Showing posts with label pengumuman. Show all posts
Showing posts with label pengumuman. Show all posts

Tuesday, November 2, 2010

Ice-Blended

Pagi tadi saya bertemu dengan sahabat saya, Kamarul atau lebih mesra disapa sebagai Pak Syeikh. Beliau kini mengusahakan perniagaan ice-blended secara sepenuh masa. Sebelum ini beliau bekerja makan gaji di sebuah syarikat swasta tetapi kemudiannya mengambil keputusan untuk berniaga sendiri. "Seronok kerja sendiri. Berkat hasil titik peluh kita. Hikmah bekerja sendiri ialah kita menyerahkan segala urusan kita kepada Allah Ta'ala. Kita tidak tahu siapa pelanggan kita, hari ini orang lain, esok mungkin orang lain. Semuanya diatur Allah Ta'ala. Apabila kita serahkan segalanya kepada Allah Ta'ala maka kita dapat merasakan bahawa semua rezeki adalah datang dari-Nya dan hubungan kita dengan Tuhan menjadi semakin dekat", kata beliau ketika mula-mula menceburkan diri dalam perniagaan tidak lama dahulu. Kini beliau mengorak satu langkah lagi ke hadapan. Beliau mula buat powder sendiri untuk ice-blended. Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan powder untuk membuat ice-blended, bolehlah hubungi terus beliau di no. berikut, 012-3769840. Kalau tak silap saya ada beberapa perisa antaranya latte, cappuchino, mocha, cocoa, honey dew, blue ice, strawberry dan vanilla.



Gerai bergerak Ice-Blended sahabat saya

Wednesday, December 30, 2009

Wednesday, December 9, 2009

Syeikh Muhammad Jibrel al-Misri di al-Falah USJ 9

KUNJUNGAN WIDA' KE MASJID AL-FALAH USJ 9
OLEH AL-MUKARRAM AL-QARI
SYEIKH MUHAMMAD JIBREL AL-MISRI
Setelah beliau berpeluang menyaksikan sendiri perjalanan ibadah Qurban di Masjid Al-Falah ini pada hari Tasyriq yang lalu dan bersama-sama meraikan majlis tersebut di sebelah malamnya, maka beliau sekali lagi mensudikan diri bagi merapatkan silaturrahim dengan warga MAF sekaligus mengakhiri percutian beliau di negara ini selama 2 minggu yang lalu. Sebagai wida' buat kali ini, beliau akan berada di MAF,
.
pada:
Khamis 10 DISEMBER 2009
bersamaan
23 ZULHIJJAH 1430h
selepas solat Maghrib.
.

Syeikh Muhammad Jibrel al-Misri

Kehadiran Muslimin dan Muslimat amatlah dihargai.
Dirujuk dari http://alfalahusj9.blogspot.com/

Monday, December 7, 2009

Ceramah Sejarah Beting Beras Basah

CERAMAH : LAGENDA BETING BERAS BASAH
PENCERAMAH : TUAN HAJI ARIFIN MOHD DAHLAN
TARIKH : 19.12.2009 / 2 MUHARRAM 1431H
HARI & MASA : SABTU / 10.00 - 11.30 PAGI
BERTEMPAT DI
BILIK SEMINAR BUYONG ADIL
ARAS 2, ANJUNG WISMA SEJARAH, KUALA LUMPUR

