Sunday, June 21, 2009

Nasihat dan Galakan dari Guruku

Semalam, hari Ahad. Kami bertemu dengan guru kami yang dihormati lagi dikasihi, al-Ustaz Dato’ Dr Siddiq Fadzil. Bahkan kami yang merupakan anak-anak didik Dato’ juga sudah hampir enam bulan tidak berjumpa sesama kami sejak sesi pembentangan kertas cadangan skripsi (tesis) awal tahun ini. Perjumpaan dengan Dato’ sentiasa menyegarkan kami. Selain dari bertanyakan khabar dan mendapatkan maklumbalas tentang kemajuan (progress) skripsi kami, Dato’ juga pasti akan memberikan pandangan dan nasihat yang sangat berguna kepada kami. Perjumpaan hampir dua jam semalam terasa begitu singkat. Manakan tidak, Dato’ tidak lokek menceritakan segala pengalamannya yang lepas. Kisah bagaimana beliau menyelesaikan pengajian siswazahnya. Kata Dato, diperingkat siswazah ini, kita hendaklah menunjukkan sikap luarbiasa sehingga keluarbiasaan itu terzahir dan tertonjol dilihat oleh orang lain. Maksud Dato tentang luarbiasa itu ialah, komitmen atau tumpuan untuk menyudahkan sesuatu kajian. Kepala hendaklah sentiasa berfikir manakala tangan pula hendaklah ringan mencatat apa sahaja yang dirasakan penting untuk tujuan analisis dan kajian. Mulut juga hendaklah ringan bertanyakan sesuatu jika tidak faham atau memerlukan penjelasan lebih lanjut. Menyudahkan skripsi khususnya bagi kami yang bekerja memang bukan satu tugas mudah. Masa sentiasa mencemburui kami. Dalam hal ini, Dato’ menceritakan pengalamannya tentang bagaimana beliau menguruskan masa. Kata Dato, sewaktu beliau menyelesaikan pengajian di peringkat doktor falsafah, beliau juga sangat aktif dengan organisasi belia dan juga tugasan harian. Pada masa yang sama, beliau juga terpaksa menjaga ibunya yang sedang sakit. Lalu beliau memanfaatkan masa yang ada dengan mencatat apa sahaja yang berkaitan dengan kajiannya sebaik sahaja ada masa terluang. Walaupun ketika menjaga ibunya yang sakit di hospital, Dato’ tetap tidak lupa mencatatkan segala yang dirasakan penting disisi ibunya yang dikasihi. Kata Dato’, banyak juga yang dapat ditulis ketika menemani ibunya di hospital. Pada masa yang sama juga, beliau turut berhadapan dengan cabaran membesarkan anak-anaknya. Mujurlah isterinya amat memahami bahkan pada masa yang sama isterinya juga sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah. Oleh itu, sikap tolak-ansur, bekerjasama dan persefahaman sentiasa wujud di hati mereka. Kata Dato’, zaman beliau menyelesaikan pengajian siswazah dulu, beliau menggunakan mesin taip. Menggunakan mesin taip bukannya mudah seperti komputer pada masa sekarang. Apabila terdapat kesilapan, adakalanya kertas itu perlu ditaip semula. Sebaliknya jika menggunakan komputer, sebarang kesalahan hanya perlu dipadam dan digantikan dengan yang baru. Fail atau dokumen boleh disimpan dan dicapai pada bila-bila masa dengan menggunakan komputer tetapi tidak apabila menggunakan mesin taip. Kata Dato’, inilah antara cabaran besar yang dihadapinya ketika menyelesaikan pengajiannya. Satu kisah menarik Dato’ ialah pengalamannya ketika dibawah bimbingan Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, tokoh pemikir besar dunia Islam pada masa ini. Kata Dato’, kalau nak berjumpa dengannya, kena datang waktu malam. Pada ketika itu, Profesor Syed Muhammad Naquib tinggal di Petaling Jaya. Menurut Dato, appointment dengan gurunya itu selalunya diadakan pada pukul 10 malam dan berlanjutan sehingga pukul 2 pagi. Perjumpaan dengan gurunya itu lazimnya dalam bentuk diskusi. Kata Dato’, jika gurunya itu (Profesor Syed Muhammad Naquib) hendak menyampaikan sesuatu pandangan tentang apa yang ditulisnya lazimnya perjumpaan itu akan berlanjutan lebih dari jam 2 pagi. Al-Fadhil Ustaz Nasir yang turut bersama kami dalam perjumpaan bersama Dato’ turut menceritakan pengalamannya ketika menyelesaikan pengajiannya. Kata al-Ustaz, satu perkara penting yang tidak boleh diabaikan ialah mewujudkan keserasian dengan penyelia. Bahkan, penyelia juga banyak mempengaruhi pemikiran pelajar yang diselianya. Al-Ustaz memetik kata-kata penyelianya, Kamu akan ingat aku dalam seluruh hidupmu. Menurut al-Ustaz, memang betullah kata penyelianya itu. Sikap ketelitian dalam menganalisis sesuatu yang ada pada penyelianya akhirnya tertumpah kedalam dirinya. Dato’ sekali lagi menekankan kepentingan pengurusan masa. Dato’ memetik contoh kisah peneraju al-Rajhi Bank. Kata Dato’, peneraju al-Rajhi Bank itu menguruskan masanya dengan cara menyatukan masa. Maksud menyatukan masa ialah menggabungkan waktu tidurnya dengan waktu beliau terbang diudara. Maknanya beliau menghabiskan waktu tidurnya ketika berada didalam kapal terbang. Dengan cara itu, beliau boleh memanfaatkan waktu ketika beliau tidak tidur dengan sebaik-baiknya. Diakhir perjumpaan, sekali lagi Dato’ mengulang tentang kepentingan pengurusan masa, menjadikan budaya mencatat sebagai suatu amalan dan jangan berlengah-lengah untuk memasukkan (mula menulis) segala bahan yang telah dikumpul. Allah, terasa begitu segar diri ini selepas berjumpa dengan rakan-rakan dan mendapat nasihat yang berguna dari Dato’ dan al-Ustaz. Mudah-mudahan skripsi (tesis) ini dapat disempurnakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Sebenarnya saya sangat menikmati mengikuti pengajian dalam bidang pemikiran Islam ini. Walaupun sebelum ini saya telah pun memiliki ijazah sarjana dalam bidang lain namun mengikuti pengajian di sini dibawah bimbingan tokoh-tokoh yang sangat berpengalaman seperti Dato Siddiq, Dato Mohd Nor Manuty, Ustaz (kini Dr.) Khalif) dan ramai lagi telah memberi satu kepuasan yang sangat bermakna dalam diri saya.


Perpustakaan dari pandangan atas

Kolej tempat saya menimba ilmu. Kata Dato', kolej ini pernah menjadi saksi kehadiran tokoh-tokoh besar antaranya ialah seperti Saiyid Abul Hasan Ali an-Nadwi, ulama besar dari negara India (wafat pada 23 Ramadhan 1420 H bersamaan dengan 31 Disember 1999)


Dato' Dr Siddiq dan Ustaz Nasir berkongsi pengalaman dengan kami


Rakan-rakan sekuliah

Rakan-rakan sekuliah saya

No comments:

Post a Comment