Monday, May 4, 2009

Pengkalan Hulu dan Pondok Pak Teh



Pengkalan Hulu merupakan sebuah pekan yang agak terpencil tetapi unik kerana ia bersempadan dengan Negara dan negeri. Di bahagian utara, pekan ini bersempadan dengan negara Thailand, sementara di sebelah baratnya pula, ia bersempadan dengan negeri Kedah. Pekan-pekan yang berhampiran adalah Pekan Daerah Baling di Kedah dan Pekan Daerah Betong di Thailand yang jaraknya adalah lingkungan 15 km dan di negeri Perak pula, Pekan Daerah Gerik adalah yang terhampir iaitu dengan jarak lingkungan 30 km. Dahulunya, nama pekan ini dikenali sebagai Keroh. Pada 4 Januari 1984, semasa pemerintahan Sultan Perak ke-33 iaitu Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah (Sultan Idris Shah II), baginda telah berkenan meminda nama Keroh kepada Pengkalan Hulu kerana tempat ini menjadi tempat persinggahan apabila baginda berangkat ke daerah Hulu Perak. Sejarah Pengkalan Hulu bermula sebagai pusat pentadbiran Negeri Reman (sebahagian daripada Negeri Patani) yang mana sempadan negerinya adalah Kedah dan Patani. Bagaimanapun, Raja Reman telah menceroboh Kelian Intan dan mengusahakan perlombongan bijih timah di situ, sehinggalah tercetusnya beberapa siri pertikaian dengan Kerajaan Perak dan beberapa perjanjian yang diusahakan antara pihak Inggeris, Siam dan Perak. Pada tahun 1902, Kerajaan Siam telah menghapuskan sistem pemerintahan beraja di Negeri Reman. Setelah itu, Kerajaan Siam telah menyerahkan daerah Hulu Perak kepada Kerajaan Perak. Istiadat penyerahan daerah Hulu Perak yang penuh bersejarah itu dilangsungkan di Keroh (kini Pengkalan Hulu) pada 16 Julai 1909. Asal-usul nama Pengkalan Hulu bermula dengan sebuah sungai kecil yang mengalir melalui kawasan ini. Sungai yang mengalir ini berpunca dari sebuah kampung yang bernama Selarong. Selarong bermaksud 'denai gajah' dalam bahasa Arab. Sungai ini menjadi tempat mandi dan berkubang gajah-gajah kepunyaan Raja Reman yang bilangannya menjangkau ratusan ekor. Bagi memudahkan gajah-gajah tersebut mandi, Raja Reman telah memerintahkan agar empangan dibina untuk membendung air. Aliran sungai yang diempangkan itu menjadi sebuah tasik kecil dengan keadaan airnya yang sentiasa keruh. Disebabkan itulah pekan ini telah dinamakan sebagai Keroh pada masa dahulu.
Tinggalkan sejarah silam dan kembali berpijak kepada realiti sekarang. Pengkalan Hulu selain terkenal kerana kawasan sempadannya dan juga tempat-tempat pelancongan yang menarik mempunyai satu lagi daya tarikan iaitu sebagai pusat pengajian ilmu tradisi Islam. Pusat pengajian tersebut ialah Madrasah Ad Diniah Al Latiffiah atau lebih dikenali oleh masyarakat setempat sebagai Pondok Pak Teh. Pusat pengajian ini sangat terkenal di peringkat Perak dan juga tanahair kerana berjaya melahirkan ramai alim-ulama yang bertebaran di seluruh tanahair.





Pengasasnya ialah Tuan Guru Haji Abdul Latif bin Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Pak Teh. Pak Teh mendirikan pusat pengajian ini pada tahun 1967 dan lokasinya adalah berdekatan dengan perkarangan rumahnya. Pusat pengajian ini teletak di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu dalam daerah Hulu Perak.

