Hati saya telah terpaut tatkala mendengar kewujudan universiti ini buat pertama kalinya tahun lepas. Walaupun ianya telah wujud berpuluh tahun yang lalu tetapi tahun lepas adalah kali pertama saya mendapat tahu tentang universiti. Universiti ini mungkin daif dari segi prasarana dan kemudahan pembelajaran serta tempat tinggal. Tiada trek padang, balapan, gelanggang futsal, asrama bertaraf apartmen atau dewan kuliah yang hebat-hebat. Tetapi kehebatan atau kelebihan yang ada pada universiti ini yang tidak terdapat ditempat-tempat lain ialah sistem pendidikannya yang berupaya membina jati diri dan kekuatan spiritual serta membuatkan seseorang benar-benar berasa insaf bahawa diri ini tidak mempunyai apa-apa melainkan semuanya adalah pinjaman dari Pencipta yang Esa iaitu Allah swt. Sifat takbur, ego dan sentiasa berasa tidak cukup dibuang jauh-jauh tatkala berada ditempat seperti ini. Walaupun saya tidak pernah sampai kesini namun saya dapat merasakan bahawa berada disini pasti menerbitkan perasaan kekerdilan yang amat sangat. Apalah yang ada pada diri ini melainkan semuanya adalah milik Allah semata-mata. Harta, pangkat dan segala macam anugerah dan nikmat adalah pemberian Allah swt kepadanya hambanya. Hakikatnya manusia tidak memiliki apa-apa kerana semua yang ada adalah kepunyaan Allah. Inilah pendidikan sejati yang tidak terdapat di tempat-tempat lain. Pada saya, pendidikan sebeginilah yang sepatutnya menjadi teras kepada mana-mana universiti dalam dunia kerana ia menyedar dan seterusnya mendidik manusia agar sentiasa ingat akan tanggungjawabnya sebagai hamba kepada Allah swt dan khalifah untuk menguruskan sumber alam. Apa yang terjadi pada masa adalah sebaliknya dimana ilmu-ilmu alat menjadi teras pendidikan diuniversiti. Natijahnya, pelajar-pelajar universiti mungkin hebat dengan ilmu-ilmu alat seperti kejuruteraan, perubatan, ekonomi dan sebagainya tetapi gagal mencari hubungannya dengan agama. Lalu terhasillah ciptaan-ciptaan atau senibina-senibina yang boleh merosakkan alam, memusnahkan ekosistem dan memberi kesan buruk kepada makhluk lain. Sistem kapitalis atau sebarang idealisme ciptaan manusia didokong kononnya dianggap terbaik untuk memimpin manusia sedang didalam Islam telah disebut dalam al-Quran dan Hadith tentang bagaimana cara-cara yang betul untuk bermuamalat dan sebagainya. Sebab itulah sistem pendidikan yang ingin saya paparkan disini mendahulukan pengajian Islam terlebih dahulu. Setelah pemahaman tentang Islam kukuh maka barulah ilmu-ilmu lain dipelajari dan ditelaah. Dengan itu, barulah Islam dapat dipraktikkan kesegenap bidang ilmu lain. Inilah yang berlaku pada zaman kegemilangan Islam zaman Abbasiyyah dan Andalusia. Sarjana Islam memahami makna Islam dan kemudiannya mempraktikannya dalam bidang-bidang yang mereka ceburi. Lalu terhasillah senibina, ciptaan, kaedah dan teknologi yang tidak merosakkan ekosistem bahkan memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada manusia tetapi juga alam seluruhnya.
Baiklah, berbalik kepada universiti yang ingin saya paparkan disini, ianya adalah berkenaan dengan sebuah universiti yang sangat istimewa di Mauritania, sebuah negara dalam benua Afrika.
Sebenarnya universiti ini tergolong dalam sistem pengajian tradisional Islam. Di Mauritania, institusi pengajian tradisional Islam disebut sebagai "mahdhara." Mahdhara yang paling masyhur yang menjadi tumpuan pelajar dari seluruh dunia ialah mahdhara yang dipimpin oleh Syeikh Murabit al Hajj.
