Sunday, July 12, 2009

Ijtimak Kuarters KLIA 2009



Saya hadir ke majlis ijtimak ini bersama-sama dengan sahabat saya, Zaharuddin. Kami sampai disini pada hari Sabtu, ketika program taklim baru sahaja selesai. Kemudian disusuli dengan program untuk ulama, khawas dan pelajar. Saya dan sahabat saya mengambil kesempatan untuk meninjau keadaan persekitaran di ijtimak. Ribuan manusia berada disitu bagi mendengar ucapan-ucapan yang disampaikan oleh ulama-ulama besar yang hadir sepanjang empat hari ia berlangsung disitu. Ruang niaga pun boleh tahan juga. Ramai juga yang mengambil kesempatan untuk berniaga sepanjang majlis tersebut berlangsung. Selain dari makanan dan pakaian, ada juga yang menjual ubatan tradisional, buah-buahan dan pelbagai jenis barangan lain. Ijtimak ini turut mendapat perhatian orang-orang kenamaan tempatan khususnya pemimpin-pemimpin negara seperti Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Negeri Sembilan.




Lawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan - dipetik dari Utusan Malaysia 13 Julai 2009
KHUSYUK
LEBIH 200,000 jemaah tabligh dari dalam dan luar negara yang menyertai Perhimpunan Dakwah Tabligh Sedunia atau Ijtimak 2009 mengambil peluang menunaikan solat Zuhur berjemaah pada hari terakhir perhimpunan itu semalam.
Perhimpunan itu yang diadakan di Nilai, Seremban, Negeri Sembilan disertai pendakwah tabligh dari seluruh dunia termasuk dari Palestin, Myanmar dan China.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut berkenan bersolat Zuhur dengan para jemaah.
Baginda diiringi oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ini merupakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah bagi perhimpunan berkenaan
selepas kali pertama pada 27 tahun lalu di Terengganu yang menghimpunkan lebih 50,000 pendakwah.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0713&pub=utusan_malaysia&sec=Selatan&pg=ws_04.htm&arc=hive



Lawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke Ijtimak


Najib kunjungi ijtimak tabligh

NAJIB bersalaman dengan anggota tabligh ketika menghadiri Perhimpunan Dakwah Tabligh Sedunia di tanah lapang bersebelahan dengan Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
NILAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam sempat meluangkan masa bersama 200,000 jemaah yang menghadiri Ijtimak (Perhimpunan) Tabligh Sedunia di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini yang bermula Rabu lalu. Perdana Menteri yang tiba jam 5.10 petang terus menunaikan solat Asar di kawasan khemah terbuka bersama anggota jemaah tabligh. Beliau kemudian menyampaikan ucapan ringkas mengalu-alukan kedatangan peserta. "Saya mengucapkan selamat datang kepada saudara-saudara semua, Semoga Allah merahmati dan menjadikan kita umat yang berjaya," katanya.
Najib kemudian menghabiskan masa kira-kira 30 minit bermuzakarah bersama ahli syura jemaah tabligh. Antara mereka ialah Sheikh Mohamad Ali. Bagaimanapun, wartawan tidak dibenarkan memasuki khemah khas untuk tetamu kehormat. Jurucakap jemaah tabligh, Ridzuan Mohd Sagir, berkata mereka yang turut serta dalam muzakarah itu ialah tetamu luar negara seperti Prof Abd Rahman dari India. Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut sama meluangkan masa kira-kira 45 minit menghadiri perhimpunan itu, semalam.
Sebaik tiba kira-kira jam 1.30 tengah hari, beliau mendengar taklimat mengenai majlis itu sebelum menyertai solat Zuhur berjemaah bersama peserta dari 40 negara termasuk Belanda, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan India. "Perdana Menteri bersama ahli syura tidak bercakap mengenai hal keduniaan, sebaliknya membincangkan perkara keimanan dan mendekatkan diri dengan Allah SWT," katanya. Seorang lagi anggota jemaah tabligh yang turut menghadiri pertemuan itu, Prof Hanim Tahir, berkata Perdana Menteri turut meminta jemaah tabligh ketika berdoa di majlis penutup hari ini, mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara. Terdahulu, pada tengah hari semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut meluangkan masa kira-kira 45 minit bersama jemaah dari 40 negara, termasuk Belanda, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan India.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin menyifatkan perhimpunan berkenaan yang terbesar di dunia dan bersyukur kerana dapat menghadirinya serta bertemu pemimpin jemaah yang membicarakan soal cinta kepada agama, semangat ukhuwah Islamiah, bersikap sederhana dan usaha menyatukan ummah.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Nasional/20090712002520/Article/



Lawatan Menteri Besar Negeri Sembilan

Solat Jumaat terbesar di Negeri Sembilan
Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFARutusanN9@utusan.com.my
NILAI 10 Julai - Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini mencatat sejarah tersendiri apabila lebih 200,000 jemaah menunaikan solat Jumaat.
Kehadiran ratusan ribu jemaah itu merupakan sebahagian besar umat Islam dari seluruh dunia yang hadir sempena Ijtimak (Perhimpunan) Dakwah Tabligh Sedunia yang berlangsung selama tiga hari berhampiran masjid berkenaan.
Turut sama menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi.
Mohamad dalam ucapan ringkasnya sebelum khutbah Jumaat berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran jemaah tabligh ke negeri ini yang berhimpun dengan satu entiti untuk menyebarkan syiar Islam.
''Saya bagi pihak rakyat Malaysia mengucapkan selamat datang dan terima kasih. Saya bersyukur kepada Allah kerana dapat bersama-sama jemaah Tabligh dan berharap perhimpunan ini akan dapat meneruskan dakwah Islam kepada seluruh umat.
''Malaysia sebuah negara yang aman dan mengamalkan sikap terbuka dalam soal agama. Perhimpunan ini adalah bukti bahawa kebebasan untuk berdakwah, tidak seperti negara lain yang tidak bebas untuk menjalankan penyebaran agama Islam," katanya.
Mohamad berkata, solat Jumaat yang berlangsung di sini dengan kehadiran jemaah lebih 200,000 orang merupakan terbesar di Malaysia sekali gus menunjukkan kekuatan umat Islam sejagat.
Ijtimak (Perhimpunan) Dakwah Tabligh Sedunia ini menghimpunkan jemaah daripada China, India, Pakistan, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan sebagainya.
Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di lokasi ijtimak mendapati ratusan ribu umat Islam berpusu-pusu mengerjakan solat Jumaat dan keadaan menjadi sesak apabila mereka beredar meninggal masjid untuk kembali ke khemah yang disediakan berhampiran masjid berkenaan.
Kehadiran jemaah tabligh ini juga antara lain melibatkan aktiviti keagamaan seperti perbincangan, syarahan dan pengajian ilmu.
Dalam pada itu Ali @ Ma Jian Ming, 24, seorang jemaah China dari wilayah Ninsha berkata, dia akan berada di ijtimak ini selama 10 hari dan hadir bersama-sama 200 jemaah tabligh dari negaranya.
Syamsuri Tumirin, 24, jemaah dari Jawa Timur, Indonesia pula menjelaskan, perhimpunan ini mendidik dan mengajar beliau menjadi seorang muslim yang memahami ajaran Islam.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0711&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm&arc=hive


Gambar-gambar yang sempat saya rakam ketika berada di tapak ijtimak



















No comments:

Post a Comment