Tuan Guru Dato' Haji Abdul Latif Abdul Rahman



Pak Teh merupakan anak jati kelahiran Kampong Kuak Hulu, Pengkalan Hulu. Beliau dilahirkan pada tahun 1938. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dalam tahun 1947 hingga 1953 dengan menamatkan pengajian hingga darjah 5. Pada peringkat awal, beliau mula menghafal kitab-kitab agama dengan dibimbing oleh Ustaz Omar Mohd Noh. Selepas itu beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat menengah di Sekolah Arab (sistem pondok) yang dikenali dengan nama Pondok Asam Jawa yang terletak di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959. Pak Teh sebenarnya seorang pelajar yang pintar kerana beliau berpeluang melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar tetapi tidak meneruskannya kerana kemiskinan.[1] Kemudian Pak Teh meneruskan pengajian di Sekolah Agama Pondok Pasir Tumboh iaitu Sekolah ad-Diniah Bakriah, Kelantan selama lebih 9 tahun iaitu dari tahun 1959 hingga 1967. Beliau sempat berguru dengan beberapa orang ulama terkenal seperti Tuan Guru Haji Mohamad Saman, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Haji Ahmad, Tuan Guru Haji Sulaiman Mohd Rabik, dan juga ulama-ulama terkenal yang bermastautin di Kelantan iaitu Tuan Guru Haji Mustafa, Tuan Guru Haji Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Hashim Haji Abu Bakar.[2] Beliau telah dapat mengekalkan pengajian secara sistem pondok di mana pengajian ditumpukan dengan mempelajari kitab-kitab Thurath iaitu kitab-kitab tradisi Islam. Beliau adalah pakar rujuk dalam berbagai hal mengenai masalah agama. Mewarisi minat bapanya, Pak Teh juga minat bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan. Minatnya itu juga kini tertumpah pada anak-anak muridnya dimana pelbagai jenis tanaman di tanam di pusat pengajian tersebut. Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada, tanam-tanaman ini juga dapat memberikan pendapatan sampingan apabila dijual. Antara tanaman yang ditanam ialah seperti ubi kayu, pinang, pisang, nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan macam-macam lagi buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan.
Pada peringkat awal penubuhan Madrasah Ad Diniah Al Latiffiah, bilangan murid yang menerima cara pendidikan yang diperkenalkan itu hanyalah seramai tiga orang. Kini setelah madrasah tersebut menjangkaui usia lebih 35 tahun bilangan murid yang belajar di situ melebihi 400 orang secara sepenuh masa.

Salah satu blok bangunan tempat pengajian



Pak Teh merupakan ahli jawatankuasa Syariah Negeri Perak sejak dari tahun 1994. Pengetahuannya yang luas khususnya dalam pemakaian kaedah kitab Arab dan cermatnya beliau dalam mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan telah banyak membantu perjalanan jawatankuasa Syariah dan majlis fatwa Perak. Diatas sumbangannya yang besar, Pak Teh telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan DYMM Paduka Sultan Perak ke 76 baru-baru ini. Istiadat pengurniaan tersebut telah berlangsung pada 19 April 2004 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Kebanyakkan pengajian ilmu dimadrasah ini adalah bersumber daripada Kitab-kitab Jawi yang lebih popular dikenali sebagai kitab kuning dan kitab-kitab Arab. Kaedah pengajian di madrasah ini yang berasaskan system pengajian pondok selalunya menggunakan 2 kaedah utama iaitu umumi dan nazomi.Selain itu juga kelas hafalan dipraktikkan secara meluas dalam sistem pengajian pondok. Antara kitab yang digunakan di Pondok Pak Teh ialah Minhajul Abidin(tasawuf), Mughni Muhtaj(feqah), Syuzu(nahu), Hadis Muwatta Imam Malik, Fathul Muin, Fathul Wahhab, Tafsir Nasafi, Ibnu Akil, Syarkawi, Usul Fiqh, Matan Zubad(feqah) dan Matan Majmuk Azhari.

Surau yang menjadi tempat pengajian

Kebanyakan tenaga pelajar di Pondok Pak Teh ialah pelajar-pelajar senior dari Pondok Pak Teh.

Ustaz Ahmad Rozaini salah seorang tenaga pengajar di Pondok Pak Teh

Di Pondok Pak Teh, para pelajar bukan sahaja diajar hal-hal berkaitan agama tetapi juga dididik supaya berdikari.


Pondok pelajar

Mereka ditempatkan di pondok masing-masing dan disitulah mereka belajar bagaimana menguruskan kehidupan seharian mereka sendiri. Dengan dibimbing oleh tenaga pengajar dan pelajar-pelajar senior, mereka dididik berdikari bermula dari awal subuh hinggalah ke waktu tidur. Mereka melakukan kerja-kerja harian seperti membasuh baju, memasak, mengemas tempat berteduh dan membaiki pondok sekiranya rosak. Hikmahnya dalam proses berdikari ini ialah ia mampu membentuk jatidiri serta tidak bergantung kepada sesiapa kecuali pada Allah Taala.

Pemandangan madrasah

Laluan ke pondok kelamin dan muslimat

Para pelajar di Pondok Pak Teh juga diajar asas kehidupan, bagaimana mencari rezeki dari titik peluh sendiri. Mereka bebas bercucuk tanam di tanah yang dimiliki oleh Pak Teh hasil pusaka arwah mertua Pak Teh.

Tentang pengalaman tinggal di Pondok Pak Teh, saya memetik catatan yang dibuat di http://lordnoor.blogspot.com/2008/06/pondok-pak-teh-pengkalan-hulu.html yang saya rasakan sangat menarik untuk dikongsi bersama.