Nama penuhnya ialah Sidi Muhammad bin Salek bin Fahfu. Beliau dari suku Massumi dan jika dijejak susur galurnya bertemu dengan suku Himyar di Yaman. Syeikh Murabit berasal dari keluarga yang sangat dihormati di Mauritania disebabkan kewarakan dan ketinggian ilmunya dalam bidang agama. Setelah menyelesaikan pengajian dibawah bimbingan ayahandanya, Syeikh Murabit memulakan langkah pertama menuju ke Makkah untuk menunaikan haji. Beliau pergi ke Makkah ketika berusia 19 tahun. Perjalanannya adalah dengan berjalan kaki dan mengambil masa 3 tahun untuk sampai ke sana. Beliau berjalan melintasi Mali, Niger, Chad dan Sudan sebelum menaiki bot menuju ke Yaman. Dari sana, beliau berjalan menuju ke Makkah. Beliau ditawarkan jawatan sebagai pengajar di Makkah tetapi mengambil keputusan untuk pulang ke tanah tempat asalnya. Setibanya di kampung halaman, ibunya memberikan gelaran Hajj bersempena dengan perjalanannya menunaikan haji di Makkah. Gelaran Hajj itu ‘lekat’ sebagai namanya hingga kini.
Pada ketika ini usia Syeikh Murabit menjangkau 95 tahun (ada yang mengatakan usia Syeikh telah pun melepasi 100 tahun). Sepanjang masanya dihabiskan untuk ibadah kepada Allah swt. Syeikh Murabit jarang-jarang berinteraksi dengan orang lain. Makan dan minuman pula dihantar kepadanya. Sangat sedikit masanya dihabiskan untuk bersama keluarga atau tidur sebaliknya masa yang ada itu diperuntukkan untuk beribadah dan mengajar anak muridnya. Beliau akan mengajar sehingga malam dan bangkit pula ditengah malamnya untuk menunaikan solat.
Usaha dan pengorbanan Syeikh Murabit al-Hajj berbaloi apabila ramai alim-ulama telah berjaya dilahirkan. Antaranya ialah anak-anak, sepupunya dan juga cucunya sendiri. Anaknya yang paling tua ialah Syeikh Allama Mufti Abdur Rahman yang diiktiraf sebagai antara ulama palingdihormati dan disegani pada masa ini. Semenjak dari kecil, beliau telah menghafaz al-Quran dan mendalami pengajian al-Quran. Beliau turut menguasai ilmu fiqh dalam mazhab Maliki seperti teks-teks Akhdari, Ibn Ashir, Risalah karya Ibn Abi Zaid, Ashalul Masalik, Nathmu Muqadimaati Ibn Rushd, Mukhtasar Sidi Khalil dan banyak lagi. Keahlian Syeikh Abdur Rahman tidak setakat didalam ilmu fiqh tetapi juga dalam bidang nahwu dan marfologi Arab. Beliau menguasai teks-teks klasik seperti Ajrumiyah, Lamia tul Afaal, Qatru Nada, Mulhat al 'Iraab dan Alfiyyah karangan Ibn Malik. Dalam bidang Aqidah, beliau menguasai teks-teks aliran Imam Ash'ari seperti teks-teks yang dikarang oleh Imam Ash Sharnubi, Imam al Bulaym, Jawahar at Tawhid, Idaah dan banyak lagi. Walaupun Syeikh Abdur Rahman nampak cenderung pada Mazhab Maliki tetapi sebenarnya beliau juga menguasai Mazhab Hanafi, Shafi’i dan Hanbali. Dalam ilmu-ilmu Islam, Syeikh Abdur Rahman menguasai antaranya seperti Usul al Fiqh, Hadith, Fara’id, Muamalat, tilawah al-Quran dimana beliau mengetahui ketujuh-tujuh Qiraat, Iraab al Quran dan Tafsir al Quran. Jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh Syeikh Abdur Rahman ialah sebagai Imam dan Mufti di Abu Dhabi, Pengarah Eksekutif di Institut Abu Hanifah, Penasihat Kanan di Institut Abu Hanifa dan ahli majlis Fatwa United Kingdom. Beliau kini tinggal bersama keluarganya di Granada, Sepanyol.
