Saya mengambil kesempatan baki cuti sekolah yang tinggal lebih kurang seminggu untuk pulang ke kampung. Kami sekeluarga bertolak dari Puchong pada pukul lapan pagi dan sampai di Taiping kira-kira tiga jam berikutnya. Memandangkan waktu agak suntuk, sebaik menunaikan solat zohor, saya dan adinda saya iaitu Khairul Azri dan Muhammad Khairul Imran bergegas ke Kuala Kangsar, bandar diraja yang menyimpan pelbagai khazanah warisan dan sejarah yang mempunyai hubungkait yang sangat erat dengan diri saya. Destinasi pertama kami ialah ke rumah Tok Wan di Karai. Tujuannya ialah untuk memulangkan kitab lama yang telah saya pinjam darinya kira-kira hampir lapan bulan yang lepas. Dan itulah kali terakhir saya balik ke kampung disebabkan terikat dengan beberapa komitmen yang tidak memungkinkan saya untuk pulang ke kampung (Rujuk artikel lama saya di
sini) . Kami sampai di rumah Tok Wan kira-kira jam 2.30 petang. Tok Wan menyambut kami dengan mesra. Saya memulangkan kitab kepunyaan beliau dan menghadiahkan satu salinan buku tentang Salasilah Syeikh Muhammad Arsyad Banjari yang telah ditulis oleh Abu Daudi dari Martapura. Tok Wan sangat gembira dengan hadiah yang saya berikan. Manakan tidak, beliau sendiri mempunyai susur galur keturunan dari Syeikh Muhammad Arsyad Banjari malah sangat berminat mengkaji tentang salasilah ahli keluarganya. Hubungan saya dengan Tok Wan ialah dari sebelah ibu saya, beliau berpangkat sepupu (pupu jauh) tetapi disebelah bapa saya, beliau berpangkat bapa saudara. Lebih kurang 30-45 minit kami bersembang, saya meminta kebenaran untuk mengundur diri kerana ada beberapa tempat lain yang perlu kami kunjungi. Kami ke Kuala Kangsar. Objektif saya ialah untuk ke Kedai Buku Taj. Kedai ini ada dua cawangan tetapi yang saya nak kunjungi ialah cawangannya di Jalan Dato Maharajalela. Kedai ini menjual kitab-kitab lama. Saya membeli beberapa kitab lama dan juga buku klasik yang mungkin sudah tidak lagi dijual di pasaran. Kedai ini agak tersorok sedikit malah mungkin tidak perasan ianya sebuah kedai buku kerana pelbagai barangan lain turut dijual sama. Ia terletak betul-betul ditengah-tengah deretan kedai di Jalan Dato Maharajalela. Tentang nama jalan ini, saya tidak pasti ia ditujukan kepada siapa. Samada Dato Maharajalela yang pertama iaitu Daeng Selili atau cucu-cicitnya seperti Zainal Abidin, Maulud atau Pandak Lam. Hakikatnya, kesemua penyandang gelaran Dato Maharajalela itu adalah merupakan moyang saya yakni sebelah bapa. Selesai urusan membeli kitab, kami naik ke atas Bukit Kerajaan. Hajat dihati hendak melihat bagaimana rupa Kolej Islam Darul Ridzuan. Boleh tahan juga senibina kolej ini. Jika kena pada gayanya, tidak mustahil kolej ini mampu mengembalikan kecemerlangan bandar Kuala Kangsar sebagai pusat ilmu yang sangat terkenal pada masa dahulu khususnya pada awal tahun 1900-an. Maksud kena pada gaya ialah kolej ini perlulah memperbanyakkan aktiviti keilmuan seperti seminar, kolokium, memanggil tokoh-tokoh atau alim-ulama terkenal agar Kuala Kangsar kembali hidup menjadi bandar ilmu. Masyarakat setempat kemudiannya boleh mengambil manfaat dari pengembangan dan penyebaran ilmu yang dianjurkan oleh kolej ini. Amat besar kesannya kepada masyarakat jika kolej berjaya memainkan peranan sebagai pusat pengembangan dan penyebaran ilmu. Ilmu yang benar apabila disalurkan kepada masyarakat