakukan bukan kerana Allah S.W.T.adalah sia-sia dan tidak dianggap sebagai ibadat.Betapa pentingnya niat itu sehinggakan para ulamak telah meletakkan hadis berkaitan niat sebagai mukadimah dalam kitab-kitab mereka.Contohnya dalam kitab Matan Arbain susunan Imam Nawawi Rahimullah .Sabda Rasulullah S.A.W.:
Maksudnya :
"Sesungguhnya setiap amalan itu dikira berdasarkan niat . Dan sesungguhnya amalan seseorang itu akan dinilai berdasarkan apa yang diniatkan".
( Riwayat Abu Daud )

Sidang Jumaat sekalian,
Selain dari niat yang suci kerana Allah S.W.T., pekerjaan tersebut perlu sesuai dan tidak bercanggah dengan syariat Allah. Hari ini ramai pekerja mengakui bekerja kerana Allah namun disebalik kerja yang dilakukan jelas ia bertentangan dengan Allah seperti membuka aurat, kerja ditempat yang diharamkan seperti tempat perjudian,kelab-kelab malam,tempat yang terlibat dengan riba' dan seumpamanya. Bagaimana mungkin kita boleh dikatakan kerja tersebut sebagai ibadat jika yang dilakukan bertentangan dengan syariat Allah ?.
Didalam sebuah hadis riwayat Bahari bahawa rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Manusia yang paling rugi pada hari kiamat ialah orang yang menerima rezeki dari sumber pekerjaan yang haram hingga mereka masuk neraka".
Begitu juga terdapat sebahagian pekerja pada hari ini, kadang-kadang mereka begitu bersungguh-sungguh dengan niat yang baik dalam kerja. Namun hakikatnya, mereka tidak menjaga hubungan dengan Allah dan manusia seperti mengamalkan rasuah, salah guna kuasa, menipu, hasad dengki sesama rakan sekerja dan sering mengadu dumba Mereka ini sebenarnya adalah orang yang rugi dalam kehidupan kerana menganggap mereka dapat kemuliaan disisi Allah tetapi sebenarnya mereka adalah orang yang tertipu. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam surah Hud ayat 15 :
Maksudnya :
"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-quran tentang sah batalnya), maka kami akan sempurnakan hasil usaha mereka didunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya ".
Dalam memenuhi syarat untuk menjadikan kerja sebagai satu ibadat seterusnya ialah setiap pekerjaan perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kerja yang dilakukan dapat memenuhi kehendak pelanggan dan dapat meningkatkan produktiviti serta memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan. Setiap pekerja perlu berusaha dengan sebaik mungkin dan sedia menghadapi segala karenah dengan bersikap sabar,tekun,berwawasan dan seumpamanya. Adalah merupakan satu kesalahan jika kerja yang diamanahkan dibuat sambil lewa. Islam begitu tegas berkaitan kerja secara bersungguh-sungguh ini sehingga dijelaskan oleh Nabi S.A.W. :
Maksudnya :
"Sesungguhnya Allah S.W.T. suka apabila seseorang diantara kamu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh".
(Riwayat At-Tabrani)
Sidang Jumaat sekalian,
Apa pun kedudukan kita dalam pekerjaan , kita akan dipersoalkan dan akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah S.W.T. Sama ada kita sebagai majikan ataupun sebagai pekerja, kita wajib untuk melaksanakan segala amanah yang dipikul. Kita juga wajib mematuhi segala peraturan dan hukum yang telah digariskan oleh islam. Sabda Nabi S.A.W. :
Maksudnya :
"Bahawa sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang kepimpinan, pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan dipersoalkan tentang kepimpinannya".
(Riwayat Muslim)
Sidang Jumaat sekalian,
Marilah kita bersama-sama bertekad dan menguatkan azam untuk meningkatkan kualiti kerja supaya kerja kita dinilai sebagai ibadat oleh Allah S.W.T. Semoga kehidupan kita mendapat keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T didunia dan diakhirat.
Maksudnya :
"Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sudah tetap kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya".
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Pada khutbah yang kedua ini saya ingin berpesan kepada diri saya dan saudara-saudara semua tentang setiap pekerjaan yang kita lakukan adalah merupakan satu ibadat dengan syarat kerja-kerja yang dilakukan mestilah pekerjaan yang halal.Begitu juga setiap umat islam wajib bekerja menyara hidup dan Allah memberi ganjaran syurga dan pengampunan kepada orang yang bekerja dengan cara yang halal .
Ya Allah, engkaulah tuhan yang maha berkuasa, kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya Negeri Selangor, sebagai Negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadratmu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat suburkanlah jiwa kami dengan budaya pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit , persengketaan , kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian Negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

No comments:

Post a Comment