Saya ke Bangi lebih kurang dalam pukul 12.30 tengah hari. Disebelah paginya, saya sibuk menguruskan pelajar KAFA dan tadika. Tujuan saya ke Bangi ialah untuk ke UKM. Hajat hendak berjumpa Ustaz Wan Nasyrudin (Dr.). Hajat yang dah lama tertangguh. Kali pertama saya nak jumpa tak jadi sebab ada urusan lain. Harap-harap kali ni jadi. Cuaca sangat panas. Setelah parker berdekatan dengan DECTAR (dewan besar UKM), saya pun berjalan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Khutbah bertenaga yang disampaikan oleh Ustaz Farhan menyegarkan saya bahkan mungkin keseluruhan jemaah yang lain. Selesai solat, saya ke kafetaria yang terletak bertentangan dengan kedai Penerbit UKM. Lebih kurang pukul 2.30 petang, saya bergerak menuju ke bilik Ustaz Wan di Fakulti Pengajian Islam. Fakulti ini bersebelahan dengan blok kafetaria, tempat saya makan tadi. Biliknya terletak separas dengan Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah. Saya ketuk pintu biliknya dan beri salam tetapi tidak berjawab. Rupanya Ustaz Wan berada dalam bilik rehat tidak jauh dari biliknya bersama rakan-rakan pensyarah yang lain. Ah, lega saya. Tercapai juga hajat hendak berjumpa beliau. Sebenarnya tujuan saya berjumpa dengannya ialah kerana hendak membeli buku yang ditulis olehnya yang berkenaan Tafsir Tarjuman al-Mustafid hasil karya ulama besar Aceh abad ke-17 iaitu Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fansuri. Saya menyampaikan hajat saya kepadanya. Saya memaklumkan kepada Ustaz Wan bahawa telah menjadi minat saya mengumpul apa sahaja dokumentasi yang berkaitan dengan ulama-ulama Alam Melayu termasuk Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fansuri ini. Sebaik mendengar kata saya, langsung Ustaz mengambil tesis PhDnya lalu diberikan kepada saya. Tesisnya adalah tentang kajian teks Tarjuman al-Mustafid setebal 600 mukasurat lebih. Beliau menyiapkan tesis tersebut dalam tahun 2007 di Universiti Malaya. Saya membelek-belek tesis beliau. Sambil itu, beliau bercerita tentang tesisnya. Katanya, rumusan yang dibuat olehnya tidaklah banyak berbeza dari rumusan sarjana lain seperti Peter Riddell dan Salman Harun yang juga mengkaji teks tersebut. Cuma dari segi metodologi, Ustaz Wan telah melihat dan mengupas kesemua 30 juzuk yang ada dalam tafsir tersebut bukannya sebahagian atau satu-dua juzuk sahaja. Itulah salah satu sebab mengapa tesisnya melangkau sehingga 600 mukasurat. Jadi menurut Ustaz Wan, tafsir ini adalah merupakan terjemahan kepada tafsir Jalalain bukannya terjemahan kepad tafsir Baidhawi. Beliau berminat membuat kajian tentang tafsir ini kerana salah satu sebabnya ialah kitab ini telah dipelajarinya semenjak dari kecil lagi. Setelah itu, saya bertanya pula tentang buku yang ditulisnya itu. Kata Ustaz Wan, buku yang diterbit oleh fakulti itu hanya mengambil dua bab sahaja dari tesisnya yang tebal itu. Apabila melihat tesisnya yang tebal itu, minat saya beralih kepada tesisnya pula. Saya bertanya Ustaz Wan, takde plan ke nak terbitkan tesis ni. Jawab Ustaz Wan, memang ada dan masih dalam perbincangan. Tak sabar rasanya menantikan kemunculan buku lengkap Ustaz Wan ini. Selain tentang tesis, ada jugalah diselit tentang perkara-perkara lain seperti bab hadith, tokoh hadith dan sebagainya kerana Ustaz Wan juga ahli dalam bidang hadith. Sebelum pulang, saya membeli beberapa buku dari Ustaz Wan termasuklah buku Tarjuman al-Mustafid yang merupakan ringkasan dua bab dari tesisnya yang tebal itu.
Buku ini dihadiah oleh Ustaz Dr. Wan kepada saya. Kata Ustaz Wan, Ustaz Asmadi sedang menyelesaikan tesis PhD tentang Maulana Zakaria al-Kandahlawi dibawah seliaan Prof Dr Fauzi Deraman di Universiti Malaya. Tak sabar rasanya nak tengok hasil kajian Ustaz Asmadi.
Asalnya buku inilah yang saya cari tetapi setelah melihat tesis Ustaz Wan, terus mengidam tesis tersebut. tak sabar nak melihat tesis tersebut dibukukan dengan lengkap.
Beberapa artikel tentang isu-isu masalah tafsir dan qiraat yang disunting oleh Ustaz Asmadi dan Ustaz Wan
Beberapa artikel tentang isu permasalahan hadith dan al-kutub al-Sittah yang disunting oleh Ustaz Asmadi dan Ustaz Wan.
No comments:
Post a Comment