Sunday, March 7, 2010

Sambutan Maulidur Rasul al-Jenderami 1431 H

Seperti deja-vu. Kata Ramadhan, "Seperti baru semalam sahaja menghadiri majlis ini". Memang betul masa begitu pantas berlalu. Saya menghadiri majlis yang sama tahun lepas dengan Ramadhan dan seorang lagi sahabat bernama Firdaus. Kali ini kami datang berasingan tetapi bertemu di majlis ini. Saya hadir bersama keluarga manakala Ramadhan datang dengan dua orang sahabatnya yang lain. Ketika saya sampai bersama keluarga, kedengaran dari corong pembesar kompleks, Habib Umar Abdul Aziz Ash-Shihab sedang menyampaikan tausyiahnya. Kami sampai lebih kurang jam 6.30 petang. Hujan turun dengan lebatnya sebaik kami sampai ke kawasan kompleks. Dari tempat letak kereta, kami berjalan lebih kurang 500 meter menuju ke kompleks. Sebaik masuk ke perkarangan kompleks, hujan semakin reda. Jam menunjukkan pukul 7.15 malam. Jemaah sudah mula memenuhi perkarangan kompleks. Ada yang mengambil wudhuk dan ada juga yang mundar-mandir di kawasan sekeliling samada masuk ke kawasan pameran jualan atau mencari tempat di baris hadapan untuk bersiap menunaikan solat maghrib. Saya masuk sekejap ke ruang pameran sementara menantikan azan maghrib. Kelihatan di kawasan perkarangan, petugas sedang berusaha mengelap air hujan yang membasahi lantai kompleks sebelum azan berkumandang. Sebaik azan bergema, saya segera mengambil posisi. Posisi saya pada tahun ini lebih kurang sama sahaja dengan posisi tahun lepas. Apatah lagi bila terpandangkan pada skrin projektor serta bilangan jemaah yang hadir mengingatkan saya pada sambutan di tahun sebelumnya. Itulah yang saya katakan tadi, seperti deja-vu. Cuma kali ini, selepas solat saya terus bergerak mencari tempat di kawasan astaka. Agak cerah sikit disitu dan skrin projektornya juga lebih jelas. Berbeza dengan tahun lepas, dimana saya duduk berdekatan dengan bistro atau kafe kompleks. Selepas solat, tausyiah pertama disampaikan oleh Syeikh Afeefuddin al-Gaylani. Ini diikuti dengan maulid Simtud Durrar yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Mohd Hafiz Selamat. Ketika bacaan Mahallul Qiyam, saya dan Ramadhan bergegas masuk ke dewan solat utama masjid. Mengalunkan salawat dan marhaban bersama-sama dengan para habaib dan ulama adalah satu perkara yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Justeru saya mencari posisi yang paling hampir dengan mereka. Alhamdulillah, dapat posisi dekat dengan pentas utama. Ibubapa yang membawa bayi mereka mengambil keberkatan para habaib dan ulama yang berada dalam majlis untuk mentahnik bayi-bayi mereka ketika salawat dan marhaban dikumandangkan. Selesai maulid, majlis disambung kembali dengan acara tausyiah. Tuan Guru Kiyai Haji Ahmad Jamhuri Jaharis mengambil tempat di pentas syarahan. Beliau mengalunkan qasidah puji-pujian ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw yang dikarangnya sendiri. Tausyiah turut disampaikan oleh Kiyai Haji Amir Hamzah, Habib Dato' Sayyid Omar al-'Aidarus dan Habib Najib Thoha as-Seggaf. Majlis selesai sekitar jam 10.15 malam. Jemaah dijamu dengan makan berdulang, sama seperti tahun sebelumnya. Sambil menikmati hidangan, jemaah turut dijamu dengan qasidah-qasidah yang sungguh mendamaikan jiwa. Sebelum pulang, saya membeli dua buah kitab yang dikarang oleh Tuan Guru Kiyai Haji Jamhuri Jaharis.



Hujan agak lebat ketika kami sampai di kawasan kompleks

Astaka sebelum solat maghrib


Pemandangan sekitar masjid

Gambar Kenangan Madrasah al-Jenderami diawal penubuhannya pada tahun 1985


Jemaah mengambil posisi untuk menunaikan solat maghrib

Para jemaah yang duduk di kawasan dataran mendengar tausyiah yang disampaikan oleh para habaib dan ulama


Para habaib dan ulama mentahnik bayi

Habib Najib sedang mentahnik bayi

Selesai majlis tahnik


Barisan habaib, ulama dan tetamu kehormat

Para habaib dan ulama dari Indonesia dan Patani turut sama-sama hadir memeriahkan majlis sambutan pada malam itu

Antara jemaah yang hadir yang berada didalam dewan solat utama masjid

Tuan Guru Kiyai Haji Ahmad Jamhuri sedang menyampaikan qasidah yang dikarangnya sendiri

Kiyai Haji Amir Hamzah dari Darul Islah Jakarta sedang menyampaikan tausyiahnya


Habib Dato Sayyid Omar sedang memberikan tausyiahnya


Habib Najib menutup sesi tausyiah pada malam itu

Para jemaah menikmati hidangan makan berdulang

Kitab karangan Tuan Guru Kiyai Haji Ahmad Jamhuri

Satu lagi kitab karangan Tuan Guru Kiyai Haji Ahmad Jamhuri yang saya beli malam itu


Qasidah yang disampaikan oleh Tuan Guru Kiyai Haji Ahmad Jamhuri pada malam itu
Sambungan qasidah

No comments:

Post a Comment