Showing posts with label keluarga. Show all posts
Showing posts with label keluarga. Show all posts

Wednesday, May 19, 2010

Nanas

Ayahanda mertua saya seorang yang amat gemar bercucuk-tanam. Boleh dikatakan pantang ada kawasan kosong sikit, pasti akan ditanamnya samada dengan pokok buah atau apa-apa jenis pokok kampung yang boleh dimakan seperti ulam dan sebagainya. Menariknya, kebanyakan pokok yang ditanam oleh ayah ‘menjadi’. Pokok buah seperti dokong, rambutan gading, mempelam, manggis, buah naga, nanas dan macam-macam lagi 'menjadi' belaka hasil usaha tulang empat kerat ayah. Ramai yang minat dengan nanas ayah. Malah nanas ayah juga turut menjadi tumpuan pencuri. Kalau rumah ditinggal dua tiga hari semasa musim pokok berbuah maka putih mata la jawabnye kerana buah dikebas orang. Nanas ayah sangat special. Ayah menanam pelbagai spesis nanas tetapi tidaklah saya pasti samada ianya dari jenis morris atau nanas Sarawak seperti yang terdapat di pasar-pasar besar seperti Tesco atau Mydin. Ada yang jenis daunnya berduri dan ada yang tidak. Buah yang terhasil juga bermacam jenis, ada yang besar dan ada yang kecil. Namun kesemuanya mempunyai satu persamaan iaitu SANGAT MANIS. Selain manis, nanas yang ditanam ayah juga tidak meninggalkan kesan ‘gatal’ atau ‘kesat’ pada lidah dan lelangit mulut setelah memakannya. Inilah kelebihan nanas yang ditanam ayah. Apabila saya kaji dan teliti balik, ada dua perkara yang menyebabkan nanas ayah ini menjadi sangat manis dan mempunyai keistimewaan sebegitu rupa. Pertama, ayah tidak kedekut menyiram pokok. Setiap hari, sekurang-kurangnya dua kali sehari ayah pasti akan menyiram pokok-pokoknya iaitu di sebelah pagi dan petang. Kedua, ayah sentiasa membaja pokok-pokoknya. Pokok-pokok yang ditanam tidak dibiar begitu sahaja. Beliau sentiasa melihat perkembangan pokok-pokoknya dan memastikan pokok-pokoknya sentiasa sihat. Apapun, kata kuncinya ialah disiplin. Bercucuk-tanam ni memerlukan disiplin yang tinggi. Tanpa disiplin, tanam apa pun tak menjadi.


Buah nanas dari pokok yang ditanam ayah

Thursday, October 1, 2009

Kota dan Makam Long Jaafar

Tahun lepas semasa bercuti di kampung, saya berpeluang menziarahi kota dan makam Long Jaafar. Ianya terletak di Bukit Gantang kira-kira 10-15 km dari bandar Taiping (jalan menghala ke Kuala Kangsar). Dari tepi jalan, papan tanda yang menunjukkan arah lokasi kedua-dua tempat ini boleh dilihat dengan mudah. Siapa sebenarnya Long Jaafar ni?
Beliau dilahirkan sekitar tahun 1790-an dan meninggal dunia pada tahun 1840. Long Jaafar adalah seorang usahawan Melayu yang berjaya dizamannya. Beliau mengusaha bijih timah di Larut, ladang tebu di Kerian dan Bagan Tiang dan ladang kopi di Assam Kumbang, Taiping. Beliau memiliki bangunan kediaman dan kota di Bukit Gantang. Kedua-dua bangunan ini berfungsi sebagai pusat pertahanan, pentadbiran, gudang untuk menyimpan bijih timah, gula dan kopi dan gudang untuk menyimpan bekalan makanan, perubatan dan lain-lain. Beliau dikatakan mempunyai tanah dan kediaman di Makkah. Beliau diberi kuasa memungut semua cukai di daerah Larut hingga ke Kerian oleh Sultan Perak. Sumbangan beliau dalam bidang agama dan pendidikan juga dapat dilihat dimana beliau diriwayatkan ada mewakafkan tanah untuk didirikan surau, masjid dan tanah perkuburan di Bukit Gantang dan Taiping, mendirikan pusat fardu ain dan kifayah, menyediakan guru agama dan mendirikan institusi pendidikan tidak formal seperti Sekolah Melayu Matang Gelugur yang dibina pada tahun 1826. Jasanya yang paling besar ialah sebagai pengasas bandar Taiping. Dari segi keturunan, beliau berasal dari jurai Tun Undan anak kepada Tun Saban. Bonda saya berketurunan Tun Kelalang yang juga merupakan anak kepada Tun Saban. Secara tidak langsung, ziarah saya ke makam Long Jaafar pada hari itu bolehlah dikatakan sebagai ziarah ke makam moyang juga.