akan melahirkan masyarakat yang bertamadun dan beradab. Sebenarnya apa yang disebut sebagai masyarakat yang bertamadun dan beradab ialah masyarakat yang mempunyai darjah adab yang tinggi kepada Tuhan, makhluk dalam alam bukannya berdasarkan kepada kehebatan dan kekayaan harta benda atau bangunan tinggi atau jalan-lebuhraya yang bersimpang siur. Selepas melihat senibina kolej, kami singgah sebentar di rumah bapa saudara, Abdul Rahim yang terletak tidak jauh dari kolej. Beliau adalah adik kepada bapa saya. Selepas itu kami menunaikan solat asar di Masjid Ubudiah. Agak canggung juga saya berada disitu kerana ramai sungguh pengantin mengambil gambar. Tidak kurang juga yang mengambil gambar di sekitar istana, malah di lubuk mat anjing (betul ke nama tempat ni?) yang terletak berdekatan dengan taman kanak-kanak di tebing sungai Perak) pun ada yang mengambil gambar. Selepas menunaikan solat asar, kami ke makam moyang di Padang Changkat. Adik-adik saya, Khairul Azri dan Muhammad Khairul Imran belum pernah sampai kesini. Kami menghadiahkan al-Fatihah kepada moyang, Daeng Selili. Saya juga sebenarnya sedang berkira-kira untuk menziarahi makam moyang-moyang saya yang lain iaitu Syed Hussein al-Faradz juga sebelah bapa saya dan makam Tun Sab'an sebelah ibu saya tetapi saya sendiri pun tak pasti bila saya berpeluang untuk berbuat demikian. Mungkin cuti sekolah yang akan datang kot. Lebih kurang jam 6.00 petang, kami pulang semula ke Taiping. Disebelah malamnya, saya menghadiri majlis ilmu yang disyarah oleh
Ustaz Osman Noh yang diadakan di masjid berdekatan dengan rumah.
Papan tanda Jalan Dato Maharaja Lela. Saya tidak pasti Dato Maharaja Lela ini ditujukan kepada siapa. Disinilah letaknya salah satu cawangan Kedai Buku Taj yang menjual kitab-kitab lama.
Salah satu kiosk atau gerai yang menjual barangan. Kalau tak silap saya, gerai ini menjual hasil kraftangan seperti labu sayong, tikar mengkuang, tudung saji dan bermacam lagi alatan tradisional. Lokasinya ialah ditebing Sungai Kangsar.
Pintu gerbang Kolej Islam Darul Ridzuan yang terletak di Bukit Chandan. First time saya berkunjung ke sini.
Menara masjid Kolej Islam Darul Ridzuan. Pada pandangan saya, ada ciri-ciri senibina Moroko (agaknya la kot)
Pemandangan masjid dari bahagian bawah jalan
Pemandangan masjid dari luar pekarangan Kolej Islam Darul Ridzuan
Pemandangan kampus kolej dari luar pekarangan kolej
Madrasah Idrisiah yang melahirkan ramai alim-ulama yang bertebaran di seluruh tanahair.
Madrasah Idrisiah ini kalau tak silap saya memulakan sesi pertama pada tahun 1922.
Masjid Ubudiah, salah satu masjid terindah di Malaysia
Kompleks pemakaman diraja yang terletak bersebelahan dengan Masjid Ubudiah dalam satu kawasan perkuburan yang agak luas. Datuk sebelah bapa dan ibu saya di semadikan dikawasan ini.
Ramai sungguh pengantin mengambil gambar di hampir segenap penjuru kawasan masjid pada hari itu.
Makam Daeng Selili yang terletak di Padang Changkat.
Makam kerabat atau saudara-mara Daeng Selili yang berdekatan
Satu lagi sisi Makam Daeng Selili, tokoh penting yang mempunyai pengaruh yang besar dalam pentadbiran negeri Perak abad ke-18 tidak lama dahulu
Pernah ziarah makam ini semasa bertandang ke rumah pandai besi pakcik matlazin di kg. padang changkat setahun yang lalu. Alhamdulillah makam dijaga dengan baik.
ReplyDeletewww.jejakwaris.com