Monday, September 21, 2009

Catatan Aidilfitri

Rabu - 4 hari sebelum raya


Hajat hendak bertolak lebih kurang jam 4.30 petang tetapi tak berhasil dek kerana banyak benda yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Pukul 5.30 petang baru keluar rumah. Isteri saya menjangkakan kereta banyak diatas jalan lalu kami beli sedikit juadah untuk berbuka mana tau kot-kot tak sempat nak berhenti berbuka disebabkan 'jam'. Ternyata apa yang dijangkakan tepat. Kesesakan sangat teruk sebaik masuk ke jalan LDP. Lebih kurang 1/2 jam bergelut dalam kesesakan, kami akhirnya berjaya masuk ke highway ELITE. Lagi beberapa ratus meter nak sampai Shah Alam, highway kembali sesak. Saya ambil keputusan untuk ikut highway Guthrie. Rupanya sangkut juga kat tol Bukit Jelutong. Jam waktu itu dah pukul 7.00 malam. Kereta macam tak bergerak, kalau bergerak pun slow sangat. Radio menjadi peneman untuk mendengar azan tanda masuknya waktu berbuka. Dengan juadah yang dibeli tadi, kami sekeluarga berbuka dalam kereta. Lebih kurang 10-15 minit kemudian, barulah kami berjaya melepasi tol itu. Terus saya berhentikan kereta di sebuah stesen minyak yang tak jauh dari tol tersebut untuk menunaikan solat maghrib. Selepas itu perjalanan disambung kembali. Sebenarnya ini kali pertama kami mengambil jalan Guthrie. Ada tiga tol rupanya di highway ini, setiap satu dengan kadar bayaran RM 1.40 (kalau tak silap saya). Tapi jalan ni ok. Kereta tak banyak, jarak pun rasanya tak jauh. Dalam masa beberapa minit sahaja, kami sampai ke susur keluar Rawang. Nampaknya untuk perjalanan pulang ke kampung selepas ini, mungkin highway ini akan terus menjadi pilihan saya. Kami sampai di Taiping lebih kurang jam 10.30 malam.

