Monday, July 20, 2009

Masjid Kampung Baru, Sabtu yang panjang




Saya ke Kampung Baru pagi Sabtu yang lepas. Saya sampai di Masjid Kg Baru sebelum masuk waktu subuh. Masjid kg Baru agak istimewa kerana diluar perkarangannya ada mesin ATM. Saya solat subuh secara berjemaah di Masjid Kg Baru. Selesai solat dan membaca Yasin, kuliah subuh pun bermula. Kuliah disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Abdullah Awang. Teks yang digunakan ialah Aqidatun Najin karangan Tuan Minal. Ternyata kitab ini banyak dijadikan teks pengajian di mana-mana masjid atau surau diseluruh Semenanjung. Kuliah selesai lebih kurang jam 7 pagi. Saya berehat sebentar dalam masjid. Ada beberapa jemaah lain sedang mengaji didalam masjid. Saya sebenarnya ada perancangan untuk ke tempat lain tapi rasanya tempat itu pun belum lagi buka sebab masih awal pagi. Jadi saya ambil kesempatan yang ada untuk meninjau persekitaran masjid. Lebih kurang pukul 7.30 pagi, saya ke Restoran Haslam di Jalan Pahang untuk bersarapan. Pekena roti canai dan teh tarik disitu. Setengah jam kemudian saya ke Darul Fikir yang terletak berdekatan dengan KL International Hotel dan Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL). Sambil menunggu jam 10 pagi untuk ke Taman TAR bagi mengikuti pengajian Syeikh Fuad, saya membelek-belek buku yang dijual disitu. Tidak ramai yang datang pada waktu itu maklumlah masih awal pagi. Staf-staf kedai pun nampak begitu sibuk dengan tugas masing-masing. Ketika saya sedang khusyuk membelek buku, ada seorang hamba Allah ini datang menghampiri saya lalu mengesyorkan beberapa buku untuk dibaca. Katanya buku itu adalah buku yang digunakan dalam pengajian di tempatnya. Saya sebenarnya sedang mencari buku-buku lama. Terjumpa jugalah beberapa buah buku yang dikehendaki dan saya terus buat pembelian. Saya pun sebenarnya dah serik sebab banyak kali terlepas dari membeli buku-buku yang dikehendaki. Alasan yang selalu bermain dalam kepala ialah "Nanti dulu' dan 'Buku tu takde sapa nak beli', last-last bila pergi balik ke kedai yang sama, buku tu pun dah dibeli orang. Lebih kurang jam 9.30 pagi saya pun bertolak menuju ke Taman TAR. Pengajian Syeikh Fuad bermula lebih kurang jam 10.00 pagi. Syeikh mensyarahkan kitab Mukjizat Isra' dan Mi'raj. Syarah berakhir sejam kemudian. Selepas itu, saya dan adinda saya, Tuan Haji Khairul Rizal pergi ke Hospital Kuala Lumpur menziarahi ibu saudara saya (sebelah bapa). Anaknya baru menjalani pembedahan kecil sehari sebelumnya di hospital tersebut. Ibu saudara saya kemudiannya memberitahu kami yang mereka boleh keluar wad pada hari itu. Disebabkan ibu saudara tidak mempunyai kenderaan, saya menghantarnya pulang ke rumah yang terletak di Cheras. Saya kemudiannya bergerak menuju ke Mutiara Ilmu apabila mendapat mesej dari Pak Jawahir menyatakan bahawa kitab yang saya pesan telah sampai. Lebih kurang jam 3.00 petang, saya sampai di kedai Pak Jawahir. Ada seorang Profesor berkunjung di kedai Pak Jawahir. Katanya dari Universitas Andalas Padang. Lupa saya nak bertanya nama Profesor tersebut. Selepas membuat pembayaran kitab, saya pulang ke rumah. Sampai di rumah lebih kurang jam 4.30 petang.




Mesin ATM yang berada di luar perkarangan masjid

Pintu gerbang masjid

Pintu masuk utama masjid

Ruang solat utama masjid dengan mimbar dibahagian depan. Masjid ini kalau tak silap saya dua tingkat. Agak besar juga ruang solat masjid. Rasanya boleh menempati kira-kira 2000 jemaah.

Pemandangan pintu gerbang masjid dari pintu masuk utama masjid


Barulah saya tahu bahawa masjid ini ada kembarnya. Kembarnya ialah Masjid al-Jamiul Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Batu asas masjid ini diletakkan pada 12 Julai 1957. Nama kontraktor dan arkitek turut tercatat pada batu asas ini


Pintu masuk utama dari jarak dekat


Menara masjid

Satu lagi sisi menara masjid

Kolah masjid tempat mengambil wuduk

Ruang dalam kedai buku Darul Fikir



Kedai buku Mutiara Ilmu

No comments:

Post a Comment