Sunday, December 6, 2009

Catatan Sehari Perjalanan - Bahagian 1

Hari ini saya perlu memenuhi jemputan kahwin yang letaknya kira-kira 230 km dari rumah. Sebetulnya kenduri itu diadakan di Ipoh, sepupu saya yang berkahwin (anak perempuan kepada bapa saudara saya yang merupakan abang sulung kepada bonda saya). Kami mengemas barang ala kadar sahaja. Saya tidak terfikir untuk tinggal lebih lama di Perak kerana ada urusan penting keesokan harinya. Walaubagaimanapun, kami bawa juga kelengkapan untuk bermalam mana tahu jika terlalu letih sangat mungkin kami akan menginap dimana-mana ketika dalam perjalanan. Setelah semuanya siap, kami bertolak menuju ke Ipoh. Jam ditangan menunjukkan pukul 8 pagi. Cuaca sangat baik dan agak redup. Tidak ada pula tanda-tanda hari hendak hujan. Kami mengambil laluan USJ dan terus masuk ke lebuhraya. Di tengah perjalanan kami singgah di kawasan rehat Tapah. Jam menunjukkan hampir pukul 10.30 pagi. Kawasan rehat Tapah agak ramai juga pengunjungnya. Saya pergi seorang diri ke lokasi menjual makanan sementara keluarga saya menunggu di kereta. Gerai makanan agak padat dengan pengunjung. Setiap meja pasti berpenghuni. Kebanyakan gerai sudah mula menjual lauk tengahari. Saya mencari nasi lemak. Tak nampak kelibat gerai yang menjual nasi lemak sehinggalah sampai ke gerai yang akhir. Satu-satunya gerai yang menjual nasi lemak dan menjadi tumpuan pengunjung lain yang ingin menikmati nasi lemak. Saya beli nasi lemak yang telah dibungkus siap. Saya pegang dari luar bungkusannya. Emm, masih panas. Berapa kak? Satu RM 1.50, jawab penjual ringkas. Bagi saya tiga bungkus, sambung saya sambil mengeluarkan duit dari dalam kocek baju. Dari kawasan parkir, ada satu pondok wakaf yang kosong, berdekatan dengan tempar parkir lori. Kami menikmati hidangan pagi disitu. Boleh tahan juga nasi lemaknya. Sambalnya agak pedas menyebabkan anak saya tidak dapat menghabiskan nasi tersebut. Selesai makan, kami menyambung perjalanan. Ketika hampir hendak sampai ke susur keluar Ipoh, saya mencermati setiap papan tanda yang terdapat di tepi jalan. Bimbang terlepas susur keluar kerana jika tersalah laluan, kami akan terlajak ke utara dan hanya boleh membuat u-turn di Kuala Kangsar. Alhamdulillah kami mengambil laluan yang betul. Kami sampai di Ipoh lebih kurang jam 12.00 tengah hari. Salah satu jalan yang termasuk dalam laluan ke majlis kenduri ialah Jalan Tun Abdul Razak. Jalan ini dahulunya dikenali dengan nama Jalan Maxwell. Ketika saya bersekolah di Ipoh (asrama penuh), setiap kali ayah saya mengunjungi saya diasrama pasti akan dibawanya saya ke sebuah restoran yang ada di jalan ini. masakannya agak sedap juga. Ada ala-ala hailam. Di jalan ini ada sebuah kedai buku menjual kitab agama yang sangat terkenal di Ipoh atau mungkin juga di Semenanjung Malaysia. Nama kedai tersebut ialah Pustaka Muda. Sama seperti Pustaka Darussalam yang sangat terkenal di Alor Setar, Pustaka Muda juga turut menjual dan menerbit kitab. Ketika kami sampai di Pustaka Muda, pengunjung tidaklah begitu ramai. Saya berusaha mencari kitab-kitab lama yang dijual disitu. Tiba-tiba saya terpandang pada satu bingkai gambar yang saya rasa familiar sangat dengan gambar tersebut. Saya terasa berminat untuk mendapatkan gambar itu. Saya bertanya kepada pembantu jualan, Adik, gambar ni ada jual tak? Pembantu jualan tidak pasti lalu bertanya kepada seorang wanita yang berada di kaunter bayaran. Kata beliau, Gambar ni kami tak jual. Ianya dicetak untuk ahli keluarga sahaja, tapi kalau nak saya boleh bagi. Beliau berlalu pergi dan masuk ke sebuah bilik dan tidak lama kemudian membawa keluar gambar yang saya lihat pada bingkai tadi. Gambar tersebut ialah gambar ulama terkenal Perak yang bernama Syeikh Haji Mohd Yatim al-Kholidiyyah al-Naqsyabandiah hidup pada abad ke-19 Masehi. Beliau merupakan anak murid Syeikh Abdul Wahab Rokan yang sangat terkenal dengan amalan tariqat Naqsyabandiah di Alam Melayu pada satu masa dahulu. Syeikh Abdul Wahab membuka madrasahnya di Basilam, Langkat. Syeikh Haji Mohd Yatim berguru dengan ulama besar ini selama 10 tahun. Beliau berhijrah ke Kuala Kangsar pada tahun 1910 setelah gurunya meminta beliau membantu seorang lagi anak muridnya bernama Syeikh Abbad meenguruskan madrasah suluk di Kampung Temong Kuala Kangsar. Syeikh Haji Mohd Yatim kemudiannya membuka madrasah suluk berdekatan dengan istana setelah diminta oleh Sultan Perak pada masa itu iaitu Sultan Idris Shah. Syeikh Haji Mohd Yatim kemudiannya membuka sebuah lagi madrasah suluk yang lebih besar dari sebelumnya iaitu di Kampung Belanja Kiri, Parit. Syeikh Haji Mohd Yatim meninggal dunia pada tahun 1943 dan meninggalkan ramai anak murid yang bertebaran di seluruh semenanjung. Antara ulama besar yang menjadi anak muridnya ialah Syeikh Salleh Masri asal Bukit Mertajam, Tuan Guru Fakih Daim, Tuan Mufti Haji Mohd Zin dan Tuan Guru Haji Arshad. Prof Dr Burhanuddin al-Helmy juga dikatakan pernah berguru dengan beliau.
