Thursday, December 3, 2009

Asrama

Selesai solat Jumaat di sebuah masjid di Puchong, saya berjalan kaki menuju ke gerai makan yang tidak jauh dari masjid itu. Hujan mula gerimis. Setelah mengambil nasi dan lauk, saya mencari lokasi yang sesuai. Sebolehnya tempat yang agak terlindung sedikit untuk elak dari terkena tempias hujan jika hujan mulai lebat. Ketika leka menikmati hidangan, datang dua orang lelaki usia sekitar pertengahan 20-an. Sambil makan, terdengar juga perbualan mereka. Kisah mereka bertemu dengan senior sekolah dan mengenang kembali kisah silam mereka ketika berada di alam sekolah. Mengingatkan hal sekolah, saya terkenang ketika saya berada di asrama satu masa dulu. Saya pernah tinggal di asrama sebanyak dua kali iaitu ketika di tingkatan satu dan ketika di tingkatan empat. Saya ditawarkan memasuki tingkatan satu di sebuah sekolah berasrama penuh di Ipoh. Saya hanya dapat bertahan selama setahun di sekolah itu. Saya tidak dapat menyesuaikan diri tinggal di dorm (bilik asrama yang memuatkan sekitar 20 orang) dan belajar didalam kelas prep (siapa yang tinggal di asrama mesti tahu istilah ini). Saya tidak tahu kenapa tetapi yang pasti saya tidak boleh menelaah buku dalam suasana sedemikian. Atas sebab itulah, saya mengambil keputusan keluar dari sekolah tersebut dan kembali mengaji di sekolah harian. Selepas peperiksaan SRP (kini PMR), saya mendapat keputusan yang agak baik dan ditawarkan ke sebuah sekolah berasrama penuh di utara Semenanjung. Asrama sekolah berkenaan bukan dalam bentuk dorm tapi kiub (maksudnya sebilik 4 orang). Suasana bilik yang agak privasi itu memberi keselesaan kepada saya. Entah kenapa, kelas prep adalah paling saya tidak gemari. Saya lebih suka menelaah didalam kiub berbanding ke kelas prep. Namun di asrama, menelaah di kiub pada waktu prep adalah satu kesalahan. Saya pergi juga ke kelas prep tetapi rasanya hanya 10-15% sahaja yang saya boleh manfaatkan. Agaknya mungkin saya ini jenis suka menelaah secara tidak tetap disatu-satu tempat adakalanya duduk adakalanya berbaring, membancuh minuman dan bebas memilih buku yang hendak dibaca. Kalau didalam kelas prep, semuanya duduk tegak didalam kelas membuat tugasan masing-masing dan ini agaknya tidak sesuai dengan jiwa saya. Walaubagaimanapun, saya bertahan sehingga selesai SPM. Tinggal di asrama meninggalkan banyak kenangan. Sudah tentu kenangan yang paling banyak ialah bersama kawan-kawan. Kawan-kawan dianggap seperti adik-beradik pengganti keluarga yang jauh di kampung halaman. Perkara yang paling tidak boleh saya lupakan ialah saat menjelangnya SPM. Semakin hampir peperiksaan SPM, semakin galak pula kami menghabiskan masa dengan bermain. Kami bermain takraw diselang-seli dengan bola (sepak) tanpa mengira masa. Pada ketika itu, silabus pelajaran telah habis dan kami bebas mengulangkaji. Ironinya kami bukan mengulangkaji sangat sebaliknya lebih banyak bermain. Bahkan boleh dikatakan setiap kali selesai satu-satu peperiksaan, kami terus sahaja meluru ke gelanggang atau padang bermain takraw atau bola. Tamat kertas terakhir bererti selesailah SPM. Penantian yang ditunggu-tunggu selama dua tahun (dari tingkatan empat sehingga tingkatan lima) telah berakhir. Masing-masing kemudiannya pulang ke kampung halaman. Dalam tempoh menunggu keputusan itu, saya ada juga berhubung dengan kawan-kawan terutamanya yang tinggal didalam negeri yang sama. Keputusan SPM keluar beberapa bulan berikutnya. Keputusan yang saya terima agak memuaskan. Dengan keputusan itu, saya memasuki matrikulasi dan seterusnya melanjutkan pengajian ke sebuah universiti di Lembah Kelang. Ramai juga kawan saya yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Pejam celik pejam celik rupanya telah hampir 20 tahun saya meninggalkan alam persekolahan. Cepat sungguh masa berjalan. Uban pun dah banyak tumbuh di kepala.

No comments:

Post a Comment