Tuesday, November 30, 2010

AIKOL

Isnin pertama selepas cuti Aidil Adha, saya menziarahi Dato Hj Md Saleh di biliknya di Jabatan Undang-Undang Islam di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim atau ringkasnya AIKOL di UIA. Hasil pertemuan dengan Dato' yang berlangsung lebih kurang sejam lebih, dapatlah saya menambah beberapa maklumat seperti yang telah diberikan oleh adindanya sebelum ini iaitu Ustaz Zakaria berkenaan dengan riwayat hidup ayahanda mereka iaitu Tuan Guru Haji Ahmad. Dari cerita Dato' barulah saya tahu bahawa Tuan Guru Haji Ahmad bersahabat baik dengan Tuan Guru Haji Ahmad Badawi dan Tuan Guru Haji Ahmad al-Fusani (Patani). Di akhir pertemuan, Dato' menghadiahkan buku tulisannya kepada saya.


AIKOL


Jabatan Undang-Undang Islam, AIKOL


Buku yang dihadiahkan kepada saya. Buku ini asalnya ditulis oleh Prof Dr Abdul Karim Zaidan, kemudiannya diterjemahkan oleh Dato' Haji Md. Saleh Haji Ahmad. Buku ini pernah diterbitkan sekitar tahun 1990-an tetapi ianya dikeluarkan dalam tiga jilid (kalau tak silap saya). Buku yang terbaru ini menghimpunkan ketiga-tiga jilid tersebut.

Trong

Keesokan harinya, saya menziarahi Ustaz Yusuf bin Din, setelah mendapat tahu bahawa beliau adalah salah seorang anak murid Tuan Guru Haji Ahmad, Kampung Sungai Petai. Ayahanda saya tidak ikut serta kerana ada urusan lain. Untuk mengetahui lokasi rumah Ustaz Yusuf, saya menghubungi Pakcik Hashifuddin. Beliau adalah ayahanda kepada sahabat saya, Sarizein. Saya menghubunginya kerana beliau mengenali ramai ustaz di sekitar bandar Taiping. "Rumahnya tak jauh dari Sekolah Agama Batu 8, Trong sebelum simpang masuk ke Changkat Ibol", kata Pakcik Hashifuddin ketika saya menghubunginya. Setelah boleh mengagak lokasi tersebut, saya bergegas ke sana. Ketika sampai di tempat yang dikatakan, saya pun memberhentikan kereta dan melihat dari luar mana satu rumahnya kerana terdapat beberapa rumah di kawasan itu. Saya bertanyakan kepada seorang penduduk tempatan yang kebetulan berada di situ. "Ustaz Yusuf yang berumur tu ke? Rumahnya masuk dalam sikit", kata wanita separuh usia kepada saya. Saya pun masuk ke satu lorong dan pergi ke sebuah rumah. Hati saya kuat mengatakan bahawa ini rumah Ustaz Yusuf. Saya memberi salam, tidak berjawab. Saya ke belakang rumah dan memberi salam. Ada seorang lelaki separuh umur sedang sibuk membasuh periuk. Dia membalas salam saya. "Ustaz Yusuf ke ni?", tanya saya. "Ya", jawabnya. Lalu kami pun berbual mesra seperti telah lama mengenali antara satu sama lain. Dari Ustaz Yusuf, saya mengenali beberapa lagi nama tokoh ulama, antaranya seperti Tuan Guru Haji Mahmud, Kampung Cheh dan Lebai Taib, Air Kuning yang dikatakan pernah menadah kitab kepada Tok Kenali, tokoh ulama terkemuka satu masa dahulu. Perbualan memakan masa lebih dua jam. Sebelum pulang, Ustaz Yusuf menghadiahkan saya sebuah kitab lama dan meminjamkan sebuah lagi kitab lama untuk rujukan. Terima kasih Ustaz.



Masjid al-Wusta, Batu 8, Trong tidak jauh dari rumah Ustaz Yusuf


Simpang masuk ke rumah Ustaz Yusuf

Pondok Kampung Berchat

Kami bertemu dengan Ustaz Ibrahim, anakanda Tuan Guru Haji Abdullah Perlis yang paling tua di sebelah petang. Rumahnya terletak di Changkat Jering. Menerusi maklumat yang disampaikan oleh Ustaz Ibrahim, dapatlah diketahui sedikit sebanyak tentang riwayat hidup Tuan Guru Haji Abdullah Perlis. Tuan Guru Haji Abdullah Perlis diriwayatkan alim dalam bidang tasawwuf. Beliau mendirikan pondok di Kampung Berchat. Pondoknya merupakan antara pondok terawal di kampung itu. Di pondok itu, beliau turut mengajar Al-Quran, fiqh, tauhid dan ilmu alat seperti nahu dan sorof. Dari Ustaz Ibrahim juga kami mendapat maklumat tentang seorang lagi tokoh ulama yang alim dalam bidang tasawwuf iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Chengal Jantan. Gelaran Chengal Jantan adalah kerana tokoh ini tinggal di Kampung Chengal Jantan tidak jauh dari Kampung Sungai Petai dan Kampung Berchat.