Papan tanda Kota Long Jaafar. Kesan dinding kota masih jelas kelihatan

Dari bahagian dalam kota

Papan tanda Makam terletak ditepi jalan berkedudukan didalam kota



Jalan ke makam


Ada banyak makam disitu. Makam-makam disitu pastinya makam keluarga sebelah Long Jaafar

Ada makam yang ditanda dengan kain kuning

Rupanya ada beberapa makam yang bertanda dengan kain kuning memandangkan pemiliknya berdarah raja.




Sisi lain pandangan makam


Satu lagi sisi pandangan makam


Rasanya ada dalam 12-16 makam kot kat kawasan ni


Kompleks makam ini terletak di atas bukit
Selesai ziarah

Sunday, June 28, 2009

Kompleks Yayasan al-Jenderami, Kain Sulawesi





Jumaat yang lepas, saya ke Yayasan al-Jenderami bersama-sama dengan isteri saya. Kami sampai disitu lebih kurang jam 9.15 pagi. Suasana pagi disitu cukup mendamaikan. Kelihatan beberapa orang warga emas berjalan menuju ke masjid untuk mendengar kuliah yang hendak disampaikan. Di lapangan astaka dan ruang-ruang bercermin bersebelahan dengan pejabat, kelihatan beberapa kelompok pelajar yang diawasi oleh guru-guru masing sedang tekun menelaah. Saya kesitu sebenarnya kerana hendak mengambil buku yang saya tempah tempoh hari. Kata Ustaz Roee, buku tu dah lama siap. Lalu saya mengadakan temujanji dengan Ustaz Roee untuk mengambilnya pada pagi Jumaat. Sambil menunggu Ustaz Roee di pejabat, saya dan isteri mengambil kesempatan melihat-lihat bahan pameran yang ada di ruang menunggu pejabat. Tidak lama kemudian, Ustaz Roee pun datang. Saya tidak sabar-sabar untuk melihat buku-buku yang saya tempah tempoh hari. Buku-buku itu adalah buku-buku yang sangat sukar didapati di pasaran. Ianya berkenaan dengan manaqib tokoh-tokoh dan biografi ulama besar di Nusantara. Ada lima enam buku yang saya tempah tempoh hari. Selesai membelek buku, saya dan isteri kemudiannya berbincang dengan Ustaz Roee tentang pengelolaan sekolah agama. Kata Ustaz Roee, selain dari program sekolah rendah agama, Madrasah al-Jenderami turut menawarkan program seperti jisadani dan banat untuk para pelajar seawal dari umur 7 tahun. Program-program pengajian yang ditawarkan ini adalah berasaskan sistem pengajian pondok yakni membaca, meneliti dan menghafaz matan dari kulit ke kulit. Prestasi pelajar dinilai berdasarkan keupayaan mereka mengikuti teks-teks atau matan kitab. Sebab itu kata Ustaz Roee, bukanlah sesuatu yang aneh apabila pelajar-pelajar yang jauh lebih muda ditempatkan bersama-sama dengan pelajar yang lebih tua darinya. Ini adalah kerana sistem penilaian disitu bukanlah berdasarkan umur tetapi berdasarkan keupayaan pelajar memahami teks atau amatan yang terkandung dalam sesuatu kitab. Diakhir perbincangan, Ustaz Roee memaklumkan kepada kami bahawa pada 31/7 dan 1/8, akan diadakan sambutan Hari Hol Saiyidatina Siti Khadijah secara besar-besaran. Dia berharap agar kami dapat meluangkan masa hadir ke majlis itu. Selesai berbincang dengan Ustaz Roee, kami berkunjung ke Koperasi al-Barakah. Isteri saya membeli roti al-Barakah. Roti ini diusahakan sendiri oleh Yayasan al-Jenderami. Kami seterusnya bergerak menuju ke UKM Bangi kerana saya ada urusan disitu.