* Dengan segala hormatnya dijemput hadir*

Dirujuk dari http://www.psm.org.my/laman_utama.htm


Beting Beras Basah adalah sebuah tempat yang terletak di muara Sungai Perak berhampiran dengan pekan Bagan Datoh, Perak. Terdapat dua cara untuk sampai ke Beting Beras Basah iaitu dengan melalui jalan darat dan jalan laut. Dari Teluk Intan, jika melalui jalan raya jaraknya ialah sejauh 45 km menuju ke Pekan Bagan Datoh. Setelah sampai di pekan tersebut, pengangkutan seterusnya ialah dengan menaiki bot atau sampan untuk ke sana atau melalui Kampung Sg Balai dengan mengikut jalan darat yang mempunyai jambatan. Selain melalui Kuala Sungai Perak, Beting Beras Basah juga boleh dilawati melalui jalan pintas iaitu dari Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh, dengan menempuh jalan tar kecil sejauh enam kilometer yang hanya boleh dilalui dengan motor dan kenderaan kecil sahaja. Satu lagi cara ialah dengan meredah jalan kebun kelapa sawit dari pekan kecil Rungkup. Dari situ, kenderaan perlu ditinggalkan dan terpaksa berjalan kaki meredah paya bakau sejauh hampir setengah kilometer.
Sejarah Kesultanan Perak bermula pada awal abad ke 15 iaitu pada tahun 1528 dimana Sultan Perak yang pertama, Paduka Seri Sultan Muzzaffar Shah I telah ditabalkan di Beting Beras Basah, di kuala Sungai Perak berhampiran pekan Bagan Datoh. Sebelumnya, dua pembesar Perak iaitu Tun Saban dan Nakhoda Kassim telah menghadap Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang bersemayam di Kampar untuk memperkenankan seorang puteranya untuk dijadikan Sultan Perak. Baginda telah memperkenan permintaan tersebut dan mengarahkan putera keduanya iaitu Raja Muzaffar Shah ke Perak.
Sewaktu Bahtera baginda menghampiri di kuala Sungai Perak dan sampai ke kawasan Beting Beras Basah, bahtera baginda telah dipukul ombak yang besar dan terdampar secara tiba-tiba diatas satu beting ditengah lautan tersebut. Baginda telah mengarahkan supaya dibuangkan ke laut barang-barang yang berat, namun laut tetap bergelora. Lalu baginda pun berseru :
"Sekongkong Tanah Minangkabau
Selilit Pulau Perca
Di lengkong ular Saktimuna
Perpisahan Beta di selat Melaka
Jika Sah Beta Raja berdaulat
Lepaslah sekalian malapetaka"
Sultan Muzzaffar lantas mengambil mahkota baginda lalu membuangnya ke dalam laut. Secara tiba-tiba laut yang bergelora itu tenang kembali seperti biasa. Bahtera baginda dapat belayar semula seperti sediakala. Serentak dengan itu, Tun Saban dan pengikutnya melaungkan "DAULAT TUANKU" dan baginda Sultan Muzzaffar Shah pun ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama di Beting Beras Basah. Disebabkan peristiwa tersebut, baginda telah mengambil keputusan untuk mendarat di Beting Beras Basah dan ditabalkan sebelum meneruskan pelayaran baginda.
Sejak itu, setiap Sultan Perak yang akan ditabalkan disyaratkan datang ke Beting Beras Basah ini untuk istiadat pertabalan pusaka dan bersiram tabal dan beberapa upacara lain yang akan disempurnakan oleh Pawang Diraja. Selain Sultan, Raja Perempuan juga harus melakukan upacara yang sama. Kali terakhir upacara tabal raja ialah sewaktu pertabalan Sultan Azlan Shah dan Raja Perempuan Bainun pada penghujung tahun 1985. Menurut cerita orang-orang tua di Bagan Datoh, sewaktu Almarhum Sultan Idris hendak ditabalkan menjadi Sultan Perak ke 33, dalam tahun 1963, baginda telah menyusur menggunakan sampan kecil hingga sampai di tapak tempat Sultan Muzaffar Shah mendarat pada 1528.
Sejarah lama ada menyebut bahawa Raja Ahmad yang merupakan putera kedua Sultan Abdul Malek Shah (Sultan Perak ke 19 yang bertakhta dari tahun 1808 hingga 1825) adalah merupakan seorang Pawang Diraja yang sangat masyhur satu masa dahulu. Sebagai Pawang Diraja, Raja Ahmad sangat arif tentang kejadian-kejadian ghaib termasuk yang berhubungkait dengan makhluk halus. Atas kebolehannya itu, baginda dilantik oleh kekandanya Sultan Abdullah Muazzam Shah, Sultan Perak ke 20 (1825 – 1830 ) untuk menjaga jin kerajaan negeri Perak di Beting Beras Basah di Kuala Sungai Perak. Raja Ahmad mangkat ( terjatuh di Kuala Sungai Terus ) kira-kira dalam tahun 1827 dan selepas itu, tidak diketahui siapa penjaga Jin Kerajaan Negeri Perak seterusnya.