Jalan masuk menuju ke rumah Ustaz Ibrahim

Tuan Guru Haji Abdullah Perlis

Salah seorang tokoh ulama yang sangat berjasa di mukim Bukit Gantang ialah Tuan Guru Haji Abdullah Perlis. Ramai anak muridnya menjadi tokoh ulama dan pemimpin masyarakat. Salah seorang darinya ialah Tuan Guru Haji Ahmad, Kampung Sungai Petai. Saya menziarahinya warisnya iaitu anakandanya, Ustaz Ghazali dan Ustaz Ibrahim. Saya bersama ayahanda saya menziarahi Ustaz Ghazali terlebih dahulu. Sebenarnya Ustaz Zakaria, anakanda Tuan Guru Haji Ahmad yang saya temui terlebih dahulu di awal pagi mencadangkan kepada saya agar bertemu dengan Ustaz Ghazali jika ingin mendapatkan maklumat tentang Tuan Guru Haji Abdullah Perlis. Kata Ustaz Zakaria, "landmark rumahnya ada kedai jual handphone dan tong gas". Dari Toko Buku Sinar Bahagia, kami terus bergerak menuju ke Kampung Sungai Petai. Rumahnya betul-betul di tepi jalan. Betullah kata Ustaz Zakaria, di sebelah rumahnya ada sebuah kedai handphone. Di belakang kedai, ada lambakan tong gas masakan. Kami masuk ke dalam kedai. Hanya ada seorang remaja yang sedang menjaga kedai. "Kamu ini anak Ustaz Ghazali ke?" Tanya saya. "Ya", jawabnya. Menurutnya, ayahnya tiada di rumah. Dia keluar tapi tidak diberitahu ke mana. Kami mengambil keputusan untuk menunggu. Setengah jam kemudian, isterinya muncul di kedai. Rupanya dia juga tidak tahu ke mana suaminya pergi. Lalu saya mengambil keputusan untuk mendapatkan maklumat tentang Tuan Guru Haji Abdullah Perlis dari isterinya. Isterinya, Hajjah Aisyah mencadangkan kepada kami agar berjumpa dengan abang kepada Ustaz Ghazali iaitu Ustaz Ibrahim jika hendak tahu lebih lanjut tentang Tuan Guru Haji Abdullah Perlis. Lebih kurang 15 minit selepas itu, setelah mengucapkan terima kasih atas maklumat yang diberikan kami pun berangkat pulang.


Kedai milik keluarga Ustaz Ghazali


Pemandangan jalan menuju ke Kampung Sungai Petai dari bangunan kedai


Pemandangan jalan menuju ke Jelutong dari bangunan kedai


Pandangan kedai di sisi hadapan

Toko Buku Sinar Bahgia

Bersempena dengan hari yang mulia, Hari Raya Aidil Adha, saya bersama-sama ayahanda saya mengambil kesempatan masa yang ada dengan menziarahi beberapa orang ustaz yang pernah berguru kepada tokoh-tokoh ulama di Perak satu masa dahulu dan juga waris tokoh ulama yang berjasa kepada perkembangan ilmu agama di Taiping. Salah seorang tokoh ulama yang pernah berjasa menabur ilmu di Taiping dan kawasan sekitarnya ialah Tuan Guru Haji Abdul Malek. Beliau meninggal dunia sekitar bulan Mei 2010 dalam usia lebih 90 tahun. Tuan Guru Haji Abdul Malek agak low-profile sikit berbanding dengan tokoh-tokoh ulama yang sezaman dengannya. Ini adalah kerana beliau banyak mengajar di rumah sahaja. Ketika hayatnya, beliau tinggal di Larut Tin. Namun bagi mereka yang suka menadah kitab-kitab Arab, Tuan Guru Haji Abdul Malek adalah tempat tumpuan mereka. Mengikut kata anak muridnya, Ustaz Jailani, yang saya ziarah pada petang itu, "Adakalanya kuliah sampai lewat malam tetapi disebabkan kupasannya sangat menarik maka masa dirasakan begitu singkat". Ustaz Jailani ketika saya temui berada dalam keadaan uzur di rumahnya. Dia menghidap penyakit saraf. Ustaz Jailani menimba ilmu kepada ramai tokoh-tokoh ulama Perak antaranya ialah seperti Tuan Guru Haji Mat Saman Kati, Tuan Guru Haji Nawawi (Pak Wi Janggut Merah) dan Tuan Guru Haji Ahmad Nahu, Selinsing.Tuan Guru Haji Abdul Malek diriwayatkan adalah antara tokoh terawal membuka kedai buku agama di bandar Taiping. Kedai tersebut namanya Toko Buku Sinar Bahgia. Ketika cuti Raya Aidil Adha yang lepas, saya sempat berkunjung ke kedai buku tersebut. Anaknya bernama Taufik kini mengambil alih urusan kedai. "Dahulu kedai ini tempat tumpuan orang mencari kitab Arab", katanya. Selanjutnya, beliau menyatakan bahawa kedai ini satu masa dahulu banyak diuruskan oleh bondanya. Apapun, kedai ini adalah antara kedai buku tertua di bandar Taiping.



