Monday, November 16, 2009

Amanah dan Sabar

Tentang bab amanah dan sabar ini, saya telah melalui dan menghayatinya ketika terlibat dengan program lawatan pelajar baru-baru ini. Amanah yang dipikul terlalu berat sebaik sahaja ibubapa menyerahkan anak-anak mereka di bawah jagaan kami. Sepanjang rombongan, petugas termasuk saya perlu mengawal pergerakan anak-anak mereka agar sentiasa patuh pada arahan dan mengawasi mereka agar sentiasa berada dalam lingkungan kawalan kami. Mengawal anak-anak yang berusia semuda 5 tahun bukanlah satu kerja yang mudah. Ia menuntut kesabaran yang tinggi. Tidak hairanlah apabila bab sabar ini diletakkan selepas seseorang itu melepasi maqam taubat, zuhud dan faqir kerana ianya amat sukar hendak dilaksanakan. Jadi sepanjang tempoh lebih dari 8 jam (dari pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang), saya sebenarnya telah melalui satu 'kelas pengajian bergerak". Didalamnya terkandung matapelajaran amanah dan sabar. Matapelajaran begini tidak mungkin dapat dihayati secara teori melainkan melaluinya sendiri. Segala keletihan dan beban yang terpikul di pundak bahu berakhir sebaik sahaja bas melabuhkan destinasi dan anak-anak berjalan girang menuju ke pangkuan keluarga, pulang dengan selamatnya. Amanah ibubapa telah disempurnakan dengan sebaik-baiknya dan erti sabar dihayati sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment