Saya jawab, Ish, taklah. Bukan itu tujuan saya. Tok Wan lalu bergegas mengambil salasilah yang ditulisnya dengan kemas. Dia menerangkan satu persatu nama-nama yang terdapat didalam salasilah itu.
Inilah Tok Wan yang bersungguh-sungguh bercerita pada kami tentang salasilah keluarga. Terpancar kegembiraan diwajahnya apabila ada orang datang mengunjunginya untuk mengetahui salasilah keluarga.
Sambil beliau bercerita, kami telah dijamu oleh isterinya, mee rebus. Sedap sungguh mee tu. Satu bonus bagi kami ialah apabila Tok Wan menunjukkan satu salasilah lama yang ditulis oleh ayahandanya. Salasilah lama itu menunjukkan kaitan keluarganya dengan Syeikh Muhammad Arsyad Banjari, pengarang kitab Sabilal Muhtadin yang sangat terkenal di Alam Melayu. Menurut Tok Wan, salasilahnya bertemu dengan Syeikh Muhammad Arsyad menerusi keturunan Lebai Chik yang juga merupakan keturunan dari Tuan Hussain Kedah. Keturunan Lebai Chik kalau tak silap saya, ramai yang bermastautin di Perak. Saya lalu membuat salinan salasilah Lebai Chik dan juga salasilah keluarga yang kebetulan dari sebelah ayah dan ibu ada mempunyai kaitan dalam salasilah tersebut. Sedar tak sedar, dah dua jam kami bersembang. Sempat juga saya melihat keadaan sekeliling rumah Tok Wan. Ada dua barang antik dirumah Tok Wan. Pertama ialah jam seperti dalam gambar dibawah dan kedua ialah congkak.
Ini pula ialah congkak lama yang dibuat dari kayu ... (saya tak ingat dah). Usianya kalau tak silap saya lebih 100 tahun. Kini cucu-cucunya yang mewarisi congkak ini untuk dibuat mainan. Kalau tak silap saya, congkak ini agak berat.
Kami kemudiannya minta diri kerana perlu kejar masa. Saya perlu hantar semula Pah Wah kerumahnya di Taiping dan kemudiannya perlu membuat salinan secepat mungkin sebelum salinan asal dikembalikan kepada Tok Wan. Pukul 1.00 petang saya sampai di Taiping. Setelah menghantar Pah Wah, kami solat zohor dimasjid Taiping. Saya dan adik saya kemudiannya bergegas mencari kedai fotostat. Selepas itu kami bertolak semula ke Karai dan menyerahkan kembali salasilah asal kepada Tok Wan. Selepas itu kami melanjutkan perjalanan ke Kota Lama Kanan. Hajat kami ialah untuk menziarahi makam saudara-mara disebelah situ. Kami sampai di Masjid Kota Lama Kanan lebih kurang pukul 4.00 petang.
Inilah gambar Masjid Kota Lama Kanan yang sangat bersejarah itu. Masjid asal dipercayai telah musnah semasa Perang Perak 1875-1876. Masjid Kota Lama Kanan kemudiannya dibina semula oleh Sultan Idris Murshidul Adzam Shah, Sultan Perak ke-28. Masjid tersebut kemudiannya dibaikpulih dan keadaannya adalah seperti dalam gambar yang tertera diatas.
Ini adalah meriam lama yang terletak diluar perkarangan masjid. Meriam ini namanya meriam Padam Pelita. Usianya pun dah beratus tahun. Banyak cerita sejarah tentang meriam ini. Khabarnya, meriam ini ada berbunyi ketika banjir besar melanda Kuala Kangsar. Khabarnya, masjid juga tidak ditenggelami air ketika banjir besar itu berlaku walaupun sekelilingnya ditenggelami air. Wallahualam
Di bahagian hadapan kiri dan kanan masjid terdapat ratusan pusara. Pusara nyang (panggilan kami kepada moyang), ayahanda nyang, nyang perempuan dan ramai juga saudara-mara saya ada di kawsan ini. Kebanyakan pusara disini adalah pusara lama malah ada diantaranya yang berusia ratusan tahun. Saya tanya pada adik saya, apa yang kamu rasa bila berada disana? Adik saya jawab, Sayu dan damai. Terasa ramai para syuhada telah dikebumikan disini. Maklumlah kawasan ini pernah menjadi medan pertempuran Perang Perak 1875-76 satu masa dahulu.
Rumah nyang saya dahulunya adalah berhampiran dengan masjid ini. Rumah tersebut sudah tidak ada dan tanahnya kalau tak silap saya telah pun diwakafkan untuk kegunaan masjid. Ketika saya kecil, saya selalu datang kesini. Nyang akan berikan kami susu paket tiga segi untuk dihisap. Sedap susu tu. Zaman dahulu kira-kira tahun 70-80-an, susu paket itu memang digemai oleh kanak-kanak seusia saya. Nyang seorang pakar sejarah. Kalau ada terbaca buku sejarah Perak yang ditulis oleh A Halim Nasir yang diterbitkan oleh Muzium Negara, nama Nyang ada disebutkan dalam buku itu sebagai salah seorang pakar rujuk. Kebetulan saya juga sangat meminati sejarah. Mungkin minat Nyang itu turun pula kepada saya. Nama almarhum Nyang ialah Hamam. Beliau adalah datuk kepada ayah saya. Beliau meninggal dunia pada pertengahan tahun 80-an ketika usianya melebihi 100 tahun. Bahkan ketika ditemurumah oleh almarhum A Halim Nasir pun, usianya pada ketika itu telah menjangkau 95 tahun (ada disebut didalam buku itu). Ayah kepada Nyang adalah seorang yang sangat dihormati di Kota Lama Kanan pada satu masa dahulu yang namanya tercatat dalam buku sejarah Perak yang ditulis oleh A Halim Nasir. Namanya ialah Alang Ishak. Kalau tak silap saya inilah makamnya (rujuk gambar makam dibawah)
Saya rasa inilah makam Almarhum Alang Ishak, ayahanda kepada Nyang saya. saya tak sempat membaca inskripsi pada batu nisan itu untuk mengesahkannya kerana kesuntukan masa.Berdekatan dengan makam Alang Ishak ialah makam Temenggong Wan Hussain. Beliau merupakan temenggong perak yakni orang besar berempat dalam kedudukan istana pada pertengahan dan penghujung abad ke-19. Beliau sezaman dengan Alang Ishak. Makam Temenggong ini juga ada tercatat dalam buku sejarah Perak karya A Halim Nasir.
Waktu Asar pun dah makin hampir. Kami pun masuk kedalam masjid. Didalam masjid terdapat satu lagi makam bersejarah.
Makam ini (hanya satu batu sahaja) adalah makam Sultan Mansur Shah 1, Sultan Perak ke-2. Beliau dikatakan ghaib pada tahun 1577 ketika menunaikan solat Jumaat di masjid ini. Ada yang mengatakan beliau telah dilarikan oleh tentera Aceh. Wallahualam.
Batu peringatan ini telah diletakkan oleh Sultan Idris Murshidul Adzam Shah yang memerintah Perak dari tahun 1887-1916 sebagai mengenang tempat ghaib/hilangnya Sultan Mansur Shah pada tahun 1916.
Ini pula adalah inskripsi yang terdapat pada batu peringatan itu.
Assalamualaikum encik, bila encik ada masa ye, saya tengah kaji pasal salasilah saya, kalau ada masa sila hubungi saya 0135884265 saya cucu kepada sham anak kepada pandak mekah (adik beradik nyang hamam)
ReplyDelete