Khamis - 3 hari sebelum raya


Cuaca yang sangat baik. Pagi-pagi lagi saya keluar ke bandar. Ayahanda saya cadangkan supaya saya pergi cuci kereta di Gujappa sebelah pagi sebab kereta tak banyak time tu. Saya akur. Sementara menanti kereta dicuci, saya iktikaf sekejap di Masjid India yang terletak bertentangan dengan Gujappa. Selesai solat sunat Dhuha, saya tinjau keadaan sekeliling. Secara jujur, saya tidak pernah bersolat di masjid ini tapi pernah menjejakkan kaki di masjid ini beberapa kali sebelum ini kerana mengambil bubur lambuk. Ini adalah kerana jika saya ke bandar, lazimnya saya akan bersolat di masjid daerah. Masjid India ini kalau tak silap saya namanya Masjid Hanafi yang mengambil nama sempena nama seorang ulama besar berketurunan India Muslim yang pernah datang ke Taiping pada awal abad ke-20 (betulkan jika saya silap fakta ini). Masjid ini menjadi tempat tumpuan komuniti India Muslim untuk berhimpun dan mengeratkan silaturrahim sesama mereka. Komuniti India Muslim di bandar Taiping bolehlah dikatakan komuniti yang agak berjaya khususnya dalam bidang perniagaan. Rangkaian kedai makan dan kedai runcit India Muslim boleh didapati dengan mudah di bandar Taiping. Setelah membaca catatan pada batu tanda yang terletak di dalam perkarangan masjid, barulah saya tahu bahawa masjid ini adalah antara masjid tertua di bandar Taiping. Dengan adanya batu tanda itu, ia menandakan bahawa masjid tersebut tergolong sebagai salah satu lokasi warisan sejarah negara. Satu lagi masjid di Taiping yang tergolong dalam kategori warisan sejarah ialah Masjid Lama yang terletak betul-betul di pusat bandar. Masjid Lama ini turut mempunyai kawasan makam lama yang menjadi tempat persemadian beberapa tokoh besar yang pernah mewarnai sejarah silam Taiping dan Perak. Berbalik kepada Masjid India tadi, jika dilihat dari luar saya menjangkakan bahawa masjid ini mampu menampung kapasiti jemaah tidak kurang dari 1000 orang. Jangkaan saya meleset sebaik saya masuk ke ruang solat utama. Ternyata ruang solat utama tidaklah sebesar dari apa yang saya jangkakan. Mungkin hanya boleh memuatkan sekitar 100 orang sahaja. Saiz masjid yang tidak sepadan dengan ruang solat ini mengingatkan saya kepada Masjid Ubudiah yang terletak di Kuala Kangsar. Jika dilihat dari luar, saiz masjid ini agak besar tetapi ruang solat utamanya kecil dan langsung seperti tidak sepadan dengan saiznya. Lebih kurang 15 minit selepas itu, saya kembali ke Gujappa. Kereta pun dah siap dicuci. Saya kemudiannya ke Balai Pustaka yang terletak lebih kurang 500-1000 meter sahaja dari Gujappa. Ada beberapa buku baru terbitan DBP yang telah terbit dipasaran termasuklah kitab tafsir al-Mubin. Terliur saya dibuatnya. Kemudian ternampak pula beberapa judul buku yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor. Antara buku yang mencuri perhatian saya ialah buku berkenaan Batu Aceh. Buku ini termasuk dalam list buku yang saya cari. Tetapi harganya mahal. Duit yang ada perlu diperuntukkan untuk tujuan lain apatah lagi dengan aidilfitri yang bakal menjelma. Terpaksa saya tangguh dulu hajat untuk memiliki buku tersebut dan juga beberapa buku baru terbitan DBP itu. Seterusnya saya ke Kedai Buku Ikhwan yang terletak di kawasan 'Segitiga Emas' Taiping. Saya gelar kawasan itu segitiga emas kerana suasananya yang sangat padat samada dari segi ruang perniagaannya dan juga orangnya. Saya beli dua buah kitab, Bughyat at-Tullab dan Kasyful Asrar. Kitab Bughyat tu kalau tak silap saya, saya dah beli sebelum ni tapi soft cover. Yang dijual di Ikhwan ini ialah hard cover. Kitab Kasyful Asrar yang ditulis oleh Syeikhul Islam Syeikh Muhammad Saleh versi Jawi belum lagi saya miliki. Dah lama saya cari versi Jawi tapi baru saya ketemu di kedai ini. Terpandang set Bahrul Mazi (Jawi) dengan harga RM 220. Pembantu kedai seperti cuba nak 'provoke' saya beli set itu, eheh, mungkin sebab saya tengok lama sangat kitab itu. Kata pembantu kedai, "Kalau abang beli, kami boleh bagi diskaun. Selalu kami jual RM 200 tapi untuk kali ini, kami jual RM 190." Ikutkan hati memang rasa nak beli, tapi terpaksa tangguhkan dulu.
Disebelah petang, pergi cek bateri dan air-cond kereta. Bateri dah dua tahun tak ganti. Air-cond pula rasa macam tak berapa sejuk. Selepas cek, bateri kena ganti baru. Rabak RM260. Air-cond ok tapi filter dia kena ganti baru. Rabak lagi RM 95.

Kedai Buku DBP - usianya pun 20 tahun lebih (kalo tak silap saya). Setiap kali balik Taiping, saya mesti berkunjung ke sini. Kadang-kadang beli borong, kadang-kadang tengok je sebab bajet tak cukup.


Jumaat - 2 hari sebelum raya
Selepas solat Jumaat, saya bawa keluarga saya pergi tengok baju raya. Isteri saya sangat teliti bab-bab baju raya ni. Dia suka kalau satu family pakai sut lengkap (sama corak, sama warna) baru le orang kata Satu Malaysia, ehehe. Jadi, kedai tumpuan kami ialah Gene Martino, kedai kebanggaan orang Taiping sebab kilangnya ada kat Taiping, kat Jalan Tupai. Kedai ni jadi tumpuan sebab kedai ni adalah satu-satunya kedai yang jual sut lengkap untuk satu family, pilihan pun banyak. Hidung anak lelaki saya yang berumur setahun dah mula berhingus. Tandanya mula nak selesema.



