Satu jangkamasa yang cukup lama. Setelah meninggalkan bangku sekolah hampir 20 tahun dan pernah berjumpa semula 1-2 atau mungkin 3-4 tahun selepas alam persekolahan, kami tidak pernah berjumpa lagi sehinggalah semalam. Semalam, saya berjumpa semula dengan sahabat lama saya, gelarannya Lobo ketika dibangku sekolah. Beliau kini berpangkat Mejar Dr (Perubatan) dan berkhidmat dalam angkatan tentera. Beliau sekarang tinggal di Kelantan tetapi datang ke KL kerana melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana. Seperti saya, beliau juga sudah berkeluarga. Memang dari peringkat sekolah lagi, sahabat saya ini sangat meminati bidang ketenteraan dan pernah menganggotai kadet sekolah. Saya kenal Lobo sejak dari Sekolah Inggeris di Kuala Kangsar dan kemudiannya kami sama-sama masuk ke sekolah berasrama penuh di utara semenanjung. Selepas SPM pada awal 90-an, masing-masing membawa haluan sendiri. Seingat saya, kami pernah bertemu semula bersama-sama sahabat lain ketika hendak mengambil keputusan SPM dan semasa hari raya aidilfitri setahun selepas itu. Kemudian, saya hanya mendengar khabar sahabat saya ini sudah melanjutkan pelajaran ke luar negara sementara saya memilih dalam negeri sahaja. Semasa di sekolah asrama penuh, saya sebilik dengan Lobo. Bilik kami dipanggil kiub. Ada empat orang semuanya. Kami sangat rapat. Bahkan kami begitu rapat dengan semua ahli lain yang sama row dengan kami, boleh dikatakan macam adik-beradik. Berjumpa dengan Lobo semalam mengingatkan kembali nostalgia lama. Sambil berbicara kisah silam, sempat juga saya bertanya tentang salasilah. Sahabat saya, Lobo ini mempunyai hubungan persaudaraan dengan almarhum Syeikh Idris al-Marbawi, pengarang kitab Bahrul Mazi yang terkenal itu. Saya memang sudah boleh menjangkakannya memandangkan sahabat saya ini berasal dari tempat yang sama dengan ulama tersohor itu. Tempoh sejam pertemuan dirasakan begitu singkat. Kami bersembang dari jam 6 petang sehingga sebelum maghrib di Restoran Amjal (ke Ajmal?) berdekatan dengan masjid UM. Tatkala azan kedengaran, kami segera menuju ke masjid untuk menunaikan solat. Apapun diantara kami berempat yang sebilik satu masa dahulu, seorang dari kami telah terlebih dahulu meninggalkan kami, menyahut panggilan Ilahi. Sahabat kami, Kamarul Razlin meninggal dunia tahun lepas (hadiahkan al-Fatihah untuknya). Banyak kenangan kami bersama almarhum Kamarul Razlin. Kepada sahabatku Lobo, semoga berjaya dalam lapangan hidup!
Pertandingan KAMIL antara SRI 2015 di KPI Bangi
-
Sekolah Rendah Islam al Mansoorah telah menyertai pertandingan Kemahiran
Amal Islami (KAMIL) antara SRI di KPI Bangi pada 5 April 2015. Sebanyak
tujuh buah...
9 years ago
pen syen yan lau
ReplyDelete