Jeti Beting Beras Basah

Makam (batu tanda) Raja Ahmad

Tuesday, December 1, 2009

Monday, August 17, 2009

Tuan Guru Haji Yunus Akib

Tuan Guru Haji Yunus Akib merupakan salah seorang ulama besar yang berasal dari Malim Nawar Perak pada abad ke 19 dan awal abad ke-20 Masehi. Beliau ada membina pondok Kampung Tualang Sekah tetapi kemudiannya tapak pondok itu telah digantikan dengan maahad tahfiz yang dibina sekitar tahun 1990-an. Murid-murid yang datang berguru dengannya datang dari seluruh pelusuk Tanah Melayu. Salah seorang anak muridnya ialah Tuan Guru Haji Muhammad bin Mustafa (1900-1950) yang berasal dari Kuala Jempol, Negeri Sembilan. Sama seperti gurunya, Tuan Guru Haji Muhammad turut membina pondok pengajian. Diriwayatkan ketika zaman kemuncak pondok tersebut, sebanyak 200 pondok telah didirikan oleh pelajar-pelajarnya yang datang dari seluruh pelusuk Alam Melayu termasuklah dari Jambi, Sumatera. Berbalik kepada Tuan Guru Haji Yunus Akib tadi, sebagai ulama besar beliau juga ada menghasilkan karya. Yang saya tahu cuma satu sahaja iaitu kalau tak silap saya, tajuknya ialah Masail Sibyan, rujuk gambar dibawah. Gambar ini pun saya perolehi dari laman web http://www.geocities.com/rie34/profail1.html. Sekiranya ada diantara pengunjung blog ini memiliki kitab ini, saya berminat untuk mendapatkan salinannya. Begitu juga sekiranya ada kitab-kitab lain yang dikarang oleh ulama ini, harap sudi maklumkan kepada saya.



Kitab Masail Sibyan yang membicarakan ilmu tauhid, sembahyang, puasa, zakat, haji dan sebagainya

Thursday, August 6, 2009

Tazkirah Jumaat

Ketika mata hampir nak terlelap, tiba-tiba ada satu poin yang agak menarik yang disampaikan dalam tazkirah Jumaat, sekaligus menyegarkan balik mata saya. Kata Ustaz Nazmi (nama ustaz yang sampaikan tazkirah tadi kalau tak silap saya le), Mungkin ada orang bertanya kenapa perempuan yang datang haid tidak perlu mengqadha’kan solatnya tetapi dalam ibadah puasa perlu mengqadha’kan puasanya. Lalu jawabnya, solat itu adalah satu ibadah dimana kita berhubung terus dengan Tuhan. Jadi dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Tuhan, maka solat tidak perlu diqadha’kan bagi perempuan yang datang haid. Sebaliknya dalam ibadah puasa, selain berhubung terus dengan Tuhan, kita juga sebenarnya berhubung dengan orang miskin. Ada bahagian orang miskin dalam ibadah puasa ini. Hikmahnya ialah supaya kita merasai apa yang dirasa oleh orang miskin. Jika mereka pernah merasai erti lapar, maka kita juga akan merasainya dengan berpuasa. Sebab itulah puasa perlu diqadha’ (diganti)[1]. Begitu juga dengan fidyah puasa yang diberikan kepada orang miskin kerana ada bahagian mereka itu disitu.