Inilah rupa Gene Martino, tapi beg plastik je le. Macam mana rupa pakaiannya? Tak boleh tunjuk kat sini takut nanti boria pulak...eheh..

Sabtu - 1 hari sebelum raya

Anak lelaki saya dah mula batuk-batuk. Dia tak tahu nak keluarkan kahak menyebabkan kahak tersangkut di saluran pernafasannya. Bila bernafas, ada bunyi macam whizzing. Walaubagaimanapun, ikut jadual, kami perlu bertolak ke Langkawi. Hajat hendak sambut raya di rumah sebelah isteri saya. Kami bertolak dari Taiping lebih kurang jam 10 pagi dan sampai di Perlis lebih kurang jam 1.30 tengah hari. Selesai solat di masjid yang terletak di tepi jalan menghala ke Kangar, kami teruskan perjalanan ke Kuala Perlis. Jalan basah sebab baru lepas hujan. Sebaik kami melewati jalan di pesisiran pantai, kelihatan ombak agak kuat. Di jeti, feri ke Langkawi bakal bertolak pada jam 2.30 petang. Saya expect feri mungkin sampai lambat sikit sebab ombak agak kuat. Ternyata ombak beralun agak kuat tidak seperti sebelum ini. Budak-budak seronok apabila dilambung ombak tetapi orang-orang tua duduk senyap sambil mata resah melihat jam tangan. Kata sepupu sebelah isteri saya, depa (budak-budak) ni dok rasa macam naik endoi (macam diayun buaian). Masa bagaikan terlalu panjang. Perjalanan 1 jam ke pulau terasa seperti berbelas-belas jam. Akhirnya kami sampai di Langkawi lebih kurang jam 4.15 petang. Bunyi whizzing anak saya makin ketara. Petang itu juga saya dan isteri bawa anak lelaki saya ke klinik di tengah pekan. Doktor hanya bagi ubat biasa sedangkan pengalaman kami sebelum ini, kalau ada bunyi whizzing seperti itu selalunya pasti kena masuk gas untuk pecah kahak. Malamnya anak saya tak boleh tidur. Menangis. Pukul 9 menangis. Pukul 10 menangis. Pukul 11 menangis. Pukul 12 menangis. Pukul 12.30 pagi, saya dah tak boleh tahan. Ajak isteri pergi ke hospital. Perjalanan ke Hospital Bukit Tekoh ambil masa lebih kurang 10-15 minit. Betul seperti apa yang kami jangka, anak saya kena masuk gas (betul ke istilah ini saya tak pasti) untuk pecah kahak. Selepas itu barulah dia boleh tidur lena termasuklah bapa dan ibunya.



Dari highway nak ke Kuala Perlis (setelah exit dari dari highway nak ke Bukit Kayu Hitam), nampak bangunan ni. Ingat kot masjid rupa-rupanya bangunan Kompleks Adun Perlis.


Hujan kat luar. Tangkap gambo pun dari dalam kereta tu sebab nampak rintik-rintik kat cermin.

Cuba perati betul-betul kat pintu grill tandas masjid tu, "Sila buang kasut anda". Bior betul kena buang kasut? Maksud sebenornya kena tanggalkan kasut...eheh


Ruang solat utama dalam masjid


Pintu masuk ke ruang solat utama masjid dari bahagian belakang

Jam masjid menunjukkan pukul 2.10 petang


Masjid yang kami singgah untuk solat sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis


Masjid al-Mustaqim dengan menara dan kubahnya. Lokasinya betul-betul tepi jalan sekitar 5 km menghala ke Kangar


Simpang T nak ke Kuala Perlis. Boleh nampak laut kat sini. Baru lepas hujan dan ombak kelihatan agak kuat


Feri ke Langkawi. Ngam-ngam dapat feri bila sampai di Kuala Perlis. Bertolak pukul 2.30 petang


Pasar Ramadhan di Pekan Kuah. Jam lebih kurang 6.30 petang


Esoknya dah nak raya. Singgah kat Pasar Ramadhan sebab mak mertua saya pesan beli sedikit juadah untuk berbuka.


