Wednesday, June 9, 2010

Catatan tiga hari dua malam perjalanan – Gopeng

Jenuh juga memikirkan apa makanan terbaik yang hendak ditinggalkan pada sang arnab. Arnab ni sangat kuat makan. Nak tinggalkan dedak banyak-banyak pun takut nanti habis pula ditumpahkannya. Last-last saya ikhtiar cari sengkuang dan karot. Puas saya cari di merata kedai dekat dengan rumah saya tapi takde yang jual sengkuang. Yang ada hanyalah karot. Saya beli karot dan juga kangkong buat habuan arnab. Rasanya boleh tahan 3 hari kut. Selepas selesai memasukkan semua barang dan kelengkapan, kami pun bertolak ke Perak. Rasanya dah hampir lapan atau sembilan bulan saya tak balik Taiping. Boleh tahan juga jumlah kenderaan di atas lebuhraya. Di beberapa lokasi, kenderaan terpaksa bergerak perlahan. Perjalanan kali ini agak lama. Selalunya saya boleh sampai Taiping lebih kurang dalam 3.5 atau 4 jam sahaja tapi kali ini lebih 4 jam. Pukul 10 pagi bertolak dari rumah, dekat pukul 2.30 petang baru sampai Taiping. Apapun ia mungkin ada kaitan dengan tindakan saya yang mengambil susur keluar di Gopeng. Saya ambil susur keluar tersebut kerana hendak mengisi minyak. Gopeng sebenarnya mempunyai beberapa lokasi bersejarah. Yang berhampiran dengannya ialah di Kuala Teja, tidak jauh dari pekan kecil Kota Baru yang letaknya kira-kira 12 km dari pekan Gopeng. Di situ terdapat makam Raja Bendahara Alang Iskandar yang merupakan ayahanda kepada Sultan Idris Murshidul Azam Shah (1887-1916). Tidak jauh dari situ, ada sebuah lagi kompleks makam yang menempatkan makam Sayyid Jaafar Sayyid Yunus, Orang Kaya-Kaya Besar yang juga merupakan penyusun undang-undang 99 negeri Perak. Ayahandanya, Sayyid Yunus adalah merupakan Penghulu di kawasan Teja. Di Pauh Lima, iaitu sekitar beberapa km sahaja dari pekan Gopeng dalam perjalanan menghala ke Kota Baru, ada sebuah lagi makam bersejarah iaitu makam Sayyid Usman yang pernah bergelar Menteri Paduka Tuan. Kalau tak silap saya, kesemua tokoh ini bersambungan nasabnya kepada Sayyid Hussein al-Faradz, ulama besar yang datang dari Hadramaut ke negeri Perak dalam abad ke-16 Masehi. Makam Sayyid Hussein al-Faradz dikatakan terletak di Kampung Pasir Bijih, satu kilometer dari Makam Marhum Teja ke hilir. Tentang sejarah pekan Gopeng, dikatakan bahawa nama pekan ini diambil bersempena dengan nama timangan seorang rakyat Cina yang berhijrah ke Malaysia pada penghujung kurun ke 19, yang bernama `MO PENG'. Nama itu dikatakan ada kaitan dengan mukanya yang dipenuhi dengan jerawat. Beliau juga merupakan orang pertama mengasaskan perlombongan bijih timah di Gopeng. Gopeng merupakan pekan yang tertua di Negeri Perak. Ketua kampung yang pertama dilantik pada tahun 1950 bernama Encik YOONG FU. Pada suatu ketika dahulu, kawasan Lawan Kuda di Gopeng adalah merupakan tempat perlumbaan kuda. Apabila Jepun menguasai Tanah Melayu, kawasan Lawan Kuda ini telah dijadikan lapangan terbang untuk mendaratkan kapal-kapal terbang perang. Setelah tamat perang, penduduk tempatan mula menduduki tempat tersebut. Kini, Gopeng merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di bahagian selatan Negeri Perak dan kedudukannya berada di dalam Lembah Kinta. Satu masa dahulu, ia merupakan sebuah kawasan perlombongan bijih timah yang terkaya di Malaysia. Penduduk Gopeng dianggarkan berjumlah lebih kurang 41,000 orang dan luas kawasannya lebih kurang 179 km persegi (122 batu persegi). (Sumber sejarah Gopeng di rujuk dari http://polisperak.rmp.gov.my/polisperak/IPDKampar/BPGOPENG/ImfoBPGopeng/BalaiGopeng.html. Dicapai pada 9 Jun 2010). Khabarnya di pekan Gopeng terdapat sebuah rumah kedai yang telah diubahsuai menjadi sebuah muzium yang dikenali dengan nama Muzium Gopeng (http://www.muziumgopeng.org/). Muzium Gopeng ini menghimpunkan pelbagai maklumat tentang sejarah Gopeng, aktiviti perlombongan biji timah dan asal usul serta adat istiadat penduduk di sana. Apapun saya belum berkesempatan melawat tempat-tempat bersejarah yang dinyatakan di atas. Selesai isi minyak, saya masuk semula ke highway dan bergerak menuju ke utara.


Sebatang jalan di Pekan Gopeng



No comments:

Post a Comment