Hari ini hari Rabu. Dalam perancangan, kami akan bertolak ke Lubuk Merbau disebelah petang. Saya mengambil kesempatan disebelah pagi untuk meninjau kawasan disekitar Kuah. Saya ke Masjid al-Hana untuk melihat senibinanya yang boleh dikatakan agak unik juga. Selepas itu, saya ke kedai buku di pekan Kuah untuk melihat buku-buku yang dijual disitu. Memang menjadi tabiat saya untuk singgah mana-mana kedai buku yang berdekatan, mana tahu ada buku menarik yang boleh dijadikan 'ulam'. Tidak ada buku yang menarik perhatian saya, lalu saya kembali ke rumah bersiap-siap untuk ke jeti. Feri bertolak seperti yang dijadual dan sampai sejam berikutnya. Dari Kuala Perlis, kami mengambil jalan lama ke Alor Setar kerana hendak menghantar kakak sepupu yang tinggal di Alor Setar. Dalam perjalanan kami singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat Asar. Masjid ini terletak berdekatan dengan Muzium Padi, rasanya dekat dengan Gunung Keriang. Senibina masjid ini seakan-akan Masjid Zahir, masjid negeri Kedah. Agak pelik juga kerana tiada jemaah setempat yang hadir untuk menunaikan solat Asar. Lalu kami termasuk beberapa pengunjung luar lain yang turut singgah untuk menunaikan solat Asar berjemaah bersama-sama. Selesai solat, kami ke Alor Setar. Lokasi yang dicari ialah Terminal Shahab Perdana kerana kakak sepupu (sebelah isteri) tinggal disitu. Sebenarnya beliau memiliki kedai disitu dan kadangkala beliau bermalam bersama suaminya disitu. Sebelum itu, kami menjamu selera di sebuah gerai yang terletak bertentangan dengan terminal bas. Saya sempat juga mencuri masa ke Pustaka Darussalam yang tidak jauh dari gerai makan itu. Ada jugalah beli beberapa buku. Saya sebenarnya mencari buku karya Dato Syeikh Haji Zakaria tetapi tidak ada disitu, mungkin habis agaknya. Kami bertolak ke Lubuk Merbau melalui jalan Langgar - Pokok Sena - Naka. Di Langgar, kami singgah sekejap di Pekan Sehari kerana mertua saya ingin membeli buah-buahan.
Masjid utama di Kuah iaitu Masjid al-Hana. Masjid ini telah dilengkapi dengan kemudahan hawa dingin. Antara masjid tercantik di Langkawi.
Masjid al-Hana dari bahagian depan. Disebelah kanan itu ialah tandas
Satu lagi pandangan masjid al-Hana dibahagian hadapan. Dalam anggaran saya, masjid ini berupaya menampung antara 1000-2000 jemaah.
Masjid al-Hana dari bahagian belakang. Pintu utamanya disini (saya sebut belakang berdasarkan arah kiblat masjid)
Taska Islam yang terletak didalam perkarangan masjid al-Hana
Ini adalah pantai yang berdekatan dengan Taman Lagenda dan bersebelahan dengan Kompleks Jeti Pelancongan. Saya sendiri tidak tahu nama pantai ini tetapi ianya agak cantik dan tidak jauh dari rumah mertua saya. Asalnya kami ingin berkelah disini pada hari sebelumnya tetapi disebabkan laluan ke pantai ditutup kerana kerja-kerja pembaikan maka kami berkelah di Lubuk Semilang.
Satu pemandangan di hadapan Jeti Kompleks Pelancongan. Ombak begitu tenang di pagi hari
Langkawi diisytiharkan sebagai Taman Geopark pada 1 Jun 2007. Batu tanda ini terletak dihadapan bangunan LADA bertentangan dengan Taman Lagenda, tidak jauh dari pantai yang saya kunjungi tadi.
Dan ini pula ialah kompleks Pekan Rabu yang sangat moden dan baru sahaja siap dibina. Telah ada peniaga yang memulakan operasi disini. Lokasinya ialah berdekatan dengan Kompleks Jeti Pelancongan tadi.
Ini ialah bangunan Pejabat Tanah Langkawi yang mempunyai senibina tipikal seperti kebanyakan pejabat-pejabat kerajaan yang ada di negeri Kedah. Lokasinya dijalan utama tidak jauh dari Masjid al-Hana.
Bot persiaran berlabuh di tepi jeti Kuah
Jeti Kuah. Kelihatan didalam gambar, feri yang kami naiki untuk ke Kuala Perlis.
Ini adalah masjid yang kami singgah untuk menunaikan solat Asar. Saya tidak tahu nama masjid ini tetapi lokasinya adalah dijalan utama menghala ke Alor Setar dari Kuala Perlis berdekatan dengan papan tanda Muzium Padi. Kalau tak silap saya dekat dengan Gunung Keriang. Wallahualam
Ruang utama masjid dibahagian dalam
Satu promosi batu nisan dan juga peringatan bagi yang masih hidup. Baru saya tahu harga batu nisan pun boleh tahan juga sebenarnya. Mencapai angka ratus ringgit juga.
Antara pengunjung yang hadir menunai solat Asar dimasjid ini. Lihat senibina masjid ini yang mirip kepada Masjid Zahir, masjid negeri Kedah.
Saya tidak pasti ini bangunan apa, mungkin balai atau dewan masjid. Saya tertarik dengan ukiran yang terdapat pada sisi bumbungnya.
Pemandangan masjid dari pintu pagar utama
Satu sisi pandangan masjid. Corak yang sama pada sisi bumbung meliputi hampir keseluruhan bahagian bumbung masjid
Ruang kedai Pustaka Darussalam di Shahab Perdana. Tak silap saya ini adalah cawangannya. HQnya ialah di tengah-tengah pusat bandar Alor Setar.
Pasar sehari di pekan Langgar
No comments:
Post a Comment