Saya sampai disini bersama isteri saya lebih kurang jam 9.15 pagi. Setelah meletakkan kereta di satu kawasan parkir diatas, kami berjalan menuju ke perkarangan Yayasan.

Plak peringatan perasmian pejabat urusan Yayasan. Seperti yang tertera, pejabat ini telah dirasmikan oleh Habib Muhsin bin Omar al-Attas pada tahun 2005

Satu sudut pandangan astaka dari bangunan pejabat. Kelihatan dua kelompok belajar sedang tekun menimba ilmu dibawah pengawasan guru masing-masing

Sebuah kitab Al-Quran lama yang bertulisan tangan dipamerkan di ruang pejabat

Masjid Yayasan al-Jenderami. Ada kuliah pada pagi itu.

Di sisi yang lain pemandangan Masjid. Di bahagian kiri masjid itu juga ada kelas-kelas pengajian yang sedang berjalan.

Ruang makan atau kafetaria. Lantai kawasan lapang kompleks Yayasan ini sentiasa dijaga dan dibersihkan.


Kawasan perumahan kompleks warga emas. Bersih, kemas dan dijaga dengan rapi.



Jenderami Inn. Kemudahan hotel yang disediakan oleh Yayasan

Papan tanda kawasan Kompleks Warga Emas Yayasan al-Jenderami

Pintu gerbang ke kawasan kompleks perumahan warga emas

Satu lagi kawasan perumahan yang ada di Kompleks Yayasan. Setiap rumah kalau tidak silap saya mempunyai nama penghuninya.

Kawasan perumahan yang sangat bersih dan sejuk mata memandang.

Roti al-Barakah yang diusahakan oleh Koperasi Yayasan.

Pamplet tentang barangan makanan yang diusaha dan dijual oleh Koperasi al-Barakah. Selain roti, makanan sejuk beku turut diusaha dan dijual.

Ini adalah satu replika pintu lama di hadapan pintu masuk bangunan ATMA, UKM. Saya tidak sempat hendak membaca tulisan yang tertera pada pintu itu kerana mengejar masa.

Ini adalah satu kain seperti kain batik tetapi namanya Kain Sulawesi. Kain ini dipamer di satu laluan tangga di bangunan ATMA UKM. Apabila ada perkataan Sulawesi, saya memang tidak teragak-agak untuk merakamnya. Sulawesi begitu dekat dihati saya walaupun saya belum pernah menjejakkan kaki kesana kerana disitulah tempat asal moyang saya yang berketurunan Bugis itu.

Sunday, June 14, 2009

Al-Barakah

Hari Khamis saya tidak kemana-mana, sekadar berehat-rehat di rumah sambil meninjau-ninjau kawasan sekitar rumah. Rumah mertua saya berada dalam Peringkat 7. Semuanya ada 9 peringkat. Felda ini diterokai kira-kira 31 tahun yang lalu. Ini berdasarkan kepada cerita lisan isteri saya yang datang ke kekawasan itu pada ketika usianya beberapa bulan (mengikut cerita mertua saya) dengan menaiki lori. Rumah-rumah Felda pada awalnya dibina tinggi-tinggi, maklumlah macam-macam binatang ada. Kini banyak rumah Felda yang telah dibina atau diubahsuai baru sehingga struktur asal rumah telah hilang. Rumah mertua saya pula sebaliknya. Struktur asal rumah masih lagi dikekalkan. Bahkan beberapa rumah disekeliling rumah mertua saya juga masih mengekalkan struktur asal dengan sekadar sedikit tambahan bahagian rumah. Pekan Lubuk Merbau tidaklah besar mana namun lengkap dengan kemudahan asas. Ada pejabat pos, balai polis dan pusat kesihatan. Ada satu stesen pam minyak, pasar basah, perpustakaan desa, sekolah rendah dan menengah. Di pekan, deretan kedai adalah di kiri dan kanan jalan. Rasanya ada lebih kurang 20 pintu kedai dikiri kanan jalan. Pasaraya yang agak besar adalah D'Mart yang dikendali oleh Felda sendiri. Hmm, sebenarnya saya tidak sabar untuk menanti hari esok. Esok jika mengikut perancangan saya adalah untuk ke Sik untuk mengikuti pengajian Tuan Guru Haji Salleh Musa, ulama besar yang sangat terkenal di utara Semenanjung dan mungkin juga di Alam Melayu. Disebelah petang, saya dan isteri saya mengunjungi rumah kakak ipar, Mahani yang letaknya didalam kawasan sekolah agama yang telah tidak digunakan lagi. Beliau menyewa disitu bersama anak-anaknya. Di Lubuk Merbau, saya bersolat jemaah di Masjid al-Barakah. Masjid ini agak baru juga kerana kalau tak silap catatannya ia dirasmi ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Timbalan Perdana Menteri. Ia merupakan satu-satunya masjid yang ada di Lubuk Merbau. Setiap kali waktu solat, saya anggarkan ada sekitar 100-150 orang datang berjemaah, atau mungkin lebih. Azan yang dikemundang dan bacaan surah dalam sembahyang oleh bilal dan imam di masjid ini sedap-sedap belaka. Cuma saya tidak pasti, ada atau tidak generasi pelapis disini kerana jemaah yang memenuhi masjid rata-ratanya adalah baya-baya ayah mertua saya.