Lebih kurang macam tu le poin yang disampaikan. Tazkirah yang disampaikan pun agak ringkas sebab start agak lewat.



[1] Dalam konteks ini merujuk kepada perempuan yang datang haid

Wednesday, July 29, 2009

Blog baru - Resensi buku

Alhamdulillah tercapai juga hajat saya untuk membina blog ini. Blog ini saya didedikasikan kepada ayahanda saya yang sangat saya muliakan, Ayahanda Tuan Haji Zainal Badri bin Ahmad Rafaai. Blog ini boleh dicapai di alamat berikut, http://ikantongkol09-buku.blogspot.com. Blog ini menghimpunkan usaha peribadi saya memperkenalkan buku-buku yang berada dalam koleksi saya samada yang baru dan lama. Mudah-mudahan usaha kecil ini dapat memberi manfaat kepada tetamu yang datang berkunjung ke laman blog ini. Insyallah.

Monday, May 4, 2009

Blog baru tentang pengajian ilmu

Saya telah membina satu blog baru yang menghimpunkan siri pengajian ilmu yang telah saya hadiri. Blog ini saya dedikasikan kepada bonda yang dikasihi, Shahrizad Mohd Hashim dan ayahanda yang dikasihi, Zainal Badri Ahmad Rafaai.
Blog tersebut boleh dilayari disini,
Siri Pengajian Ilmu

Sunday, April 19, 2009

Muqaddimah

Dah lama nak buat blog sendiri tapi baru sekarang ada kesempatan. Saya letakkan nama blog ni ikan tongkol sebab suka dengan gulai masak aceh ikan tongkol yang dimasak oleh isteri saya dan juga oleh keluarga sebelah isteri saya. Dari mak mertua saya, mak saudara belah isteri saya, kakak ipar saya... semuanya mahir dengan masakan ini. Pernah tengok ikan tongkol tak? Inilah rupa ikan tongkol yang telah dimasak (yang dalam gambar ni bukan masak aceh tapi warna kuah tu dah lebih kurang macam masak aceh juga).



Gambar ni saya ambil kat website mana tah tadi, saya pun dah lupa address urlnya. Ikut kata isteri saya, masak aceh ikan tongkol ni, boleh tahan juga ‘renyah’[1]nya. Maksudnya dari segi bahan-bahan ramuannya, ada yang susah nak dapat kat market. Tentang kenapa ikan tongkol pula, kata mak mertua saya, boleh kalau nak guna ikan lain tetapi ikan tongkol lah yang paling sesuai sebab isinya yang agak keras tak mudah pecah. Gulai aceh ni boleh tahan lama, berhari-hari boleh tahan. Lagi lama, lagi sedap gulai tu sebab bila di’perangat’[2], gulai tu jadi lagi pekat dan sebati. Sebenarnya satu lagi sebab kenapa saya letak nama blog ni ikan tongkol ialah kerana saya meminati karya-karya Syeikh Hamzah Fansuri. Salah satu karyanya ialah yang bertajuk Syair Ikan Tongkol[3]. Syair ini ada dibahas/disyarah oleh anak muridnya iaitu Syamsuddin Sumatra-i. Tajuknya ialah Syarah Sya'ir Ikan Tongkol yang terdiri dari 20 balaman dan berbahasa Melayu). Dikatakan bahawa kandungannya adalah syarah terbadap 48 baris syair Hamzah Fansuri yang mengupas soal Nur Muhammad dan cara untuk mencapai fana' di dalam Allah. Saya belum pernah melihat syarah ini. Setakat ini, karya Syamsuddin Sumatra-i yang pernah saya lihat dan baca ialah Syarah Ruba'i Hamzah Fansuri yang disusun semula oleh Prof A Hasjmy lalu diterbitkan oleh DBP pada tahun 1976.
[1] agak sulit, susah
[2] dipanaskan
[3] Juga disebut ikan tunggal dalam syair ini