Sunday, June 14, 2009

Pondok Tuan Guru Haji Salleh

Hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Kalau ikut kitab Sairus Salikin, hari Jumaatlah hari yang dikhususkan untuk mengerjakan amal ibadah dan kafarah bagi hari-hari yang lain. Hari Jumaat dijadikan hari untuk persediaan atau bekal ke akhirat walaupun amalan-amalan dan ibadat dihari lain tidaklah dikurangi walau sedikitpun. Dalam kitab Sairus Salikin, ada dicatatkan bahawa ganjaran yang sangat besar menanti bagi mereka yang menghabiskan masanya dengan ilmu yang bermanfaat dan amalan-amalan serta ibadah seperti solat, zikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Disebabkan itulah agaknya pengajian ilmu digalakkan untuk diadakan pada hari Jumaat bagi memanfaatkan setiap saat yang ada pada hari itu. Tuan Guru Haji Salleh, ulama besar di utara Semenanjung mengadakan pengajian setiap minggu pada hari Jumaat. Pengajian dijalankan di Madrasah al-Rahmaniah di kawasan berhampiran dengan rumahnya di Sik. Di sekitar pusat pengajian dan rumahnya, terdapat puluhan pondok-pondok yang dihuni oleh penuntut tanpa mengira usia. Saya sebenarnya sudah tidak sabar-sabar hendak menjejakkan kaki disini. Semenjak dari hari Khamis, saya sudah mula menghitung waktu, terasa masa begitu perlahan. Selepas solat Subuh, saya mula menyediakan peralatan yang patut dibawa seperti alatulis dan nota. Saya bertolak ke Sik dengan ayah mertua saya. Ayah mertua saya bertindak sebagai penunjuk jalan. Beliau memang mengikuti pengajian Tuan Guru Haji Salleh. Kami mengambil jalan Kubang Kesum, yang melewati papan tanda Empangan Beris, Kampung Gulau, beberapa kampung lain dan seterusnya sampai ke Sik. Di Kubang Kesum, ramai orang Siam tinggal disitu kerana ada satu wat besar dibina disana. Cuaca agak sejuk dan kabus agak tebal. Saya terpaksa memasang lampu walaupun hari sebenarnya sudah cerah. Perjalanan dari Lubuk Merbau ke Sik mengambil masa 30 minit dengan jarak sekitar 30-40 km. Lebih kurang perjalanan dari Taiping ke Bagan Serai. Kami sampai di Sik sekitar jam 7.30 pagi. Pekan Sik tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Berhadapan dengan Plaza Mara Sik, ada satu papan tanda yang menunjuk jalan ke Pondok Tuan Guru Haji Salleh. Sesampai di Sik, saya sudah mula merasa 'kesibukan'nya. Ramai orang membanjiri gerai-gerai makan yang berdekatan, rata-ratanya berkopiah, berserban dan berkain pelekat. Bolehlah dijangkakan bahawa mereka juga akan menghadiri kuliah Tuan Guru. Masuk sedikit ikut papan tanda itu, terlihatlah berpuluh-puluh kereta samada telah diparkir atau pemandunya sedang mencari tempat yang sesuai untuk meletakkan kereta. Kedangaran alunan ayat-ayat suci al-Quran dari corong Madrasah memenuhi segenap ruang kawasan sekitar. Kubah madrasah jelas kelihatan dari lokasi kami. Saya mencari kawasan yang agak selesa. Setelah meletakkan kereta, kami berjalan dicelah-celah rumah menunju ke balai pengajian. Kami melintasi rumah Tuan Guru yang sederhana besar. Selepas melintasi rumah Tuan Guru, kelihatan ramai para jemaah membanjiri setiap ruang samada di luar madrasah mahupun didalam madrasah. Ini satu pengalaman baru bagi saya. Menurut ayah mertua saya, hari itu walaupun ramai tetapi tidaklah ramai seperti kebiasaannya. Kata ayah mertua saya, kalau bulan puasa lagi ramai. Hendak keluar kereta pun dari lokasi pengajian mengambil masa 15-30 minit kerana jalan terlalu sesak. Pada saya yang baru pertama kali menjejakkan kaki kesitu, itupun dah kira sangat ramai. Tak dapatlah dibayangkan bila ayah mertua saya kata itu belum cukup ramai berbanding dengan bulan puasa dan minggu-minggu sebelumnya. Diluar madrasah, suasana seperti pasar sehari. Ini adalah kerana ada jualan barang-barang harian seperti buah-buahan, sayur-sayuran, daging, susu, kuih-muih, pakaian dan juga kitab-kitab. Saya mengambil kesempatan masa yang ada untuk melihat kitab-kitab yang dijual. Ada satu kitab yang menarik perhatian saya iaitu kitab Tuan Guru Baba Ismail Sepanjang Fathani yang dijual beserta dengan CD. Saya juga membeli CD Pondok Tuan Guru Haji Salleh sebagai kenang-kenangan. Setelah bersiar-siar agak lama, barulah saya perasan bahawa disekeliling kawasan itu terdapat puluhan pondok yang dihuni oleh pelajar-pelajar samada tua atau muda. Rumah-rumah yang dilintasi kami tadi pun rupanya adalah pondok-pondok pelajar. Siren berbunyi menandakan kuliah akan bermula. Masing-masing mengambil tempat. Saya masuk kedalam madrasah dan duduk agak hampir juga dengan tempat duduk Tuan Guru. Teruja saya untuk mengikuti pengajian dengan duduk berhampiran dengan Tuan Guru sambil mengharapkan keberkatan majlis ilmu yang penuh barakah di pagi Jumaat itu. Ramai juga yang duduk di luar dengan menghamparkan tikar dan suratkhabar. Bagi yang berada di luar, mereka mendengar menerusi sistem pembesar suara yang disediakan. Suasana begitu hening tetapi sangat mendamaikan menantikan kehadiran Tuan Guru. Kelihatan satu susuk tubuh berjalan dari rumah Tuan Guru menuju ke madrasah. Bisik ayah mertua saya, itulah Tuan Guru. Saya mengangkat kepala dan melihat kelibat Tuan Guru dengan jelas. Allah, tak tergambar dihati saya kerana berpeluang dapat duduk mengikuti majlis ilmu Tuan Guru. Bagi masyarakat setempat, berjumpa dan melihat Tuan Guru mungkin satu perkara yang biasa tapi bagi saya yang datang dari jauh; berjumpa, melihat, mendengar dan mengikuti pengajian Tuan Guru adalah satu pengalaman yang sangat-sangat berharga buat diri saya. Semua hadirin menumpu sepenuh perhatian kepada Tuan Guru. Saya juga begitu, bersedia mencatat apa-apa yang patut. Kitab pertama ialah Tafsir Nurul Ihsan. Allah, dah lama saya berhajat nak mengikuti pengajian kitab ini dengan ditafsir secara tepat dan Alhamdullillah Tuan Guru telah berjaya memenuhi hajat saya selama ini. Tuan Guru mentafsirkan kitab tersebut dengan menghuraikan setiap patah mengikut lughah, nahwu Arab bagi menguatkan pemahaman. Kenapa patah tu begini dan begini, kenapa ayat tu begitu begini serta asbabun nuzul kandungan ayat. Allah, Allah, Allah. Walaupun singkat tetapi hati saya terasa puas. Seterusnya ialah kifayatul muhtaj yang ditulis oleh Syeikh Dawud Fathani. Kitab ini mengisahkan perjalanan Isra' Mikraj Nabi. Huraian Tuan Guru sangatlah mendalam tetapi mudah dihadam. Kitab terakhir yang disyarah oleh Tuan Guru ialah Aqidatun Najin karya Tuan Minal. Tuan Guru telah mengupas kitab dengan sangat baik. Ada jugalah Tuan Guru selitkan kisah beliau dengan gurunya iaitu Al-Musnid al-Dunya Syeikh Yasin Isa al-Fadani (asal Padang, Indonesia meninggal pada tahun 1990) iaitu tentang bagaimana Asy-Syeikh mengijazahkan hadith kepadanya. Bahkan Tuan Guru sendiri ada didatangi ulama dari Hadramaut bagi mendapatkan ijazah kitab dan hadith dari Tuan Guru. Kata Tuan Guru, dalam tradisi ilmu Islam, sanad pengajian sangat penting. Ini bagi memastikan ilmu itu bersambungan silsilahnya sehinggalah ke Nabi Muhammad saw. Kuliah berhenti rehat pada jam 9.30 pagi. Jemaah mengambil kesempatan bersalam dengannya. Saya juga begitu, bersalam dan mencium tangan Tuan Guru. Tuan Guru berjalan pulang kerumahnya. Disepanjang perjalanan kerumahnya, ada jemaah datang menghampirinya dan bersalam serta mencium tangannya. Di waktu rehat saya berjalan-jalan di luar madrasah melihat barangan yang dijual. Tepat jam 10.00 pagi, masing-masing mengambil tempat kerana kuliah akan disambung. al-Fadhil Ustaz Muslim mengambil tempat lalu mensyarahkan kitab Bahrul Mazi Jilid 2 yang dikarang oleh ulama terkenal Alam Melayu, Syeikh Idris al-Marbawi. Ustaz Muslim adalah anak kepada Tuan Guru. Lebih kurang 30-40 minit, kuliah tamat. Saya kembali dengan perasaan puas yang amat sangat. Insyallah saya akan hadir lagi kesini. Azam saya ialah kalau boleh sebulan sekali saya ingin hadir kesini.



