Monday, August 24, 2009

Bermulanya puasa, ijazah hadith al-Fatihah

Hari ini bermulalah 1 Ramadhan. Cuaca sejuk dan nyaman sahaja di sebelah pagi. Saya ke Taman TAR untuk menghadiri majlis ilmu Syeikh Fuad. Ikut jadual, pengajian tafsir surah al-Fatihah bermula pada hari ini tetapi kata Syeikh, kitab tersebut tak sempat untuk dicetak. Insyallah dalam pengajian minggu seterusnya, kitab tersebut akan digunakan. Jadi sebagai ganti, Syeikh memulakan mukadimah pengajian dengan sedikit tazkirah sempena masuknya bulan Ramadhan. Kata Syeikh, bulan Ramadhan tidak seharusnya menjadikan kita pasif. Sepatutya dalam bulan Ramadhan ini, otak kita kena lagi geliga. Banyak peristiwa penting yang berlaku dalam kalendar Islam berlaku dalam bulan Ramadhan. Selanjutnya, Syeikh mengijazahkan hadith musalsal surah al-Fatihah. Seperti yang beliau sebut dalam majlis-majlis sebelum ini, pengijazahan hadith ini sangat penting dan sangat istimewa. Ini adalah kerana ia meneruskan kesinambungan tradisi pengajian ilmu-ilmu Islam sejak dari zaman ulama khalaf iaitu ulama pada masa ini sehinggalah ke ulama salaf dan seterusnya sampai kepada junjungan baginda Rasulullah saw. Dengan bersambungnya sanad bererti ilmu yang sampai kepada kita adalah ilmu yang paling diyakini kerana adanya hubungan dengan baginda Rasulullah saw. Kata Syeikh, para ulama benar-benar menikmati tradisi ini terutamanya apabila berjaya menyempurnakan maksud hadith. Kata Syeikh, kami pada hari ini amat beruntung kerana tidak perlu bersusah-payah sepertinya yang terpaksa bermusafir seorang diri untuk meriwayat hadith ke serata negara khususnya di Tanah Arab. Kata Syeikh lagi, bukan beliau sahaja bahkan memang menjadi tradisi ulama-ulama dari dahulu lagi dimana mereka sanggup bersusah-payah walau hanya untuk meriwayat sepotong hadith. Apa yang penting kata Syeikh ialah untuk memastikan hadith itu disampaikan kepada yang lain kerana hanya dengan itu barulah maksud hadith tercapai. Oleh itu kata Syeikh, hargailah jasa-jasa ulama ini kerana tanpa adanya rantaian sanad ini maka umat Islam tidak akan mengecapi nikmat seperti apa yang ada pada masa ini. Terputusnya rantaian sanad bererti lenyaplah keberkatan ilmu lalu ilmu yang sampai kepada kita bukanlah ilmu yang paling diyakini. Silalah rujuk pada catatan bebas saya disini. Majlis berakhir lebih kurang sejam kemudian.


Masjid Taman TAR Ampang dari pintu masuk sebelah kiri masjid



Hadith musalsal surah al-Fatihah yang diijazah oleh Syeikh pada hari itu



Sambungan hadith musalsal yang diijazah oleh Syeikh (lengkap dengan sanad dan matannya)

No comments:

Post a Comment