"Adik, Kampung Brohol kat mana?" Tanya saya kepada penjaga kaunter stesen minyak Petronas yang terletak tidak jauh dari simpang masuk ke Kampung Raja. "Kalau abang nak pergi ke Kampung Brohol, abang kena ikut jalan Kampung Raja, kemudian tegak je sampai jumpa simpang ke Kampung Brohol, ada lebih kurang 15 minit kut nak sampai situ", beritahu si penjaga kaunter. "Ok, terima kasih." Nas beli paper dan keropok. "Bila mengunyah boleh hilang ngantuk bang", beritahu Nas sebab-musabab dia membeli keropok. Kami masuk kembali ke Kampung Raja. Untuk sampai ke Kampung Brohol, ada beberapa kampung lain yang perlu kami lalui termasuklah kampung Olak Sepam yang mempunyai beberapa binaan menarik yang telah diwartakan sebagai khazanah sejarah negara. Dari Kampung Raja, perjalanan ke Kampung Brohol tidaklah begitu jauh. Ada lebih kurang 5 hingga 10 minit sahaja. Pemandangan kampung biasa sahaja sehinggalah kami masuk ke simpang Kampung Brohol, apabila pemandangan ditebing-tebing sungai menjadi sangat indah. Air sungai begitu jernih. Warnanya hijau mengingatkan saya warna air laut di Pulau Langkawi. Saya berhajat hendak menziarahi kampung ini setelah membaca buku Kejatuhan Kota Pagoh. Di Kampung Brohol, terdapat satu maqam yang menggunakan batu nisan Aceh. Pemiliknya adalah seorang tokoh penting yang terlibat dengan perjuangan menentang penjajah Portugis kira-kira 500 tahun yang lalu. Beliau adalah Panglima Mat Berani. Maqam beliau terletak beberapa ratus meter sahaja dari batu peringatan Pagoh sebagai kota bersejarah. Batu peringatan ini telah dirasmikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin pada tahun 1988 (sempena 500 tahun ulangtahun Kota Pagoh). Tan Sri Muhyuddin pada ketika itu adalah Menteri Besar Johor. Selesai menziarahi maqam Panglima Mat Berani, kami ke gerai makan yang berdekatan. Hajat hendak mengalas perut. Ada bubur lambuk. Nampak menyelerakan, terus Nas order. Saya pun sama. "Kalau le bubur lambuk ni panas-panas mesti sedap", beritahu Nas pada saya sambil baca paper. Saya mengangguk. Bubur lambuk terasa sejuk. Nasib baiklah pemandangan sungai hari itu cukup indah. Gerai makan yang kami singgah betul-betul terletak di tebing sungai. "Jernih betul air sungai sini bang", sapa saya kepada seorang lelaki yang duduk bersebelahan kami. Dia memakai baju kemeja Petronas, rasa saya dia seorang staf di stesen minyak berdekatan. "Selalunya air sungai keruh je, mungkin sebab hujan malam tadi. Bila hujan, asid banyak dalam air, sebab tu air sungai jadi jernih", lelaki itu berteori. "Selalunya diorang mancing udang tapi sebab air jernih, harini diorang mancing ikan", beritahu seorang akak yang turut berada di gerai itu. Memang ramai penduduk setempat yang turun ke sungai hari itu. Tidak kira tua atau muda masing-masing membawa batang joran sendiri. Ada juga yang menaiki bot dan sampan untuk pergi ke tengah sungai, mungkin mencari lubuk ikan. Tidak kurang juga yang memerhati di tebing-tebing sungai. Cuaca pada waktu itu tidak begitu panas. Angin terasa dingin apabila menyentuh kulit. Selesai makan, kami mengambil jalan keluar ikut arah Panchor. Dari Panchor kami masuk semula ke tol Pagoh menuju ke Kukup.
Pandangan maqam dari jarak dekat
Pondok waqaf di sisi maqam, ada tempat barbecue disediakan disini
Kolam ikan bersebelahan dengan maqam dan tebing sungai
Kolam ikan bersebelahan dengan maqam dan tebing sungai
Pandangan lain Sungai Muar, sangat indah
No comments:
Post a Comment