Rumah Tuan Guru Haji Salleh Haji Musa, dalam kompleks Pondok dan Madrasah al-Rahmaniah

Para jemaah yang hadir, berjalan-jalan melihat barang-barang yang dijual

Bermacam-macam barangan dijual. Kelihatan didalam gambar pondok yang didiami pelajar (lihat rumah warna putih dibelakang)

Laluan dari tempat parkir kereta menuju ke Madrasah. Kubah madrasah boleh dilihat dengan jelas dari lokasi parkir kereta. Ramai yang hadir termasuk kanak-kanak.

Inilah balai pengajian utama, Madrasah al-Rahmaniah. Letaknya bertentangan dengan rumah Tuan Guru Haji Salleh

Ramai jemaah mengambil kesempatan menjamu selera, melihat barangan yang dijual dan membeli kitab-kitab

Tuan Guru Haji Salleh ketika mensyarah kitab. Saya tidak akan melupakan saat ini yang sangat berharga dan bermakna buat diri saya.

Para jemaah yang hadir



Carta organisasi Madrasah al-Rahmaniah. Tuan Guru Haji Salleh bertindak sebagai penasihat manakala anaknya Syeikh Muslim sebagai pengerusi.


Saya mengambil kesempatan meninjau-ninjau tapak jualan ketika waktu rehat

Kuliah Syeikh Muslim bermula. Syeikh Muslim mensyarah kitab Bahrul Mazi

Antara para jemaah yang hadir

Lautan para jemaah yang hadir menimba ilmu dengan Tuan Guru dan anakandanya

Tempat parkir kereta. Jam hampir pukul 11 pagi tetapi cuaca sangat terik hari itu

No comments:

Post a Comment