Monday, September 14, 2009

Hadiah

Masa memandu tadi, saya buka radio IKIM. Tak pasti nama ustaz yang sampaikan tetapi pointnya menarik perhatian saya. Antara kupasannya berbunyi begini,
Umat Nabi Muhammad saw tidak dikurniakan umur yang panjang, rata-ratanya sekitar 60-70 tahun. Ini berbeza dengan umat Nabi Nuh as yang menjangkau hingga usia 1500 tahun, umat Nabi Musa as yang menjangkau usia 300 tahun dan umat Nabi Isa as yang menjangkau usia 200 tahun. Menyedari keterbatasan umatnya, Nabi Muhammad saw memohon kepada Allah swt agar umatnya dikurniakan ganjaran yang sekurang-kurangnya menyamai umat-umat lain. Allah swt memperkenankan doa Kekasih-Nya dan mengurniakan hadiah berupa Lailatul Qadar. Hadiah ini Allah Ta’ala ceritakan secara khusus dalam surah al-Qadar. Imam Fakhruddin al-Razi dalam tafsirnya Mafahatil Ghaib menyebut bahawa ayat-ayat dalam surah al-Qadar mengajak manusia memahami betul-betul isi kandungan ayat tersebut lalu menghargai pemberian Allah Ta’ala yang tidak ternilai itu. Memang benar, ganjaran Lailatul Qadar adalah ganjaran yang sangat berharga kepada umat Nabi Muhammad saw. Ganjaran pada malam Lailatul Qadar menyamai ganjaran untuk seribu bulan (84 tahun). Sebab itulah umat Islam disarankan supaya memahami betul-betul maksud ayat dalam surah al-Qadar kerana hanya orang-orang yang berjaya memahaminya akan berazam bersungguh-sungguh untuk beramal pada malam Lailatul Qadar. Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut bahawa Lailatul Qadar juga disebut sebagai Lailatul Taqdir yang bermaksud Malam Penentuan. Malam itu disebut Malam Penentuan kerana pada malam itulah, manusia ditentukan tiga perkara iaitu ajal, habuan kesihatan dan rezeki.

No comments:

Post a Comment