Nanas yang ditanam disekeliling rumah mertua saya


Antara pokok yang ditanam oleh ayah mertua saya dibelakang rumah


Macam-macam pokok yang ditanam oleh ayah mertua saya. Pantang ada tanah kosong, mesti ada yang ditanamnya


Pokok naga yang ditanam oleh ayah mertua saya. Tumbuh subur di sebelah kiri bahagian rumah


Rumah ayah mertua saya. Lihat struktur asal dikekalkan iaitu dibahagian atas. Dibahagian bawah dan sebelah kanan adalah bangunan tambahan. Sebelah kanan itu adalah bekas kedai runcit ibu mertua saya.




Antara pokok yang ditanam oleh ayah mertua saya ialah durian, dokong, mata kucing, amra (kedondong), rambutan, manggis dan banyak lagi


Dan tentunya pokok pisang. Ada bermacam jenis spesis pokok pisang yang ditanam seperti nangka, bantan, abu dan macam-macam lagi. Tapi pisang bantan paling banyak dan pisang ini digunakan untuk buat kek pisang. Pisang nangka pula diguna untuk buat kerepek.


Rumah-rumah peneroka lain dihadapan rumah ayah mertua saya

Bahagian dalam masjid al-Barakah, Masjid utama Felda Lubuk Merbau


Menara utama masjid, terletak disebelah kanan masjid


Kubah masjid dari bahagian dalam

Bahagian dalam masjid. Kelihatan mimbar dalam gambar

Kubah dari satu sudut Masjid al-Barakah


Pandangan depan masjid al-Barakah, satu-satunya masjid utama di Felda Lubuk Merbau

al-Hana, Langgar



Hari ini hari Rabu. Dalam perancangan, kami akan bertolak ke Lubuk Merbau disebelah petang. Saya mengambil kesempatan disebelah pagi untuk meninjau kawasan disekitar Kuah. Saya ke Masjid al-Hana untuk melihat senibinanya yang boleh dikatakan agak unik juga. Selepas itu, saya ke kedai buku di pekan Kuah untuk melihat buku-buku yang dijual disitu. Memang menjadi tabiat saya untuk singgah mana-mana kedai buku yang berdekatan, mana tahu ada buku menarik yang boleh dijadikan 'ulam'. Tidak ada buku yang menarik perhatian saya, lalu saya kembali ke rumah bersiap-siap untuk ke jeti. Feri bertolak seperti yang dijadual dan sampai sejam berikutnya. Dari Kuala Perlis, kami mengambil jalan lama ke Alor Setar kerana hendak menghantar kakak sepupu yang tinggal di Alor Setar. Dalam perjalanan kami singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat Asar. Masjid ini terletak berdekatan dengan Muzium Padi, rasanya dekat dengan Gunung Keriang. Senibina masjid ini seakan-akan Masjid Zahir, masjid negeri Kedah. Agak pelik juga kerana tiada jemaah setempat yang hadir untuk menunaikan solat Asar. Lalu kami termasuk beberapa pengunjung luar lain yang turut singgah untuk menunaikan solat Asar berjemaah bersama-sama. Selesai solat, kami ke Alor Setar. Lokasi yang dicari ialah Terminal Shahab Perdana kerana kakak sepupu (sebelah isteri) tinggal disitu. Sebenarnya beliau memiliki kedai disitu dan kadangkala beliau bermalam bersama suaminya disitu. Sebelum itu, kami menjamu selera di sebuah gerai yang terletak bertentangan dengan terminal bas. Saya sempat juga mencuri masa ke Pustaka Darussalam yang tidak jauh dari gerai makan itu. Ada jugalah beli beberapa buku. Saya sebenarnya mencari buku karya Dato Syeikh Haji Zakaria tetapi tidak ada disitu, mungkin habis agaknya. Kami bertolak ke Lubuk Merbau melalui jalan Langgar - Pokok Sena - Naka. Di Langgar, kami singgah sekejap di Pekan Sehari kerana mertua saya ingin membeli buah-buahan.