Toko Buku Sinar Bahagia di Bangunan Sri Larut


Antara buku dan kitab yang dijual di kedai ini


Sisi lain kedai


Anakanda Tuan Guru Haji Abdul Malek, Taufik (baju hijau) sedang melayan pelanggan


Pandangan hadapan kedai

Manaqib 4 Wali Qutub

Selama 4 hari berturut-turut menjelang Hari Arafah yang lepas, program mendekati para Kekasih Allah yang dipimpin oleh Tuan Guru Yang Mulia, Syeikh Muhammmad Fuad telah diadakan di Ampang. Dalam program tersebut, Syeikh mensyarahkan manaqib 4 Wali Qutub iaitu Imam Ahmad al-Rifa'i, Imam Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, Imam Sayyid Ahmad Badawi, Imam Abu Hasan asy-Syazuli. Kitab yang digunakan ialah Hadiqatul Azhar wal Rayahin fi Manaqib al-Akhyar wa Akhbar al-Solihin pada bab Manaqib al-Aulia'. Kitab ini dikarang oleh ulama besar Alam Melayu iaitu al-Allamah Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fathani. Pada hari Arafah di sebelah malamnya, Syeikh telah mengijazahkan kepada ikhwan, kitab Inayah di Pintu Empat Kekasih Allah. Di dalamnya terkandung hadith musalsal yang merantaikan nama 4 Wali Qutub seperti yang dinyatakan di atas dan juga empat salawat yang disusun oleh Wali-Wali Qutub ini.



Kitab yang dikarang oleh Al-Allamah Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fathani


Kitab Inayah di Pintu Empat Kekasih Allah

Sunday, November 7, 2010

Zikir

Diriwayatkan daripada Juwairiyah Ummil Mukminin r.a., bahawasanya Nabi s.a.w keluar dari rumahnya pada suatu pagi setelah habis sembahyang subuh sedang Juwairiyah masih di tempat sembahyangnya (berzikir), apabila beliau kembali ke rumah setelah menunaikan shalat Dhuha, beliau dapati Juwairiyah masih di tempat sembahyangnya lagi, lalu beliau bertanya: Apakah engkau masih lagi berkeadaan seperti aku tinggalkanmu tadi? Maka berkata Nabi s.a.w.: Bila aku meninggalkanmu tadi aku telah mengucapkan empat kalimah sebanyak 3 kali, jika ditimbang dengan apa yang engkau ucapkan sejak awal hari tadi niscaya ia lebih daripada apa yang engkau ucapkan, iaitu wirid yang disambung dengan "sebanyak bilangan ......".

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِـهِ وَرِضَـى نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِداَدَ كَلِمَاتِهِ

Ertinya; Maha Suci Allah dan puji-pujian untukNya, sebanyak bilangan makhlukNya, sebanyak bilangan keridhaanNya, sebanyak timbangan ‘ArsyNya dan sebanyak tinta untuk menulis kalimatNya.

Amalan bulan Zulhijjah

Tuesday, November 2, 2010

Ice-Blended

Pagi tadi saya bertemu dengan sahabat saya, Kamarul atau lebih mesra disapa sebagai Pak Syeikh. Beliau kini mengusahakan perniagaan ice-blended secara sepenuh masa. Sebelum ini beliau bekerja makan gaji di sebuah syarikat swasta tetapi kemudiannya mengambil keputusan untuk berniaga sendiri. "Seronok kerja sendiri. Berkat hasil titik peluh kita. Hikmah bekerja sendiri ialah kita menyerahkan segala urusan kita kepada Allah Ta'ala. Kita tidak tahu siapa pelanggan kita, hari ini orang lain, esok mungkin orang lain. Semuanya diatur Allah Ta'ala. Apabila kita serahkan segalanya kepada Allah Ta'ala maka kita dapat merasakan bahawa semua rezeki adalah datang dari-Nya dan hubungan kita dengan Tuhan menjadi semakin dekat", kata beliau ketika mula-mula menceburkan diri dalam perniagaan tidak lama dahulu. Kini beliau mengorak satu langkah lagi ke hadapan. Beliau mula buat powder sendiri untuk ice-blended. Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan powder untuk membuat ice-blended, bolehlah hubungi terus beliau di no. berikut, 012-3769840. Kalau tak silap saya ada beberapa perisa antaranya latte, cappuchino, mocha, cocoa, honey dew, blue ice, strawberry dan vanilla.



Gerai bergerak Ice-Blended sahabat saya