Ahad - Hari Raya Pertama

Kami beraya di rumah-rumah ibu saudara yang letaknya bersebelahan dengan rumah mertua saya. Makan mee rebus di rumah salah seorang ibu saudara. Kenyang sampai ke petang, ehehe. Berjumpa dengan Tok Tam. Pangkat Tok tapi beliau membahasakan dirinya pakcik dengan saya mungkin sebab usianya tidak terlalu jauh dengan mertua saya. Katanya, almarhum nenek isteri saya memanggilnya abang kerana pangkat abang sepupu. Sebab itulah mertua saya memanggilnya sebagai Pak Tam kerana pangkat bapa saudara. Ini kali pertama saya bertemu dengannya. Nampaknya dia seperti ahli dalam mengaitkan atau orang Perak kata 'pandai bersoreh' hubungan seseorang ahli keluarga dengan yang lain. Rasanya saya perlu berjumpa dengannya, mana tau kot-kot dia ada simpan salasilah keluarga sebelah isteri saya.
Disebelah malam, adik-beradik sebelah isteri saya datang dan berhimpun dirumah. Abang-abang isteri saya bercerita tentang pengalaman silam mereka menangkap ikan. Mereka bercerita tentang cara bela ikan hinggalah ke pengalaman kena sengat ikan. Bisa kena sengat ikan keli, sembilang, depu (macam ikan buntal) dan hidupan laut yang mereka panggil sebagai rampai diceritakan dengan penuh bersemangat pada malam itu. Petua untuk hilangkan sengat juga diceritakan dengan terperinci. Ada yang kena lumur dengan kulit pisang awak yang dah hitam (dah masak sangat) ditempat yang kena sengat untuk 'tawar'kan bisa dan macam-macam lagi. Saya tak pasti apa yang menyebabkan mereka mula bercerita tentang ikan cuma salah seorang sepupu isteri saya yang turut join dalam 'perbincangan ilmiah' malam itu bergiat sepenuh masa dalam industri menternak ikan. Mungkin itulah sebabnya mereka memulakan perbincangan ilmiah ini. Sebelum ini beliau bekerja makan gaji di Kulim tapi kemudiannya ambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke kampung, bela ikan dalam sangkar. Beliau bela ikan kerapu.