Saya bertanya kepada wanita yang memberikan saya gambar tadi tentang hubungannya dengan tokoh tersebut. Oh, itu datuk saya. Datuk sebelah suami saya, kata beliau. Suaminya adalah pemilik Pustaka Muda. Macam mana encik tahu tentang tokoh ini? Tanya beliau kepada saya. Saya ada beli buku riwayat hidup tentang tokoh ini beberapa tahun yang lalu, balas saya. Oh ye ke? Sebetulnya kami tak menjual buku ini. Ianya dicetak untuk diagihkan kepada saudara mara saja, kata beliau dengan nada sedikit terkejut. Boleh saya tahu siapa sekarang khalifah tariqat yang dibawa oleh tokoh ini? Tanya saya kepada wanita itu. Kenapa? Encik ni pengamal tariqat Naqsyabandiah ke? Tanya wanita itu. Tidak, saya cuma hendak tahu sanad salasilahnya sahaja. Oh kalau macam tu baik encik berjumpa suami saya. Dia ada didalam tu (sambil menunjukkan sebuah bilik di bahagian belakang kedai). Tapi kalau di sekitar Perak, kalau tak silap saya, kalau nak baiah boleh pergi ke Jerlun, kata wanita itu. Oh begitu. Kalau macam tak menagapa. Lagipun saya tak boleh lama disini. Kena hadiri kenduri kahwin. Mungkin saya datang lagi kesini untuk berbual panjang dengan suami puan. Selepas membuat pembayaran untuk beberapa kitab lama yang dibeli, kami sekeluarga bergerak semula menuju ke lokasi kenduri.
Lokasi kenduri adalah lebih kurang 5 km dari Pustaka Muda. Ianya berada didalam kawasan Silibin. Landmarknya ialah Maybank Silibin. Saya perlu belok ke kanan dan akan nampak landamark seterusnya iaitu pasaraya Billion. Hanya beberapa ratus ela selepas itu ialah lokasi kenduri. Boleh nampak deretan kereta menempati setiap ruang kosong di kiri dan kanan bahu jalan. Agak panas juga cuaca pada waktu itu. Mungkin nak hujan kut, bisik hati kecil saya. Memang benar, tidak lama selepas itu, hujan turun mencurah-curah. Nasib baik kami sekeluarga sempat makan dan menunaikan solat zohor di masjid yang berdekatan. Saya bertemu dengan ayahanda dan bonda saya di lokasi kenduri. Adinda saya, Tuan Haji Khairul Rizal sampai tidak lama kemudian. Beliau terlajak susur keluar dan terpaksa buat u-turn di Kuala Kangsar. Pengantin lelaki sampai lebih kurang jam 2 petang. Hujan pada waktu itu sedang lebat. Saya dan keluarga bertanggak di rumah dua pupu yang letaknya selang dua rumah dengan rumah keluarga pengantin. Agak lama juga kami tersadai disitu menantikan hujan reda. Apabila kelihatan hujan sudah mula ‘seroyat’, kami pun keluar dari rumah dan berjumpa pengantin untuk mengucapkan tahniah dan memohon diri. Saya sempat berjumpa dengan bapa saudara yang lain untuk minta diri. Hujan nampaknya macam nak turun balik. Cepat-cepat kami bergerak menuju ke kereta. Sesampai disimpang luar taman, nampak ada sebuah KFC. Isteri saya meminta saya berhentikan kereta. Nak beli kentang putar buat bekalan untuk anak-anak saya dalam perjalanan. Ketika saya bersekolah di Ipoh kira-kira 21 tahun yang lalu, tidak ada KFC, bank dan pasaraya Billion. Yang ada hanyalah deretan kedai beberapa pasar mini. Namun setiap kali saya keluar outing dan menziarahi keluarga bapa saudara saya, saya pasti akan berkunjung ke pasar mini di kawasan ini untuk membeli kelengkapan harian. Hari ini, kawasan Silibin agak sesak. Dengan adanya bank dan pasaraya, ia menambahkan lagi kesibukan di kawasan tersebut walaupun tidaklah begitu ketara seperti di Puchong misalnya di Bandar Puteri atau Puchong Jaya (nak cari parking pun seksa).


Perjalanan menuju ke Ipoh dari Puchong. Kelihatan bukit-bukit yang telah digondol untuk perusahaan simen dan marmar

Pustaka Muda di Jalan Tuan Abdul Razak (dahulunya Jalan Maxwell)

Setentang dengan Pustaka Muda ialah Kompleks Mahkamah Syariah Perak Darul Ridzuan

Kitab-kitab jawi yang dijual di Pustaka Muda

Buku-buku yang diterbit oleh Pustaka Muda

Lagi lambakan buku yang diterbit oleh Pustaka Muda

Tuan Guru Syeikh Mohd Yatim, salah seorang mursyid tariqat Kholidiyyah Naqsyabandiyyah satu masa dahulu (abad ke-19 dan awal abad ke-20)


Masjid didalam Taman Malcop tidak jauh dari lokasi kenduri. Saya menunaikan solat zohor disini

Sebatang jalan di Taman Malcop. Deretan kedai ini adalah tempat saya membeli keperluan harian ketika saya bersekolah di Ipoh kira-kira 21 tahun yang lalu.

No comments:

Post a Comment