Tuesday, June 23, 2009

Ihya Awal Rejab 1430


Semalam saya dan adinda saya Tuan Haji Khairul Rizal menghadiri majlis Ihya Awal Rejab yang diadakan di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR Ampang. Kami datang berasingan. Saya sampai agak awal juga kerana ingin mengelakkan kesesakan jalanraya. Pada ketika saya sampai, tempat parkir kereta masih banyak yang kosong. Yang memenuhi masjid pada ketika itu ialah pelajar-pelajar tahfiz. Setelah mengambil wudhu', saya terus masuk ke masjid dan menunaikan solat tahiyatul masjid. Jam masih awal, baru pukul 6.15 ptg. Saya membelek-belek kitab dan buku-buku yang ada di rak. Ada satu buku yang menarik perhatian saya. Buku yang menceritakan tokoh-tokoh besar yang akhirnya memeluk agama Islam. Ketika hampir maghrib, jemaah sudah mulai ramai. Syeikh Fuad juga sudah datang dan duduk disebelah kanan di bahagian luar serambi masjid. Selesai azan dan solat maghrib, jemaah sama-sama membaca zikir munajat yang dikarang oleh Al-Imam Al-Qutb Al-Irsyad Al-Habib Abdullah ibn Alawi Alhaddad. Setelah itu Syeikh memulakan syarahan tentang Amalan Bulan Rejab, sila rujuk sini untuk doanya. Selesai solat isyak, Syeikh mengijazahkan Istighfar Imam Hasan al-Basri kepada para hadirin. Setelah selesai pengijazahan, zikir munajat disambung dan majlis ditutup dengan bacaan doa yang dipimpin sendiri oleh Syeikh Fuad. Majlis selesai lebih kurang jam 10.30 malam. Kami menikmati juadah yang disediakan dan melihat kitab-kitab yang dijual di perkarangan masjid.


Saya parkir kereta diluar masjid betul-betul bertentangan dengan pintu pagar masjid. Sampai disitu lebih kurang jam 6.15 petang. Saya dari Puchong mengambil jalan MRR2 dan lazimnya jalan situ sesak. Jadi untuk mengelakkan tersangkut dalam 'jam', saya pun datang awal ke sini.



Tempat parkir di bahagian dalam masjid pun masih banyak yang kosong. Persekitaran masjid yang dikelilingi oleh hutan semulajadi dibahagian belakangnya menjadikan suasana masjid sangat mendamaikan.

Pelajar-pelajar tahfiz sedang menikmati juadah petang. Dari raut wajah pelajar-pelajar ini yang bercahaya, ada potensi mereka ini menjadi ulama besar kelak. Insyallah.


Syeikh sedang bersyarah tentang amalan Rejab. Ramai yang hadir malam itu walaupun esoknya adalah hari kerja.

Inilah buku yang saya baca sambil menunggu masuknya waktu Maghrib. Saya tertarik dengan kisah Martin Lings, sasterawan dan ahli sufi terkenal yang memeluk Islam. Pada ketika hampir menjelang ajalnya, beliau masih lagi mampu bersyarah tentang kehidupan Nabi saw dihadapan ribuan khalayak umat dalam satu majlis Maulid Nabi saw. Buku ini sangat menarik walaupun isinya ringkas kerana ia menceritakan perjalanan tokoh-tokoh besar yang telah mendapat hidayah Islam.

Ruang utama masjid pada jam 6.30 petang. Masih ramai lagi jemaah yang belum datang pada masa itu.


Jemaah sedang menanti Syeikh memulakan syarah. Ramai yang hadir pada malam itu tidak kira tua, muda, kecil atau besar termasuklah muslimah. Saya anggarkan seribu orang yang hadir pada malam itu (atau mungkin lebih... Wallahualam)

Jemaah sedang menikmati juadah setelah selesai majlis.

Selesai menikmati juadah, kami melihat kitab-kitab yang dijual. Saya membeli dua kitab manakala adik saya beli satu.


Suasana diluar masjid selepas selesai majlis. Jauh berbeza ketika mula-mula saya sampai tadi. Puluhan kereta berbaris di bahu-bahu jalan sekitar masjid. Seingat saya, masa mula-mula datang tadi, adalah satu dua kereta sahaja dibahagian luar masjid.



Inilah kitab Istighfar Imam Hasan al-Basri yang telah diijazah oleh Syeikh Fuad pada malam itu. Kata Syeikh, jaga baik-baik hizib ini dan amalkan.

No comments:

Post a Comment