Sunday, June 14, 2009

Lubuk Semilang, Makam Purba

Hari ini hari Selasa. Saya meminjam motor adik ipar, Mazlishah untuk ke perpustakaan daerah. Perpustakaan ini walaupun kecil tetapi sarat dengan buku-buku menarik khususnya yang berkaitan dengan sejarah Kedah. Perpustakaan ini dibuka pada jam 10 pagi setiap hari Ahad hingga Khamis.Terdapat beberapa buku yang menarik perhatian saya khususnya tentang ulama kedah dan sejarah lama Kedah. Ada juga beberapa salinan tesis yang boleh dirujuk disitu. Selepas zohor, kakak ipar saya mengajak kami berkelah di tepi pantai berdekatan dengan pekan Kuah. Lokasi tepatnya ialah berdekatan dengan jeti Kompleks Pelancongan. Memang itu lokasi favorite kami kerana tidak jauh dari rumah, tambahan pula pantainya boleh tahan juga bersih. Lazimnya kami akan membakar ikan disitu. Teringat saya betapa ulama-ulama dahulu juga sering membawa anak muridnya berkelah. Dengan berkelah, kita akan memerhatikan kejadian alam. Memerhatikan kejadian alam samalah dengan bertafakur lalu membesarkan keagungan Tuhan. Sampai di lokasi favorite, kami tidak dibenarkan masuk kerana kawasan tersebut dalam proses pembaikan dan naik taraf. Kakak ipar saya lalu mencadangkan berkelah di Lubuk Semilang. Kami akur saja lagipun memang tidak pernah sampai kesitu. Ternyata Lubuk Semilang tidak menghampakan. Ia merupakan kawasan air sungai yang cantik dan jernih. Anak-anak saya ternyata suka dengan tempat ini kerana airnya cetek. Sambil isteri saya mengawasi anak-anak bermain, saya meninjau kawasan sekeliling. Hajat dihati hendak melihat Kampung Buku yang terletak dalam lokasi yang sama. Kampung Buku mengecewakan saya. Tidak ada satu kedai pun yang dibuka. Malah ada kedai yang mungkin tidak pernah dibuka berdasarkan kepada keadaan struktur bangunan. Kampung Buku bagi saya indah khabar dari rupa. Saya berjalan dari satu kedai ke satu kedai tetapi semuanya menghampakan. Lalu saya kembali ke tempat berkelah. Saya tidak pasti apa silapnya Kampung Buku itu, adakah kerana lokasinya yang tidak strategik atau masyarakat setempat tidak bersedia menerima konsep sebegitu, entahlah. Yang penting bagi saya, budaya ilmu perlu dihidupkan. Pihak yang berwajib perlu mencari jalan untuk menghidupkan budaya ilmu kerana ia penting untuk peradaban masyarakat. Sebelum masuk waktu asar, kami bertolak ke rumah kakak ipar saya yang terletak di Ulu Melaka. Saya ke surau berdekatan yang terletak tidak jauh dari rumah kakak ipar saya untuk menunaikan solat asar. Saya menunggu hampir 10 minit tetapi tidak ada tanda-tanda jemaah setempat datang. Akhirnya saya menunaikan solat bersendirian.
Dalam perjalanan pulang semula ke Kuah, kami melintasi papan tanda Makam Purba. Saya meminta kakak ipar membawakan kami kesitu. Dari jalan besar, makam tersebut terletak lebih kurang 50 meter sahaja berhadapan dengan rumah orang. Makam tersebut ditanda dengan batu nisan Aceh. Khabarnya, makam ini milik seorang puteri dan dijumpai pada tahun 1975. Saya menghadiahkan al-Fatihah kepada 'penghuni makam'. Saya kurang pasti kenapa makam ini dinamakan makam purba kerana batu nisan Aceh seringkali dikaitkan dengan tokoh-tokoh besar di Alam Melayu. Kalau nak tengok contoh makam purba, lihat artikel saya yang ini. Wallahualam.




Perpustakaan Awam Langkawi. Tidak jauh dari rumah mertua saya. Lokasinya bertentangan dengan masjid al-Hana.

Tangga Helang Seribu Kenangan. Terletak didalam kawasan Lubuk Semilang. Kata kak ipar saya, Suhana, ada 1000 anak tangga perlu dilalui untuk sampai ke puncak. Saya pada ketika itu tak tergerak untuk naik sampai ke atas.

Lubuk Semilang, kira-kira 10 km dari Pekan Kuah. Amat sesuai untuk kanak-kanak mandi di bahagian bawah. Manakala dibahagian atas untuk orang dewasa yang airnya agak dalam sedikit.

Tempat meletak kereta di Lubuk Semilang. Tidak begitu ramai orang pada hari itu. Mungkin pelancong atau pengunjung lebih gemar pergi ke kawasan pantai.



Kampung Buku Malaysia yang terletak dalam kawasan perkelahan Lubuk Semilang ini telah dirasmi pada tahun 1997. Bunyi macam menarik... Hati saya mula teruja untuk meninjau kampun buku yang dimaksudkan.


Kami memilih lokasi ini yang tidak jauh dari lokasi parkir kereta. Tempatnya agak menarik dan sesuai untuk kanak-kanak

Kelihatan macam kolam pula. Apapun anak saya dan anak saudara saya sudah tidak sabar-sabar hendak berendam didalam air



Satu kawasan lain di Lubuk Semilang. Sejuk dan mendamaikan walaupun cuaca cukup terik hari itu

Satu contoh kedai buku yang termasuk dalam kategori Kampung Buku.. Lokasinya ialah di lereng-lereng bukit di Lubuk Semilang. Satu kedai pun tak buka. Sangat menghampakan saya.



Selesai mandi, kami ke Ulu Melaka. Saya ke surau berdekatan dengan rumah kakak ipar saya untuk menunai solat Asar. nama surau ini ialah Surau Kampung Telok.





Satu sisi dari luar surau



Bahagian dalam surau. Saya menunggu jemaah tempatan menunaikan solat tetapi akhirnya terpaksa solat sendirian kerana tiada yang hadir.

Pemandangan surau dari tepi jalan besar



Ruang utama surau

Ini ialah bahagian belakang rumah kakak ipar saya. Ada tempat bakar ikan dan dusun dibelakang rumahnya.

Reban ayam pun ada dibelakang rumahnya

Antara tanaman yang ada di dusun kakak ipar saya. Semuanya ditanam oleh ayah mertua saya yang memang rajin menanam tak kira dimana-mana.


Satu lagi pandangan dari dusun




Dalam perjalanan pulang ke Kuah, kami singgah di Makam Purba. Ini papan tandanya.



Makam purba ini menggunakan batu nisan Aceh yang cantik. Disalut dengan kain kuning menandakan pemiliknya adalah tokoh yang ada kaitan dengan institusi beraja.

Satu sisi lain Makam Purba. Tak taulah kenapa ia dinamakan makam Purba.

Sisi lain makam yang tidak jauh dari rumah orang



Batu nisan makam dari jarak dekat


Ini pula sekawan kerbau yang memerhatikan saya dari jarak 20 meter. Kerbau-kerbau itu sudah tidak sabar-sabar hendak berkubang. Disebelah kanan ialah rumah mertua saya di Kampung Kuah Langkawi

No comments:

Post a Comment