Persekitaran yg sederhana, bersuasana desa, dipayungi pohon-pohon hijau dengan pondok-pondok pelajar yg bertebaran, serta ayam dan kambing yg berkeliaran mungkin tidak menarik minat mereka yg biasa dengan cara hidup kota dan dibesarkan dalam dimensi kemodenan. Namun di pondok-pondok yang usang, tinggal para pelajar dan di surau yg berlantaikan papan bersilingkan zink, transaksi ilmu mengambil tempat dengan penuh adab dan tradisi keilmuwan, mencuit hati sesiapa sahaja yg berkesempatan ke sana. Kitab-kitab silam ditadah dengan penuh khusyuk, sesudah subuh, sesudah zohor, sesudah asar, sesudah maghrib dan sesudah isyak. Selepas solat subuh, kelihatan 3-4 orang pelajar menghampiri Tuan Guru, menyemak hafalan matan-matan yg berbeza. Namun yang ajaibnya, ketajaman deria dengar dan ingatan Tuan Guru dapat sahaja menangkap andainya ada silap dalam hafalan mereka, walaupun setiap mereka membaca matan yg berbeza secara serentak di hadapan Tuan Guru. Penyampaian kuliah di dalam bahasa melayu, dialek siam, Kelantan dan utara. Mereka yg baru mungkin berasa pening dan asing dengan penyampaian si Tuan Guru.Pada waktu malam, kedengaran suara-suara mengatasi bunyi unggas, yg sibuk mengulangkaji pelajaran dan hafalan. Dari Ilmu Nahu ke Ilmu Feqah, riuh di merata pondok suara pelajar mengulangkaji. Tidak cukup dengan kuliah umum kelolaan Tuan Guru di surau, ada juga kelas-kelas mini yg diajar oleh Ustaz-ustaz yg terdiri dari murid senior di pondok. Ada Ustaz-ustaz yg telah menghabiskan masa selama 30 tahun di pondok dan ada yg baru 8 tahun. Kedalaman ilmu mereka mengagumkan walaupun tidak punya sijil, diploma atau ijazah di dalam bidang agama. Bagi yag hanya sementara di sana (seperti teman), boleh diminta Ustaz-ustaz ini mengajarkan secara peribadi mengikut masa yg bersesuaian. Berbekalkan kitab dan sebatang lilin dihadapan sang Ustaz yg terjerit-jerit ibarat “naik syeikh”, teman mengaji ilmu nahu dengan kitab “Syarah Mukhtasar Jiddan A’la Al-Ajrumiyyah”, antara kitab nahu yg paling asas diajarkan di pondok itu. Perkataan dibaca sepatah-sepatah dan dihurai sepatah-sepatah. Tidak hairanlah kalau dalam ½ jam, hanya setengah mukasurat yg mampu dihabiskan. Ada juga beberapa perkara yg menarik dapat diperhatikan di sana. Antaranya, solat subuh hanya bermula pabila Tuan Guru membuka pintu rumahnya dan masuk ke surau (rumah Tuan Guru dan surau bersambung). Selalunya solat subuh pada jam 6:40-6:45 pagi, agak lewat juga kiranya. Begitu juga menariknya bila Tuan Guru tidak mahu mengimamkan solat, murid-murid akan mencari mereka yg paling senior untuk menjadi imam. Apabila yg senior pun enggan menjadi imam, yg muda-muda akan menjadi imam. Namun, sesudah habis solat dan wirid, imam muda tadi akan menepuk lantai dan Tuan Guru atau si senior yg ada di dalam surau akan membaca doa, tak kira di mana duduknya murid senior itu, kadangkala di belakang imam dan kadangkala dibucu surau. Dapat diamati yg mereka ini memuliakan Tuan Guru dan abang-abang seguru mereka, suatu sikap yang sudah jarang wujud dalam diri para pelajar masa kini. Murid-murid juga akan bangun sebelum memulakan kuliah dan mereka hanya duduk sesudah Tuan Guru duduk. Begitu juga halnya sesudah kuliah, mereka akan bangun dan kekal berdiri sehinggalah Tuan Guru masuk ke rumah, barulah mereka beredar. Bersalam dengan Tuan Guru juga ada waktunya. Kalau tak silap, hanya pada hari Selasa dan Khamis sesudah asar Tuan Guru akan bersandar dan akan bersalam dengan anak muridnya yg mencecah jumlah 300 orang. Tangan digarap dan dicium oleh anak murid, dari yang muda hinggalah yang tua bangka. Sikap rendah diri para pelajar serta sistem pembelajaran yg berperingkat, dari yang paling asas ke tahap yg lebih tinggi menjadi faktor penyumbang kepada kefahaman mendalam para pelajar di dalam bidang agama. Kepelbagaian disiplin ilmu, seperti ilmu nahu, sorof, feqah, hadith, tafsir, mantiq dan tasawuf, serta pengekalan penggunaan kitab-kitab silam seperti Tafsir Nasafi, Mataz Zubad, Sahih Bukhari dan Muslim, Matan Ajrumiyyah, Matan Qatar, Fathul Wahab, Matan Syuzu dan banyak lagi, membuktikan yang pondok masih relevan di zaman moden ini, dalam memelihara warisan mereka yang terdahulu, yg kian di jauhi oleh masyarakat Islam di kala ini. Mungkin tempoh pengajian dua minggu tidak melayakkan diri ini untuk bercerita perihal pondok Pak Teh. Tapi dua minggu itu memberi kesan yang amat dalam, betapa perlunya memuhasabah diri ini dan bersikap rendah diri, walaupun bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Shariah, kerana ijazah itu bukannya kayu pengukur yg menjamin kita lebih alim dan bijaksana dari warga pondok ini.

