Sunday, December 20, 2009

Lagenda Beting Beras Basah

Penuh dengan mistik. Itulah yang boleh saya simpulkan selepas menghadiri pembentangan khas Lagenda Beting Beras Basah oleh seorang tokoh sejarah Perak, Tuan Haji Ariffin Mohd Dahlan. Selain ingin mengetahui lebih lanjut tentang tempat bersejarah ini, tujuan saya datang kesini adalah untuk meninjau salasilah tokoh samada tokoh pembentang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan saya memandangkan beliau berasal dari Perak. Kata beliau ketika memulakan sesi pembentangan, inilah saat-saat yang paling ditunggu-tunggunya setelah berusaha lebih 30 tahun bertungkus-lumus mendapatkan bahan kajian yang berkaitan dengan Beting Beras Basah selain merasai sendiri pengalaman sepanjang membuat pencarian tersebut. Mungkin berkat Maal Hijrah, maka majlis hari ini dapat berjalan dengan lancar, kata beliau dalam keadaan puas. Kata beliau lagi, hikmah disebalik mengadakan kajian itu ialah, beliau telah berjaya menemui asal-usul keturunannya disamping berhasil merungkai makna mimpi yang telah dialami oleh beliau kira-kira 30 tahun dahulu. Tuan Haji Ariffin atau lebih mesra disapa sebagai Pak Engku memulakan pembentangan dengan menceritakan sepintas lalu sejarah Beting Beras Basah. Sekali-sekala terkeluar juga telo atau loghat Perak yang agak pekat dari mulut Pak Engku. Majlis bertambah rancak apabila Pak Engku memulakan sesi penceritaan pengalamannya. Inilah part yang paling ditunggu-tunggu oleh para hadirin kerana fakta tentang Beting Beras Basah telah ramai yang tahu. Perkara yang paling mengujakan para hadirin ialah tentang keluarnya 7 bendera dari kolam pusar yang timbul dari kawasan tengah lubuk pusar. Sayangnya, peristiwa itu berlaku kira-kira 30 tahun yang lalu. Kata Pak Engku, saya takde kamera waktu itu, kalau tidak ianya tentu menjadi bukti yang paling bernilai dan bersejarah pada hari ini. Namun Pak Engku tetap membawa replika bendera tersebut siap bersama dengan daun pemulihnya sekali. Kata Pak Engku, inilah keadaan sebenar bendera yang ditemuinya berserta dengan daun pemulih sambil menunjukkan posisi bendera dan daun pemulih di belakang bendera. Pak Engku turut membawa bahan-bahan bukti yang lain ketika beliau menziarahi Beting Beras Basah. Antaranya ialah tanah yang digenggam di beting tepi dan air kolam dari lubuk pusar yang sehingga kini tidak pernah berkelodak. Tambah teruja apabila Pak Engku mula menyebut nama-nama jin yang mempunyai kaitan dengan takhta kesultanan negeri Perak. Kata beliau, jin yang mempunyai kaitan dengan takhta kerajaan Perak terdiri dari jin kerajaan dan jin Sulawesi. Pembentangan yang berlangsung sekitar dua jam lebih itu selesai sekitar jam 12.30 tengah hari. Sebelum selesai, beberapa orang hadirin mengajukan soalan kepada Pak Engku termasuklah para tetamu kehormat yang merupakan orang kuat Persatuan Sejarah Malaysia. Pak Engku juga turut menunjukkan beberapa gambar yang sangat istimewa yang telah dirakamnya sebelum ni. Dalam banyak-banyak gambar yang dipaparkannya, dua darinya mengandungi unsur yang sangat mistik. Satu gambar tersebut merakamkan sebahagian bentuk jin yang kelihatan seperti kain putih ketika beliau sedang bersiram di beting tepi manakala satu lagi gambar menunjukkan kelibat buaya putih (didalam gambar tersebut kelihatan bentuk mata dan kepala buaya tersebut) yang sedang menyelam di bawah panca persada. Apapun, pembentangan ini sangat menarik perhatian saya terutamanya dari segi penyediaan bahan yang telah dilakukan oleh Pak Engku. Bukanlah suatu tugas yang mudah untuk memadukan kajian yang berasaskan fakta dan unsur mistik namun Pak Engku telah berjaya menyempurnakannya. Dengan beberapa bahan bukti yang dibawa bersama dan gaya penceritaan yang disandarkan kepada pengalaman peribadi beliau, kajian yang beliau hasilkan ternyata satu kajian yang sangat unik dan menarik. Seperti yang disebut oleh seorang hadirin, pembentangan yang dilakukan oleh Pak Engku adalah sangat asli dan tidak dipengaruhi oleh lenggok atau gaya pensejarahan sarjana Barat. Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali selaku moderator juga memberikan komentar yang sungguh menarik. Kata beliau, peristiwa Beting Beras Basah ini sangat menarik perhatian dan perlu dikaji dengan lebih mendalam. Unsur-unsur mistik yang terkandung didalamnya tidak boleh ditolak begitu sahaja memandangkan pembentang telah mengalaminya sendiri. Semua orang boleh menyatakan bahawa beting tersebut akan timbul apabila air laut surut tetapi apa yang dilalui oleh Pak Engku bukanlah ketika waktu air laut surut. Begitu juga dengan peristiwa lubuk pusar dan kolam yang berada ditengahnya, semuanya memungkinkan usaha kajian yang pastinya membuahkan hasil yang sangat menarik. Di akhir majlis, Pak Engku telah diwawancara oleh wakil media TV9.




Surat jemputan ke majlis pembentangan


Pak Engku sedang memulakan pembentangan

Dato Haji Omar Mohd Hashim selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif memberi ucapan penutup diakhir sesi


Cenderahati dari Persatuan Sejarah Malaysia kepada Pak Engku (tidak kelihatan didalam gambar)

Replika bendera yang dibawa oleh Pak Engku mengikut susunan sebenar

Hadirin bersalaman dengan Pak Engku

Pak Engku bersama para hadirin selepas selesai majlis


Antara salasilah yang dibawa oleh Pak Engku

Pak Engku, Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali (tengah) dan hadirin yang berkongsi pandangan dengan Pak Engku

Batu/Tanah yang dikutip oleh Pak Engku di Beting Tepi

Pasir Beting Beras Basah yang dikutip oleh Pak Engku

Air Telaga Panca Persada

Air Lubuk Pusar yang sangat jernih dan tidak berkelodak

Pak Engku diwawancara oleh wakil media TV9

No comments:

Post a Comment