Friday, May 29, 2009

Taman Warisan Pertanian, Daeng Selili

Sabtu yang lepas, saya sekeluarga bersama dengan dua orang tenaga pengajar MAPTAM telah mengunjungi Taman Warisan Pertanian. Letaknya Taman Warisan ini ialah di Precint 16, Putrajaya. Walaupun tinggal di Puchong hampir 5 tahun tetapi inilah kali pertama saya sampai disini. Pada hari itu, isteri saya beria-ria mengajak kami sekeluarga makan di luar. Saya pun lalu bertanya kepada isteri saya, "Nak makan kat mana?". Isteri saya diam. Lalu saya mencadangkan kepada isteri saya supaya bertanya pada sepupunya. Sepupunya memang suka mencari tempat makan yang sedap-sedap. Lalu sepupu saya mencadangkan supaya pergi ke Taman Warisan yang terletak di Precint 16. Katanya, disitu sesuai untuk mereka yang berkeluarga sebab suasana pun tenang dan tempatnya pun menarik serta bersih. Selepas Isyak, kami bertolak ke Putrajaya. Lebih kurang 20 minit kami sampai. Saya memesan satay manakala isteri saya memesan Roti John. Sepupu isteri saya beria-ria suruh kami mencuba Roti John tu.



Taman warisan Pertanian di Precint 16, Putrajaya



Kaunter Taman Warisan Pertanian


Peta Taman Warisan. Saya tidak dapat mengagak keluasan kawasan tersebut. Maklumlah kami tiba pun sebelah malam dan pertama kali pula.


Selepas menghabiskan Roti John dan beberapa cucuk satay, saya bersiar-siar dengan anak saya dikawasan sekitar. Ada beberapa kiosk atau gerai jualan terdapat disitu tetapi kebanyakannya dah tutup. Yalah, jam pada waktu itu pun dah menunjukkan hampir pukul 10.00 malam. Ketika meninjau kawasan sekitar, tiba-tiba saya tertarik dengan sebuah kiosk/gerai yang menjual barang-barang lama seperti keris, barangan purba dan sebagainya.


Menurut poster yang terdapat diluar kedai tersebut, katanya kedai itu adalah yang pertama di Putrajaya. Mungkin juga sebab jarang ada kedai yang menjual barangan-barangan lama sebegini.

Suasana di Taman Warisan Pertanian sangat damai. Kawasan sekitar dihias dengan senibina Melayu lama. Suka saya melihat lampu-lampu yang mempunyai rekaan zaman silam. Kedai yang menjual keris dan barangan lama tadi mengingatkan saya kepada sebuah cerita lama yang telah mempertautkan kembali hubungan dua bersaudara. Ianya adalah berkait dengan moyang saya juga iaitu Daeng Selili yang lebih dikenali sebagai Haji Besar dan Daeng Hanasah yang lebih dikenali sebagai Nakhoda Hitam dan La Tata Ambralla. Kedua-dua tokoh ini merupakan watak penting dalam sejarah Perak sekitar abad ke-18 tidak lama dahulu. Ceritanya begini,

Semasa dalam pelayaran balik dari Makkah setelah menunaikan fardu haji, beliau (Daeng Selili) telah singgah di Pulau Sembilan yang terletak di Kuala Sungai Perak. Disitulah Daeng Selili bertemu dengan seorang Panglima Bugis yang sangat ditakuti oleh orang-orang Belanda bernama Nakhoda Hitam. Orang-orang Belanda menganggap Nakhoda Hitam itu sebagai perompak laut yang sangat kejam dan ganas tetapi yang sebenarnya Nakhoda Hitam adalah seorang pahlawan yang sangat dihormati oleh orang-orang Bugis dan lain-lain bangsa Bumiputera di Nusantara kerana keberaniannya. Beliau dikatakan hanya menyerang dan merompak kapal-kapal Belanda sahaja. Nakhoda Hitam lebih suka menentang Belanda dimana-mana juga di perairan Nusantara tetapi dihari-hari kebelakangan, beliau lebih suka menetap di sekitar Pulau Sembilan sahaja untuk menentang dan menyerang kapal-kapal Belanda yang datang ke negeri Perak untuk membeli bijih timah. Nakhoda Hitam dipercayai tidak lagi balik ke negara asalnya iaitu Tanah Bugis setelah negeri itu ditakluk oleh Belanda semenjak dari tahun 1667. Ketika Daeng Selili sampai di Pulau Sembilan, beliau telah ditentang oleh Nakhoda Hitam. Nakhoda HItam itu dikatakan La Tata Ambralla, seorang panglima Bugis yang sangat terkenal didalam sejarah. La bererti Lelaki, Tata bererti perkasa dan Ambralla bererti Laksamana lelaki perkasa. Peristiwa berlaku bila Daeng Selili yang juga digelar Haji Besar berhenti berehat di Pulau Sembilan untuk menunaikan sembahyang dan berehat seketika dalam perjalanan pulang dari Mekah ke Sulawesi. La Tata menyangkakan Daeng Selili seorang perisik upahan Belanda lalu mengambil tindakan untuk menyerang Daeng Selili. Sebenarnya Daeng Selili dihantar ke Makkah oleh bapanya kerana beliau terlalu bengis dan bapanya berbuat demikian untuk menginsafkannya. Perdamaian berlaku bila La Tata terlihat keris bersarungkan emas dan mempunyai bentuk pajar saleh (mengikut tulisan Petri Noor Jaliah) atau Khalid (mengikut tulisan A Halim Nasir) di buntutnya yang dipakai oleh Daeng Selili yang menunjukkan beliau berketurunan Raja Bugis. Maka sudah pasti beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Belanda sekaligus menghapuskan tanggapan La Tata sebelum ini. Daeng Selili kemudiannya mengambil keputusan untuk menetap di Pulau Sembilan.

Asalnya Daeng Hanasah menyangkakan bahawa Daeng Selili itu adalah sekutu Belanda tetapi setelah melihat keris yang tersarung padanya, tahulah Daeng Hanasah bahawa Daeng Selili itu adalah saudara kandungnya yang sudah lama tidak ditemuinya. Kedua-duanya kemudian mengadap Sultan Perak pada waktu itu lalu membantu Sultan untuk mentadbir kerajaan.

3 comments:

  1. Daeng Selili juga ada kena mengena dengan moyang saya yang menetap di Sitiawan Perak.. tapi tidak tahu bagaimana pertalian nya dengan beliau..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Menurut cerita adik datok saya, pasal cerita nahoda hitam diatas sama apa yg dicerita oleh adik datok saya. Keturunan kami xtahu nama sebenar semua pakai nama gelaran atas sbb keselamatan keturunan dari penjajah.

      Delete
    2. Menurut cerita adik datok saya, pasal cerita nahoda hitam diatas sama apa yg dicerita oleh adik datok saya. Keturunan kami xtahu nama sebenar semua pakai nama gelaran atas sbb keselamatan keturunan dari penjajah.

      Delete