Sebenarnya pada awal tahun 1970-an, Syeikh Murabit dan keluarganya pernah berpindah ke kawasan kota yang berdekatan iaitu Gureou bagi memudahkan beliau dan keluarganya mendapat bekalan makanan. Tetapi tidak lama kemudian Syeikh Murabit berasa tidak selesa berada disitu kerana menurutnya masyarakat disitu sudah terlalu jauh dari amalan Sunnah. Jadi, beliau mengambil keputusan untuk berpindah ke tanah lapang yang disebut sebagai badia untuk memelihara Sunnah sekaligus meninggikan martabat dan syiar agama.
Pada ketika ini, ‘universiti’ yang dipimpin oleh Syeikh Murabit mampu menampung 400 orang. Kira-kira 20 km barat-laut dari lokasi tersebut, terdapat sebuah lagi sekolah yang dipimpin oleh menantunya iaitu Syeikh Murabit Ahmad Fal. Kira-kira 30 km ke utara pula, terdapat sekolah yang didirikan oleh Syeikh Muhammad Zain, seorang lagi ulama besar yang mempunyai susur galur Ahlul Bait.
Kaedah pembelajaran di insitusi pengajian tradisional di Mauritania ialah dengan menggunakan papan kayu. Teks ditulis dengan menggunakan dakwat arang. Selepas teks ditulis, pelajar akan mengingat (hafal) dibawah pengawasan syeikh-syeikh disitu. Pelajar-pelajar yang mengikuti sistem pengajian tradisional di Mauritania menghafal al-Quran seawal usia 7 tahun. Selepas itu, mereka akan menelaah al-Quran mengikut mushaf Usmani. Selanjutnya, mereka akan menulis kembali apa yang telah dihafaz ke atas papan-papan kayu. Tujuannya ialah untuk menguji sejauh mana keupayaan ingatan mereka serta ketepatan mereka menulis teks mengikut mushaf. Setelah menguasai bidang tersebut, mereka akan beralih kepada qiraat demi qiraat. Setelah itu, barulah mereka berpindah ke bidang lain seperti fiqh, nahwu, aqidah dan hadith. Dengan kaedah pembelajaran sebegini, tidak hairanlah apabila ramai alim-ulama yang berkualiti tinggi berjaya dilahirkan.
Kemasukan sekolah ini sangatlah mudah. Tidak ada pendaftaran atau sistem ala semester. Pelajar boleh datang belajar bila-bila masa dan mengikut tahap yang beliau rasakan perlu. Setelah menguasai asas fardhu ain, pelajar boleh memilih bidang-bidang yang hendak ditekuni. Para syeikh akan memberi cadangan tentang bidang-bidang yang sesuai untuknya. Setelah itu bermulalah pelajaran dimana pelajar akan menulis teks diatas papan dan membacakannya kepada syeikh untuk disemak. Syeikh akan membetulkannya secara spontan kerana teks-teks tersebut telah dihafaz sekian lama. Syeikh akan memberikan penerangan tentang teks-teks tersebut dan menjawab soalan jika pelajar mempunyai sebarang kemusykilan. Cara belajar ialah dengan duduk mengadap syeikh secara berhadapan satu dengan satu. Cara ini sangat berkesan dari segi penumpuan kerana pelajar dibimbing oleh syeikh secara langsung. Pelajar akan menelaah sesuatu pelajaran itu mengikut keupayaannya. Jika ingatan dan pemahamannya bagus, beliau mungkin boleh mempercepatkan pembelajarannya dan begitulah sebaliknya. Pelajar hanya akan berpindah kepada pelajaran lain apabila pelajaran itu telah benar-benar dikuasainya bagi dari segi tulisan teks mahupun hafalan.
