Ini adalah kali kedua saya ke Desa Vista untuk mengikuti majlis ilmu Syeikh Fahmi ZamZam. Kali pertama ialah pada 1 Ogos yang lepas. Pada ketika itu, majlis ilmu diadakan di surau baru tetapi kali ini majlis ilmu yang menggunakan kitab yang sama iaitu Kiamat Hampir Tiba yang dikarang oleh Syeikh sendiri diadakan di perkarangan rumah tidak jauh dari surau lama Desa Vista. Tak pasti pula kenapa ia diadakan di perkarangan rumah, agaknya surau baru itu sedang dalam pembinaan dibahagian dalamnya kut. Apapun tuan rumah telah berusaha memastikan majlis ilmu berjalan dengan lancar. Kanopi yang didirikan di perkarangan rumah itu tidak hanya dilengkapi dengan kipas tetapi juga air-cond. Kalau tak silap saya ada dua unit air-cond disediakan. Tetapi pada hari tersebut, air-cond tidak berfungsi dengan baik lalu sisi kanopi dibuka bagi membolehkan angin dari luar masuk kedalam. Sambutan sangat menggalakkan. Syeikh Fahmi mengkhatamkan kitab Kiamat Hampir Tiba pada sesi pertama yakni sebelum majlis berehat seketika. Dalam sesi kedua, Syeikh membahas tentang bab puasa yang dirujuk dari Kitab Sairus Salikin. Majlis selesai lebih kurang jam 1.00 tengahari. Sebelum balik, sempat juga saya mengalas perut dengan jamuan yang disediakan dalam majlis tersebut.
Kanopi yang didirikan diperkarangan rumah, tempat dimana berlangsung majlis ilmu Syeikh Fahmi. Syeikh mensyarahkan kitab Kiamat Hamir Tiba. Kitab selesai dikhatam pada sesi pertama dan disambung dengan syarah khas tentang bab puasa dengan merujuk kitab Sairus Salikin pada sesi kedua
Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam, salah seorang ulama Alam Melayu yang sangat gigih mengembangkan ilmu-ilmu Islam pada masa ini. Selain menyampaikan syarahan, Syeikh juga turut menghasilkan beberapa karya dimana banyak karyanya telah dijadikan teks pengajian.
Ini adalah kitab berjudul Bekal Akhirat yang disusun oleh Syeikh. Di kesempatan yang ada dalam waktu rehat sebelum sesi kedua bermula, saya memohon perkenan Syeikh untuk mengijazahkan kitab ini kepada saya, Alhamdulillah Syeikh memperkenan hajat saya.
No comments:
Post a Comment