Walaupun telah lama berlalu tetapi saya kira agak penting juga untuk merakamkan peristiwa ini. Pada 30 April 2011 bersamaan 26 Jamadil Awwal 1432, saya telah menghadiri majlis konvokesyen ke-19 Kolej Dar al-Hikmah (KDH) di Institut KWSP, Bangi. Saya hadir bersama isteri. Konvo ini saya rasa bukan sahaja bersejarah bagi diri saya tetapi juga bagi KDH kerana buat pertama kalinya telah berjaya mengeluarkan graduan sarjana hasil usahasama dengan IAIN Imam Bonjol Padang. Selain dari itu, kalau tidak silap saya, majlis ini juga telah berjaya memperkenalkan anugerah Bestari al-Hikmah buat kali pertama. Majlis bermula lebih kurang jam 10 pagi. Tumpuan hadirin selain dari acara penyampaian sijil sudah pasti tersorot kepada ucaptama Presiden dan juga ucapan penerima anugerah Bestari al-Hikmah. Ucapan Presiden, Dato Dr Siddiq Fadzil sungguh bertenaga. Isteri saya yang pertama kali mendengar bicara Dato' langsung teruja. Ucapan Dato' adalah tentang kehilangan roh dalam institusi pendidikan. Dato' banyak mengutip fakta dari buku Excellence Without a Soul yang digarap oleh Harry R. Lewis tentang pengalamannya bersama Universiti Harvard. Ucapan penerima anugerah Bestari al-Hikmah juga tidak kurang hebatnya. Penerimanya iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Osman bin Bakar juga berbicara tentang tema pendidikan. Antara kata-katanya yang saya masih ingat, "Dalam usia yang mencecah 19 tahun, sewajarnya KDH bergelar universiti". Memang betul bagi saya, KDH sudah sepatutnya bergelar universiti atau setidak-tidaknya kolej universiti. Selanjutnya, kata beliau (kalau tak silap saya), "ukuran sesebuah universiti itu bukanlah atas keluasan persekitaran atau bangunannya tetapi ilmu dan warganya". Majlis konvokesyen ditangguhkan sekitar jam 1.15 tengah hari.
Institut KWSP
Para graduan
Penerima Anugerah Bestari al-Hikmah
Prof Emeritus Datuk Dr Osman bin Bakar dipakaikan jubah anugerah
No comments:
Post a Comment