Ahad lepas saya ke Rembau bersama isteri menghadiri majlis ilmu Tuan Guru Prof Muhibuddin Waly. Majlis ilmu ini adalah lanjutan kepada sambutan Maulidur Rasul dan Hari Hol almarhum Tuan Guru Ibrahim Mohd Dahan yang diadakan pada hari sebelumnya. Kami bertolak dari Puchong lebih kurang jam 7.45 pagi. Ikut aturcara, majlis bermula sekitar jam 9.00 pagi. Jalan agak lengang, maklumlah hari minggu. Kami sampai di susur keluar Pedas 40 minit kemudian. Dari susur Pedas, kami mengambil jalan menghala ke Tampin. Tempat yang hendak kami tujui hanya beberapa km sahaja dari bandar Rembau. Dalam perjalanan menuju ke lokasi, kami melewati seorang lelaki separuh umur yang menunggang motosikal menghala ke arah yang sama. Berkemungkinan besar dia juga menuju ke lokasi yang sama seperti kami. Kami sampai di lokasi lebih kurang jam 9 pagi. Kelihatan majlis belum lagi bermula. Lokasi yang dimaksudkan ialah Madrasah Islamiah Tuan Guru Haji Ibrahim. Kelihatan beberapa kereta berbaris di tempat parkir. Ada juga beberapa kereta memenuhi rumah almarhum Tuan Guru, rasanya ahli keluarga almarhum Tuan Guru. Saya dan isteri berjalan menuju ke madrasah. “Semalam hujan lebat, selebat-lebatnya”, beritahu seorang jemaah yang hadir apabila saya bertanyakan tentang majlis sambutan Maulidur Rasul semalam. Ketika melangkah masuk kedalam perkarangan madrasah, saya terasa hendak ke tandas. “Tuan pergi ke sebelah belakang, tandas ada disitu”, beritahu seorang lelaki separuh umur dengan mesra. Saya segera ke belakang. Setelah mengambil wuduk saya masuk kembali ke dewan utama madrasah. Saya duduk disebelah lelaki yang memberitahu saya lokasi tandas tadi. Apabila saya mengamati kembali lelaki itu, barulah saya perasan bahawa dialah lelaki separuh umur yang menunggang motosikal ketika kami sedang dalam perjalanan tadi. “Pernah pergi IPB?” tanya lelaki itu kepada saya setelah mengambil posisi bersebelahan dengan dirinya. “Belum lagi, haji”, balas saya. “Saya ke IPB tahun 1984”, kata lelaki tua itu lagi. Macam cerita menarik ni, kata saya dalam hati. “Masa tu, belum lagi ada syarat nak ke IPB, maksud saya macam sekarang ni kalau nak ke IPB mesti dah pernah keluar 40 hari kemudian baru boleh pergi sana,” kata lelaki itu lagi. Saya mendengar dengan penuh minat. “Masa tu markas masih lagi di Masjid India. Saya sampai India tahun 1984 bersama-sama beberapa jemaah Malaysia dan Singapura. Ada seorang jemaah Singapura namanya Ashraf, pandai berbahasa Urdu. Dialah yang banyak tolong kami translate Urdu ke Melayu. Kami sampai Delhi. Cuaca sangat panas. Bayang-bayang air (fatamorgana) kelihatan di lapangan terbang Delhi padahal bukan ada air pun. Kami diarah ke selatan India, kalau tak silap saya di Bangalore. Tidak berapa lama kami disana, masuk bulan Ramadhan. Buka puasa cukup mewah. Ketika waktu berbuka, jemaah dijamu kurma dan buah-buahan. Disebelah malam kami dijemput ke rumah jemaah tempatan dan dijamu pula nasi beriani. Mula-mula saya tak boleh masuk dengan nasi beriani ni. Terus lembik”. “Kenapa pula haji?” tanya saya. “Perut saya tak tahan. Sampai satu masa saya disuruh berehat kerana cirit-birit. Ada juga doktor tempatan datang merawat saya. Doktor rileks sahaja datang dengan vespanya. Sehinggalah akhirnya kami jemaah dari Malaysia semakin kurang menjamah nasi beriani. Ada seorang professor tempatan yang sentiasa melihat gelagat kami berasa hairan kerana kami tidak makan nasi beriani seperti lazimnya. Lalu professor itu bertanya saya, “Umar, kenapa kamu tidak menjamah nasi beriani?” Lalu saya menjawab dengan cara berlapik, kami bukan tak mahu makan cuma kami lebih gemar makan ikan. Walhal sebenarnya perut kami dah tak tahan makan nasi beriani tiap-tiap hari. Esoknya, jemaah tempatan menjamu kami nasi biasa dengan lauk ikan yang banyak. Allah, jenuh pula nak habiskannya”, cerita lelaki separuh umur itu. Baru saya tahu nama lelaki itu, Umar (kalau saya tak silap dengar). “Haji pergi tak ke Bangladesh?” tanya saya. “Tak pergi. Tapi saya pergi masa Ijtimak Tongi”, kata Haji Umar. Apa yang saya boleh rumuskan dari kisah yang disampaikan oleh Haji Umar ialah betapa mujahadah sentiasa berada didalam diri apabila berada di IPB. Tidak lama selepas itu, Tuan Guru Prof Dr Muhibuddin Waly pun datang. Jemaah bersalaman dan mengucup tangannya. Saya hanya sempat berada dalam majlis ilmu Tuan Guru pada sesi pertama sahaja. Pada ketika itu Tuan Guru mensyarah kitab Syarah Waraqat. Selepas itu, saya terpaksa pulang kerana isteri saya mengadu sakit tangan. Isteri saya sakit tangan sejak dari hari sebelumnya. Esoknya saya bawa isteri ke klinik. Dapat mc 2 hari dan doktor menyuntik ubat tahan sakit. Sebelum balik, saya sempat bertanya Ustaz Khairuddin yang merupakan mudir madrasah samada Tuan Guru Prof Dr Muhibuddin Waly akan datang mengadakan majlis ilmu lagi atau tidak. Ustaz Khairuddin kata memang itulah harapannya tapi tengoklah nanti perancangan akan datang.
Rehat sebelum sesi 2 disambung semula. Saya terpaksa mengundur diri kerana isteri saya mengadu sakit tangan
Buku biografi almarhum Tuan Guru Haji Ibrahim yang dilancar sempena Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Hol almarhum Tuan Guru Haji Ibrahim. Buku ini disusun oleh salah seorang anaknya
Buku biografi almarhum Tuan Guru Haji Ibrahim yang dilancar sempena Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Hol almarhum Tuan Guru Haji Ibrahim. Buku ini disusun oleh salah seorang anaknya
Menikmati cendol dan pasembor di Bangi dalam perjalanan pulang ke rumah
No comments:
Post a Comment