Gambar foto yang saya muatkan dalam artikel ini kebanyakannya saya petik dari http://addiniahallatiffiah.blogspot.com/
[1] Rujuk http://mufti.perak.gov.my/berita/berita040612-4.htm
[2] Rujuk http://mufti.perak.gov.my/berita/berita040421-1.htm



Tuan Guru Dato Haji Abdul Latif Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Pak Teh


Lagi pemandangan madrasah






Papan tanda madrasah






Pejabat madrasah









16 comments:

  1. dulu aku pernah di sini... cadang nak melawat Pak Teh 20/12/02 nie ! insyaallah

    ReplyDelete
  2. asalamualaikum... nak masuk mcm mne? bayaran berepa jika mahu belajar dan menperdalamkan limu agama.. jika mahu duduk situ macam mne?
    anda boleh I am emali saya..
    azwa_sweet95@yahoo.com.my
    saya hanya wakil dari seseorang hamba allah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Family boleh pergi ke pondok dan bertanya kepada pegawai yang bertugas.

      Bayaran seingat saya tak mahal sewaktu zaman saya. tak lebih rasanya dari RM250 setahun.

      Perlu rujuk kembali.mungkin sudah berubah.
      cumanya, untuk makan dan minum perlu diusahakan sendiri.sama ada masak atau beli.

      Delete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum shiekh azmie..tumpang brtnya..ada x syarat msuk utk umur 13 tahu lelaki..boleh ke masuk jika xtau bhsa arab dan hafal quran..mohon penjelasan skjt..kerna tuan kata tua pernah berada di pondok pakteh ni..tq ya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak perlu tahu.datang ke pondok sebab nak mula belajarlah. yang penting, orang yang nak masuk tu betul2 nak masuk dengan keinginan dia sendiri.sebab hidup di pondok susah, kalau budak belum matang, dan takde keinginan, susah nak menjadi. Ini pengalaman saya tengok adik2 yang umur baru darjah 5, 6 dan menengah bawah yang duduk di pondok. sayang.

      Delete
    2. Syarat yang arwah walid(pak teh) pesan ade niat nk belajaq agama Allah ..Sangup untuk ikut seluruh peraturan madrasah sudah boleh masok .. Tiada had umur dalam belajar agama Allah...

      Delete
  5. Salam Tuan jk anak kami mahu makan diluar ada x kedai2 makan yang berhampiran boleh menyedikan makanan utk mereka kerana boleh menjimatkan masa untuk mereka belajar dll. Jzkk. Abdullah Bangi Selangor

    ReplyDelete
  6. Salam Tuan jk anak kami mahu makan diluar ada x kedai2 makan yang berhampiran boleh menyedikan makanan utk mereka kerana boleh menjimatkan masa untuk mereka belajar dll. Jzkk. Abdullah Bangi Selangor

    ReplyDelete
  7. Salam Tuan jk anak kami mahu makan diluar ada x kedai2 makan yang berhampiran boleh menyedikan makanan utk mereka kerana boleh menjimatkan masa untuk mereka belajar dll. Jzkk. Abdullah Bangi Selangor

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jgn risau tuan ..Ade tapi klau di pondk makan dalam talam.. Skit sama sikit ..Bnyk sama banyak...time tu anak tuan akan tau erti kawan setalam... sy bekas pelajar pondk pak teh

      Delete
  8. assalamualaikum tuan,saya penuntut dkt uitm tapah dan bercadang utk menuntut ilmu agama di pondok pak teh pada setiap hujung minggu,jadi adakah saya perlu mendaftar sbg plajar sementara,saya juga bercadang utk memeruslan pengajian sewaktu cuti semester nanti.

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum..saya zahir dari selama perak.boleh x saya mintak no.telepon untuk apa2 urusan.

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum..saya zahir dari selama perak.boleh x saya mintak no.telepon untuk apa2 urusan.

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum..kalau nk hantar anak kt sini apa syaratnyadsn berapa bayarannya

    ReplyDelete