Friday, September 25, 2009

Pencarian

Pabila saya menyelak-nyelak beberapa buku lama yang mengisahkan kehidupan ulama-ulama tersohor satu ketika dahulu, saya cuba membuat perbandingan dengan kehidupan masyarakat masa kini. Tuan Hussain Kedah, ulama terkenal Kedah awal abad ke-20 pernah berjalan kaki dari Patani ke Kelantan semata-mata hendak menuntut ilmu. Kemudian, beliau belayar pula ke Terengganu dengan menaiki tongkang Cina juga untuk menimba ilmu. Kemudian beliau belayar dengan sampan pukat ke Singapura juga untuk menimba ilmu Bahkan beliau pernah berenang merentasi Sungai Muar kerana waktu itu tidak ada sampan tambang semata-mata kerana hendak menuntut ilmu. Itu belum termasuk pengembaraannya ke Melaka, Medan, Batu Bara, Bedagai, Selangor dan Perak seterusnya ke Makkah dengan niat hendak menuntut ilmu (rujuk buku Ulama Kedah Darul Aman Jilid 1, terbitan Lembaga Muzium Kedah tahun 1996). Seorang lagi tokoh iaitu Tuan Haji Wan Muhammad bekas mufti Perak awal tahun 1900-an juga berjalan kaki dari Kelantan ke Perak dengan niat hendak berdakwah (rujuk Suara Majlis no. 10, terbit pada 12 Julai 1983). Agaknya kalau ulama-ulama ini hidup pada zaman ini, entah berapa banyak rekod Malaysia yang dah mereka pegang tapi sudah tentu itu bukan matlamat mereka. Matlamat mereka adalah untuk menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu. Semangat mereka sangat luar biasa. Mudah-mudahan kita semua menanam tekad dan azam untuk menuruti jejak langkah ulama-ulama besar ini dalam usaha mencari ilmu.

No comments:

Post a Comment