"Esok kalau nak pergi berkelah, kena bangun awal", beritahu saya kepada anak-anak saya. Terus anak-anak saya masuk tidur. Esoknya pukul 9.30 pagi kami bertolak dari rumah menuju ke Hulu Langat. Cuaca agak mendung pada hari itu. Dari Puchong, saya mengambil jalan Bandar Tasik Selatan dan kemudian melewati Plaza Phoenix. Selepas itu saya mengambil susur keluar Batu 9, Kajang. Dari situ, perjalanan merentasi kampung-kampung yang mempunyai pemandangan yang menarik bermula. Lebih kurang sejam selepas itu kami sampai di Lubuk Manggis. Beberapa km ke hadapan ialah Gunung Nuang. Khabarnya ada tempat rekreasi di situ tapi kami belum pernah sampai ke situ. Awan tebal masih menyelubungi kawasan gunung. Nampak macam nak hujan tapi tak hujan. Lebih kurang pukul 12.30 tengahari matahari mula memancar terik. Tidak begitu ramai orang pada pagi itu. Agaknya mungkin mereka mengandaikan cuaca hujan pada pagi itu. Alhamdulillah, cuaca sangat baik. Di Lubuk Manggis, ada disediakan pondok yang terdiri dari pelbagai jenis. Ada yang hargnya RM 15, RM 20, RM 30 dan sebagainya. Rasanya yang paling mahal ialah pondok yang mempunyai dinding dan tingkap yang bertutup. Lebih kurang pukul 1 tengah hari, kami mengemaskan barang-barang untuk berangkat pulang. Pengunjung dah semakin ramai waktu itu. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Masjid Kampung Hulu Perdik untuk menunaikan solat zohor. Apabila bercerita tentang berkelah ini, ulama besar asal Kelantan yang dikenali dengan nama Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang gemar membawa anak-anak muridnya berkelah. Diriwayatkan ketika beliau tinggal di Kota Bharu, beliau kerap membawa anak-anak muridnya berkelah di Hujung Pasir Pekan di kawasan berpasir yang luas di pinggir Sungai Kelantan. Beliau lazimnya akan bermalam di situ bersama-sama dengan anak muridnya. Menurutnya ini adalah satu cara untuk merehatkan fikiran dari penat dan menambahkan kemesraan dengan anak muridnya. Tuan Guru Haji Ali (nama sebenarnya ialah Haji Muhammad Ali Salahuddin bin Awang) adalah seorang ulama Kelantan yang sangat ahli dalam bidang nahwu dan sorof. Beliau dianggap orang yang mewarisi ilmu nahwu Tok Kenali. Ini adalah kerana Tok Kenali pernah berkata kepada anak-anak muridnya, "Kalau hendak belajar nahwu pergilah belajar kepada Haji Ali". Beliau mempunyai kebolehan yang luar biasa dalam ilmu nahwu sehingga diriwayatkan bahawa kitab Alfiah iaitu kitab nahwu yang sangat masyhur yang mempunyai seribu rangkap syair tentang kaedah ilmu nahwu itu berada di dalam ingatannya ibarat membaca sifir dua sahaja. Tuan Guru Haji Ali meninggal dunia dalam usia 69 tahun pada 3 Oktober 1968 di Kampung Telok Katak, Pulau Pisang. Anak-anak muridnya ramai yang menjadi ulama terkemuka antaranya ialah seperti al-Fadhil Dato Haji Ismail Yusuf, al-Ustaz Yusuf Zaki bin Yaakub, Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution dan Tuan Guru Haji Abdul Wahid Sungai Udang Melaka.
Rujukan
Kawasan perkelahan Lubuk Manggis. Kelihatan jambatan gantung dalam gambar diatas
No comments:
Post a Comment