Kenapa hafalan teks sangat penting? Dalam tradisi Islam, hafalan teks menunjukkan kedalaman ilmu seseorang itu. Semakin banyak atau luasnya hafalan seseorang itu, maka makin tinggilah atau dalamlah ilmu yang dimilikinya. Inilah yang berlaku keatas Imam al-Ghazali ketika beliau berhadapan dengan penyamun yang ingin mengambil barangannya. Penyamun tersebut ingin mengambil buku-buku milik Imam al-Ghazali tetapi Imam al-Ghazali merayu agar mereka tidak mengambil buku tersebut kerana buku itu adalah ilmu baginya. Penyamun lalu membalas, Ilmu apakah itu jika orang seperti aku boleh mengambilnya dari kamu? Kata-kata penyamun itu telah menyedarkan Imam al-Ghazali dan bermula dari situlah beliau mula menghafal teks. Imam asy-Shafi’i turut menekankan pentingnya hafalan. Katanya, Ilmu bersama dengan aku kemana sahaja aku pergi dan bukanlah ilmu itu berada dirumah. Maksudnya ilmu itu bukanlah sekadar terkandung didalam buku tetapi juga didalam hati dan akal fikiran.
Lokasi ‘universiti’ adalah terletak di sebuah kampung yang dikenali dengan nama Tuwamarat(dalam bahasa Barbar). Ianya boleh menampung keperluan 400 orang. Lazimnya 100 orang dari jumlah tersebut adalah pelajar manakala selebihnya adalah syeikh-syeikh yang menjadi tenaga pengajar yang tinggal bersama dengan keluarga mereka. Ahli-ahli keluarga syeikh-syeikh inilah yang membuat kerja-kerja kampung dan menyelenggara ‘universiti’ seperti menyediakan bekalan air dan makanan. Semuanya dilakukan dalam keadaan yang sangat-sangat sederhana.
Masjid menjadi pusat kampung ini yang memisahkan kediaman pelajar dengan kediaman para syeikh dan keluarga mereka. Syeikh tinggal didalam khemah yang diperbuat dari kulit kambing manakala pelajar tinggal didalam pondok kecil yang dibuat dari ranting-ranting kayu lalu ditutup dengan kain atau kanvas. Pelajar-pelajar bekerjasama memasak dan mendapatkan bekalan air.
Kawasan dalam masjid
Makanan harian berupa nasi atau makaroni. Disebelah pagi, warga kampung akan menikmati susu atau roti. Jika tidak ada (susu atau roti), mereka akan memakan biskut kering atau kurma. Bekalan air didapati dari telaga yang mempunyai paip dengan kedalam 270 kaki kebawah. Tidak ada belakan elektrik disini melainkan tenaga solar yang digunakan untuk mengepam air telaga dan dua-tiga biji lampu dimasjid. Pelajar yang ingin menelaah disebelah malam boleh membuat pilihan menggunakan lampu dimasjid atau lampu suluh atau lilin. Lazimnya, pelajar tidak memerlukan lampu kerana disebalah malam, mereka akan berlatih menghafaz Al-Quran.
Kampung Tuwamarat adalah kampung yang sangat terpencil malah ada yang berpendapat paling terpencil dalam dunia. Untuk kesana, pengunjung perlu melepasi kawasan pergunungan yang disebut Taganet (bahasa Barbar yang bermaksud hutan). Untuk kesana, cara terbaik ialah dengan berjalan kaki sejauh 20 km. Alternatif lain ialah dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda sejauh 50 km. Tentang iklim, ada empat musim yang ketara iaitu musim panas, musim luruh, musim sejuk dan musim bunga. Musim panas bermula dari 15 Mei hingga 15 Ogos. Musim panasnya adalah kering kerana kawasan gurun. Jika terlalu panas, pelajar akan mengambil cuti sehingga adakalanya menjangkau dua hingga tiga minggu untuk ke kawasan yang lebih sejuk seperti Nuwakshott. Musim luruh lebih dikaitkan dengan musim hujan. Ianya bermula dari 15 Ogos hingga 15 November. Pada ketika itulah, susu dan yogurt banyak dihasilkan. Musim sejuk bermula dari 15 November hingga 15 Februari. Musim sejuk adalah musim yang digemari pelajar kerana pada ketika itu, mereka akan membuat unggun api untuk memanaskan badan. Unggun itu kemudiannya dijadikan cahaya untuk menerangi malam bagi memudahkan mereka membaca teks yang ditulis pada papan. Musim bunga iaitu dari 15 Februari hingga 15 Mei adalah musim yang paling sesuai untuk datang kesini memulakan pelajaran. Kerana pada musim ini, pelajar-pelajar baru boleh menyesuaikan diri serta membuat persediaan untuk menghadapi musim-musim panas, luruh dan sejuk.
