Wednesday, June 8, 2011

Dari Lubuk Ke Pendang Siri 1

Saya berkesempatan menziarahi Pondok Gajah Mati ketika pulang bercuti di kampung sebelah isteri saya di Lubuk Merbau pada 3 Rajab yang lepas. Hajat untuk menziarahi pondok ini telah lama terpendam sejak saya mula mengadakan kajian lapangan tentang Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Petai pada akhir tahun lepas. Disebabkan tidak mempunyai kelapangan saya tangguhkan hajat tersebut hinggalah pada 3 Rajab yang lepas ianya berjaya direalisasikan. Pagi-pagi lagi saya bersama isteri dan anak lelaki saya telah bergerak keluar dari Felda Lubuk Merbau menuju ke Pendang. Pondok Gajah Mati ini terletak kira-kira 2 atau 3 km menuju ke Pendang. Lagipun memang kami nak ke Pendang kerana hendak membeli ubatan untuk ayahanda mertua saya yang sering uzur belakangan ini. Kami tiba di Pondok Gajah Mati lebih kurang setengah jam kemudian. Perjalanan agak santai kerana kenderaan tidak banyak di sebelah pagi.
Saya mencari rumah Tuan Guru Haji Wan Izzudin kerana saya difahamkan bahawa dialah yang kini menguruskan pondok peninggalan almarhum ayahandanya iaitu Pak Chu Him. Setibanya di perkarangan kawasan pondok, kami disapa oleh seorang lelaki dewasa. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Nasruddin. Saya membahasakan dirinya sebagai Abang Nasruddin kerana usianya jauh lebih tua dari saya. Menurutnya, Tuan Guru Haji Wan Izzudin tidak ada di rumah kerana beliau berada di KL. Kami di jemput masuk oleh Abang Nasruddin ke dalam rumahnya yang letaknya bersebelahan dengan rumah Tuan Guru Haji Wan Izzudin. Beliau menyatakan bahawa beliau adalah anak saudara kepada Tuan Guru Haji Wan Izzudin. Tinggal bersamanya pada waktu itu ialah bondanya yang bernama Hajjah Wan Nafisah yang merupakan kakak kepada Tuan Guru Haji Wan Izzudin. Isteri dan anak Abang Nasrudin pada ketika itu tidak ada di rumah, kalau tak silap saya mereka pulang ke kampung sebelah isterinya. Ayahanda Abang Nasrudin ialah almarhum Tuan Guru Haji Mahmud. Ayahandanya pernah memondok di Pondok Bermin satu masa dahulu.
Abang Nasrudin menunjukkan kepada saya lokasi pondok dan surau yang masih lagi digunakan hingga ke hari ini. Begitu juga dengan lokasi anak tangga yang menuju ke Sungai Pendang. Agaknya inilah laluan para penuntut ilmu satu masa dahulu turun ke sungai untuk membasuh pakaian dan mandi. Surau baru dan asrama baru untuk penuntut ilmu masih dalam pembinaan. Pondok Gajah Mati yang diasaskan oleh Tok Ayah Doi, ayahanda mertua Pak Chu Him adalah sebuah institusi pengajian yang sangat penting di kawasan sebelah utara satu masa dahulu. Ada saya terbaca dalam buku “Ulama Besar Patani” yang menyatakan bahawa Pondok Gajah Mati ini satu masa dahulu adalah sangat masyhur dan merupakan pondok kedua besar selepas Pondok Titi Gajah yang dipimpin oleh Tuan Hussain Kedah. Sementara dalam satu buku yang lain kalau tak silap saya buku “Biografi Ulama Kedah” ada menyatakan bahawa bilangan pondok di Pondok Gajah Mati ketika zaman kemuncaknya mencapai 400 buah. Ketika berada di lokasi, saya cuba membayangkannya. Agaknya pada masa itu seluruh kampung tersebut di kelilingi dengan pondok-pondok. Pernah saya bertanyakan kepada Dato Haji Saleh tentang keluasan pondok itu kerana beliau juga pernah menimba ilmu di situ dan katanya memang besar kawasan pondok pada masa itu.
Tidak jauh dari Pondok Gajah Mati ada satu lagi pondok yang tidak kurang masyhurnya. Pondok yang dimaksudkan ialah Pondok Chegar yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Rubat. Kata Abang Nasrudin, kini yang tinggal di Pondok Chegar ialah pondok kelamin. Saya mendengar nama Tuan Guru Haji Ahmad Rubat ketika saya bertemu Ustaz Ibrahim. Ustaz Ibrahim adalah anakanda kepada Tuan Guru Haji Abdullah Perlis. Katanya, Tuan Guru Haji Ahmad Rubat adalah rakan sepermainan ayahandanya ketika mereka masih kecil dan menimba ilmu di Kedah satu masa dahulu. Tuan Guru Haji Abdullah Perlis adalah merupakan guru kepada Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Petai. Saya tidak berkesempatan untuk mengunjungi Pondok Chegar pada hari itu kerana perlu ke Pendang untuk menyelesaikan urusan lain. Dan selepas itu, kami perlu pulang semula ke Kuala Lumpur.
Teringat pesan ibu mertua saya yang memesan ulam raja, isteri saya meminta izin untuk mengambil sedikit ulam raja yang berkebetulan ada di hadapan rumah Hajjah Wan Nafisah. Selepas itu kami pun bergerak menuju ke Pendang.







Sebahagian dari kitab-kitab peninggalan Tuan Guru Haji Mahmud yang telah rosak. Kata Abang Nasrudin, sebelum itu beliau telah berusaha untuk memuliharanya tetapi setelah menggunakan peralatan yang kononnnya boleh memuliharanya, ia menjadi semakin teruk pula




Asrama pelajar sedang dalam pembinaan


Surau baru dalam pembinaan

Tempat mengambil wuduk dan tandas di luar surau lama

Bahagian hadapan surau asal

Sebahagian kitab yang ada di dalam surau

Sisi lain surau di sebelah dalam

Pondok yang berjasa







Pintu masuk surau

Kediaman Tuan Guru Haji Wan Izzudin

Salah satu tangga menuju ke sungai

Tangga ini lebih mudah menuju ke sungai. Kedudukan tangga ini adalah berdekatan dengan pondok pelajar


Pemandangan sungai dari tangga kedua

Sisi lain pemandangan sungai

Pemandangan atas dari tangga kedua

Sisi lain pemandangan sungai

Dari lokasi tangga kedua ini, boleh kelihatan jalan kampung yang menghubungkan Pondok Gajah Mati ke Pondok Chegar



No comments:

Post a Comment