Masjid utama di Kuah iaitu Masjid al-Hana. Masjid ini telah dilengkapi dengan kemudahan hawa dingin. Antara masjid tercantik di Langkawi.




Masjid al-Hana dari bahagian depan. Disebelah kanan itu ialah tandas


Satu lagi pandangan masjid al-Hana dibahagian hadapan. Dalam anggaran saya, masjid ini berupaya menampung antara 1000-2000 jemaah.


Masjid al-Hana dari bahagian belakang. Pintu utamanya disini (saya sebut belakang berdasarkan arah kiblat masjid)


Taska Islam yang terletak didalam perkarangan masjid al-Hana

Ini adalah pantai yang berdekatan dengan Taman Lagenda dan bersebelahan dengan Kompleks Jeti Pelancongan. Saya sendiri tidak tahu nama pantai ini tetapi ianya agak cantik dan tidak jauh dari rumah mertua saya. Asalnya kami ingin berkelah disini pada hari sebelumnya tetapi disebabkan laluan ke pantai ditutup kerana kerja-kerja pembaikan maka kami berkelah di Lubuk Semilang.


Satu pemandangan di hadapan Jeti Kompleks Pelancongan. Ombak begitu tenang di pagi hari


Langkawi diisytiharkan sebagai Taman Geopark pada 1 Jun 2007. Batu tanda ini terletak dihadapan bangunan LADA bertentangan dengan Taman Lagenda, tidak jauh dari pantai yang saya kunjungi tadi.






Inilah rupa bangunan Kompleks Jeti Pelancongan


Dan ini pula ialah kompleks Pekan Rabu yang sangat moden dan baru sahaja siap dibina. Telah ada peniaga yang memulakan operasi disini. Lokasinya ialah berdekatan dengan Kompleks Jeti Pelancongan tadi.



Ini ialah bangunan Pejabat Tanah Langkawi yang mempunyai senibina tipikal seperti kebanyakan pejabat-pejabat kerajaan yang ada di negeri Kedah. Lokasinya dijalan utama tidak jauh dari Masjid al-Hana.


Bot persiaran berlabuh di tepi jeti Kuah


Jeti Kuah. Kelihatan didalam gambar, feri yang kami naiki untuk ke Kuala Perlis.


Ini adalah masjid yang kami singgah untuk menunaikan solat Asar. Saya tidak tahu nama masjid ini tetapi lokasinya adalah dijalan utama menghala ke Alor Setar dari Kuala Perlis berdekatan dengan papan tanda Muzium Padi. Kalau tak silap saya dekat dengan Gunung Keriang. Wallahualam


Ruang utama masjid dibahagian dalam



Satu promosi batu nisan dan juga peringatan bagi yang masih hidup. Baru saya tahu harga batu nisan pun boleh tahan juga sebenarnya. Mencapai angka ratus ringgit juga.

Antara pengunjung yang hadir menunai solat Asar dimasjid ini. Lihat senibina masjid ini yang mirip kepada Masjid Zahir, masjid negeri Kedah.

Saya tidak pasti ini bangunan apa, mungkin balai atau dewan masjid. Saya tertarik dengan ukiran yang terdapat pada sisi bumbungnya.

Pemandangan masjid dari pintu pagar utama


Satu sisi pandangan masjid. Corak yang sama pada sisi bumbung meliputi hampir keseluruhan bahagian bumbung masjid

Ruang kedai Pustaka Darussalam di Shahab Perdana. Tak silap saya ini adalah cawangannya. HQnya ialah di tengah-tengah pusat bandar Alor Setar.


Pasar sehari di pekan Langgar