Pengajian disini adalah menggunakan bahasa Arab tetapi bagi mereka yang tidak tahu berbahasa Arab, ia bukanlah halangan besar. Pelajar boleh mempelajari Bahasa Arab dengan menggunakan kitab seperti Kitab al Asaasi fi ta'lim al lughatil al 'Arabiyah (The Basic Book for Learning the Arabic Language) atau meminta bantuan pelajar lain untuk menterjemah bahasa. Pelajar-pelajar yang datang ke situ adalah dari seluruh pelusuk dunia, oleh itu bahasa bukanlah halangan utama. Memang menjadi lumrah pelajar-pelajar disitu yang pada mulanya tidak mahir berbahasa Arab tetapi kemudiannya boleh menghafaz teks-teks Arab kerana sepanjang masa mereka akan menggunakan bahasa tersebut. Lama-kelamaan pelajar akan menjadi mahir dengan bahasa itu.
Pembelajaran disini terbuka kepada sesiapa sahaja tidak kiralah lelaki atau perempuan, tua atau muda. Apa yang penting ialah samada mereka dapat mengharungi segala kehidupan yang sangat sederhana samada dari segi tempat tinggal, makanan dan iklim. Sebenarnya segala kepayahan yang tergambar disini adalah satu ujian samada seseorang itu sanggup atau tidak untuk mengharunginya. Bagi mereka yang berjaya, sudah pasti ianya merupakan satu kepuasan yang tidak dapat digambar dengan kata-kata. Manakan tidak, kejayaan menimba ilmu disini memberi satu kekuatan diri rohani dan jasmani. Jasmani dari segi kekuatan fizikal mengahrungi kehidupan yang serba mencabar manakala rohani dari segi pengisian setelah dibimbing oleh para syeikh yang terkenal dengan alim, zuhud dan waraknya.
Kawasan gurun di Mauritania
Kawasan gurun di Mauritania
Antara ulama besar yang mengunjungi Syeikh Murabit al-Hajj ialah
Shaykh Habib 'Ali Zain al-'Abidin al-Jifri
Susur galurnya sampai kepada 'Ali Zain Al-'Abidin, anak kepada Imam al-Hussein, anak kepada Imam 'Ali ibn Abi Talib dan Sayyidah Fatimah, anak kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw. Beliau berasal dari Tarim, Hadramaut dan menimba ilmu dari tokoh-tokoh besar seperti Habib Mashur al Haddad, ahli faqih termasyhur Habib Zain al Sumit dari Madinah dan ulama terkemuka, Habib Abdur Qadir al Saqqaf. Beliau merupakan tenaga pengajar di Dar al-Mustafa, Tarim.
Syeikh Hamza Yusuf
Beliau berasal dari Amerika Syarikat kemudiannya mengembara ke Asia Barat dan Afrika untuk mendalami ilmu agama. Beliau berguru antaranya dengan Syeikh Murabit al Hajj di Mauritania, Syeikh Baya bin Salik di UAE, Syeikh Muhammad Shaybani di Abu Dhabi, Syeikh Hamad al-Wali dan Syeikh Muhammad al-Fatrati di Kaherah. Pada tahun 1996, beliau telah mengasaskan Institut Zaytuna untuk mengembangkan dakwah dan syiar Islam. Institut ini terletak di Hayward, California. Syeikh Hamza telah menterjemahkan banyak kitab klasik dan syair Arab ke Bahasa Inggeris.
Habib Ali bersama Syeikh Abdullah cucu Syeikh Murabit
No comments:
Post a Comment