Sunday, July 12, 2009

Habib Umar, Al-Jazari


Jumaat lepas bersamaan dengan 17 Rejab, saya berkesempatan untuk menghadiri majlis bersama Habib Umar bin A Rahman al-Jifri atas kunjungan beliau ke Pusat Tahfiz al-Jazari di Bukit Indah Ampang. Hari itu sehari suntuk saya berada di MAPTAM untuk membuat pemerhatian dan penilaian ke atas pelajar KAFA dan tadika. Selepas habis sekitar pukul 6.00 petang, saya bersiap-siap untuk ke Ampang. Lebih kurang pukul 6.30 petang, saya bertolak dari Puchong menuju ke Jalan Tun Razak. Saya meletakkan kereta saya di kawasan sekitar bangunan pejabat adik saya, Tuan Haji Khairul Rizal. Selepas solat maghrib, saya membonceng motor adik saya untuk ke Bukit Indah. Saya ni bukan biasa sangat membonceng motor orang. Apabila membonceng motor adik saya, Allah, berderau juga darah saya. Apatah lagi motor adik saya jenis motor besar yang berkuasa 1000 cc, Allah, memang saspen je bila motor tu menyelit-nyelit celah kereta. Saya ni hanya biasa bawak motor kapcai je. Bawak slow pulak tu, kadang-kadang orang perempuan yang bawak motor pun boleh potong saya. Tapi sesekali terlintas jugak dalam hati saya, bagus juga jika saya ada motor besar ni. Boleh ulang-alik ke Sik untuk mengikuti pengajian Tuan Guru Haji Salleh. Tak payah kena bayar duit tol kalau naik motor. Kami sampai di Bukit Indah lebih kurang 10 minit selepas itu. Kami terus naik ke tingkat atas setelah meletakkan helmet dan barang-barang lain di Kedai as-Sofa. Di tingkat atas, qasidah sedang dialunkan. Pelajar-pelajar tahfiz memenuhi bahagian depan, mengadap betul-betul dihadapan Habib. Tidak hairanlah apabila Habib memulakan syarahannya, beliau memuji akan hadirin yang datang pada malam itu yang bersinar-sinar dan bercahaya wajahnya. Memang benar. Melihat wajah-wajah pelajar tahfiz ini menyejukkan mata bagi sesiapa yang memandang. Penuh bercahaya dan bersinar-sinar. Itulah barakah yang dihadirkan Allah Taala bagi sesiapa yang bersungguh-sungguh menghafaz kalam-Nya yang mulia. Habib Umar berasal dari Madinah. Dalam majlis itu, beliau duduk bersebelahan dengan Syeikh Fuad Kamaluddin al-Maliki. Syarahan beliau berlangsung lebih kurang 45 minit. Selepas syarahan berakhir, kami solat Isyak berjemaah bersama-sama. Majlis berakhir lebih kurang jam 10.15 malam. Sebelum pulang, saya dan adik saya meninjau-ninjau barangan yang dijual di Kedai as-Sofa.





Ikhwan sedang melihat barang yang dijual didalam kedai As-Sofa.


Antara barangan yang dijual ialah Kopiah, sejadah, kain baldu yang disulam dengan ayat-ayat al-Quran.


Dan sudah tentu buku dan kitab-kitab yang dikarang dan diterjemah oleh Syeikh Fuad Kamaluddin turut dijual di sini


Saya berada ditengah-tengah kelompok jemaah yang hadir pada malam itu untuk mendengar syarah khas Habib Umar A Rahman al-Jifri


Susunan kitab dan barangan lain yang dijual di Kedai as-Sofa, kemas teratur.


Suasana selepas habis majlis. Jemaah mula beredar dari perkarangan Pusat Tahfiz al-Jazari. Pusat Tahfiz terletak di tingkat atas manakala dibawahnya ialah Kedai as-Sofa.


Inilah 'jentera kuda' adik saya yang berkuasa 1000 cc. Dalam gambar nampak macam kecik tapi sebenarnya besar dan tinggi. Nak naik bahagian belakang pun perlu tinjat tempat kaki sebab tak sampai. Kalau dah duduk di tempat bonceng, kaki memang tak boleh nak jijak tanah. Mungkin sebab saya ni rendah orangnya, kalau orang tinggi boleh sampai kut kaki kat tanah. Apapun memang best naik motor ni. Walaupun saya berasa saspen sebab tak biasa naik motor besar tapi jauh beza dengan kapcai. Tak bergegar dan bunyi pun sedap.

Inilah Habib Umar A Rahman al-Jifri yang hadir ke Pusat Tahfiz al-Jazari malam itu


Motor bike adik saya dari jarak dekat. Gambar tak berapa cantik sebab saya tangkap guna kamera handphone.


Suasana selepas selesai majlis. Para ikhwan mengambil kesempatan membeli barangan yang dijual di Kedai As-Sofa. Kedai ini tidak sekadar menjual kopiah, kitab dan sejadah tetapi juga turut menjual barangan harian yang lain seperti minuman, sos dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment