Teringat minggu lepas. “Jadi ke Ustaz?” Tanya saya pada Ustaz Nasir. Jam melepasi angka 12. “Macam jadi, nanti ana confirm balik”, balas Ustaz Nasir. Setengah jam kemudian, Ustaz Nasir call. “Jadi, anta datang sekarang”. Saya bingkas bangun. Start kereta. Jam sudah pukul 1 pagi. Sesampai saja di tempat yang ditujui, kelihatan Syeikh Awadh sudah bersedia di tempat mengajar. Di hadapannya beberapa orang pencinta ilmu. “Anta sampai on-time. Kitorang dah nak start nih”, kata Ustaz Nasir kepada saya. Saya mencari tempat. Majlis bermula. Matan dibaca di hadapan syeikh. Sesekali Syeikh membetulkan bacaan pencinta ilmu. Sedar tak sedar tiga kitab sudah berlalu. Selesai bacaan, Syeikh mengijazahkan sanad kitab-kitab tersebut yang diterima dari gurunya seterusnya bersambung kepada pengarang kitab-kitab tersebut. Jam sudah hampir jam 3.30 pagi. Syeikh hanya mempunyai beberapa jam lagi untuk berkemas sebelum berangkat pulang. “Pukul berapa flight Syeikh?” Tanya saya pada Ustaz Anwar, penganjur majlis. “Lebih kurang jam 10.45 pagi. Tapi kami kena bertolak ke KLIA lebih kurang jam 8 pagi”. Bererti syeikh hanya ada lebih kurang 4 jam lebih sahaja lagi untuk berkemas dan merehatkan badan buat seketika. Benarlah kata ulama, “Tidak ada kerehatan bagi ahli ilmu”. Kata guru kami, "Mengajar itu adalah satu kerehatan". Benar. Syeikh telah berada di bumi tercinta ini untuk memimpin majlis khatam Sahih Bukhari yang berjalan selama dua minggu. Saya sempat menghadirkan diri dalam beberapa sesi majlis. Walaupun dalam tempoh yang singkat, sesiapa yang bersamanya pasti akan merasa kasih terhadapnya. Orangnya sangat tawadhuk. Sangat menjaga pandangan mata. Tidak banyak bicara. Tetapi apabila membuka suara yang dituturkan semuanya mutiara. Tidak pernah merasa jemu atau bosan melayani permintaan pencinta ilmu walau sehingga larut malam. Teringat pertemuan saya dengan Ustaz Anwar selepas syeikh berangkat pulang. Katanya, “Ana masih ingat lagi masa mula-mula Syeikh sampai, benda yang dimintanya ialah seterika”. Syeikh tidak mahu dilayan seperti tetamu. Beliau menyeterika pakaiannya sendiri. Tidak mahu diambilkan air untuknya sebaliknya beliau sendiri yang akan mengambilnya. Mana mungkin saya dapat melupakan pertemuan ini. Terima kasih atas segala ilmumu Syeikh!
Syeikh Muhammad 'Awadh al-Manqoush ketika sesi pembacaan Sahih Bukhari
No comments:
Post a Comment