Isnin - Hari Raya Kedua


Tiket ke Kuala Perlis paling awal pukul 10 pagi. Saya tak pasti sempat sampai atau tidak gathering keluarga Haji Hashim/Umi Kalthum sebelah bonda saya di Kiri Baitul Rahmah Bukit Chandan Kuala Kangsar. Sebelum naik feri, ada seorang Arab, kelihatan seperti pelancong datang menuju ke arah kami. Katanya, orang yang beliau bayar untuk membantunya membawakan bagasinya tidak datang menjemputnya. Pada resit tercatat sejumlah RM 70, bayaran yang beliau telah jelaskan kepada seseorang untuk membawa bagasinya. RM 70 untuk bawa bagasi? Biar betul. Saya sarankan beliau agar bertanyakan kepada kaunter pusat informasi, mana tahu mereka kenal dengan agen yang telah beliau lantik itu. Kami sampai di Bukit Merah lebih kurang jam 2.30 petang. Saya call Yop, 'Pengerusi' Majlis Perjumpaan Keluarga. Macam mana kome (loghat Perak) nak tunggu kami ke? Tanya saya pada Yop. Yop kata diorang sanggup tunggu tapi selepas tu diorang nak ke Ipoh pergi beraya dirumah salah seorang ibu saudara. Tambah Yop lagi, jalan nak masuk Kuala Kangsar 'jam' lebih kurang 5 km. Kalau macam tu saya kata tak perlulah tunggu kami. Saya ambil keputusan masuk ke Taiping. Beli cendol Ansari dan pulang ke rumah ibubapa saya. Kami alas perut sebelum sambung perjalanan pulang ke KL. Ketika sampai ke Ipoh, saya ambil susur keluar untuk kerumah ibu saudara, dengan harapan dapat berjumpa dengan saudara-mara yang hadir gathering di Kuala Kangsar sebelum itu. Kami sampai di rumah ibu saudara saya lebih kurang jam 6.15 petang. Masuk waktu maghrib, saya berjalan menuju ke surau yang berdekatan. Malang sungguh bila pintu surau berkunci. Anehnya dalam kawasan surau itu ada beberapa rumah dengan lampunya terang-benderang (maknanya ada penghuni). Diorang tak solat disurau ke? Kata saya dalam hati. Akhirnya saya solat seorang diri dalam gelap di anjung surau dengan bertemankan dua ekor kucing, agaknya penunggu setia surau itu. Selesai makan malam, kami meneruskan perjalanan pulang ke KL. Sampai KL lebih kurang jam 11 malam. Kami dijamu gulai tempoyak Patin Pahang. Sedap sungguh. Alhamdulillah. Dirumah ibu saudara saya, saya berpeluang menatap foto almarhum tok sebelah bonda saya bersama dengan bapanya (nyang saya sebelah bonda). Kata sepupu saya yang saya panggi sebagai Mi, Cuba tengok muka tok, macam muka Man anak Pak Man kan? Saya mengangguk. Betul iras wajahnya mirip muka Man, seorang lagi sepupu saya, anak kepada bapa saudara saya yang merupakan abang bonda saya. Almarhum tok sebelah bonda saya berbangsa Bugis. Saya tak pasti samada beliau mempunyai pertalian kekeluargaan dengan Daeng Selili tetapi dengan merujuk kepada tempat asalnya iaitu di Bandar (Hilir Perak), mungkin almarhum tok ada sangkut-paut dengan keluarga laksamana atau raja mahkota yang merupakan pembantu kepada laksamana. Atau mungkin juga moyang almarhum tok termasuk dalam kelompok orang-orang Bugis yang berhijrah secara besar-besaran ke Perak setelah mendengar berita Raja Bugis yang meninggalkan segala kemashyuran pangkat dan harta benda untuk menetap di Perak. Raja Bugis yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan ialah Daeng Selili. Wallahualam. Saya teringat kata bapa saudara saya yang saya panggil dengan nama Ayah Lang dan diulangi oleh ibu saudara yang saya panggil An malam tadi. Katanya, almarhum tok pernah bercita-cita untuk pulang ke Sulawesi dan menziarahi saudara-mara di sana. Maknanya masih ramai lagi saudara-mara kami disana tetapi saya tidak ada maklumat tentang kedudukan atau lokasi penempatan saudara mara saya di sana. Hanya Abang sahaja yang sempat sahaja jumpa (Abang ni panggilan kepada sepupu saya anak abang sulung kepada bonda saya). Saudara-mara lain yang hadir di gathering masih belum sampai ketika saya hendak bergerak keluar dari perkarangan rumah ibu saudara saya.




Feri nak ke Kuala Perlis



Plan nak naik feri pukul 9.00 pagi tapi tiket dah habis. Jadi terpaksa ambil feri pukul 10.00 pagi

Pukul 10.00 punya feri pun penuh. Dapat seat pun nombor dah 100 lebih. Apapun kami selamat sampai di Kuala Perlis sejam kemudian. Laut pun tenang tak macam masa datang ke Langkawi tempoh hari. Alhamdulillah.

Perjalanan ke rumah ibu saudara di Ipoh. Dah masuk pekan Ipoh ni. Rumah ibu saudara terletak berhampiran dengan airport Ipoh


Gambo klasik. Lelaki dewasa yang berdiri ialah almarhum nyang saya iaitu Haji Abu Bakar. Kanak-kanak lelaki yang berdiri ialah almarhum datuk saya iaitu Haji Mohd Hashim. Yang duduk dalam kereta sorong itu ialah pangkat ibu saudara, tapi saya tak pasti siapa. Maklumat ini diberikan oleh ibu saudara saya yang tinggal di Ipoh


Dalam gambo ni sepatutnya boleh nampak surau yang tak jauh dari rumah ibu saudara saya. Gelap sebab takde orang solat kat sini. Pintu surau kunci. Saya solat kat anjung luar surau. Ada dua ekor kucing menemani saya.

No comments:

Post a Comment