Monday, December 7, 2009

Catatan Sehari Perjalanan - Bahagian 3

Artikel ini adalah sambungan dari entri sebelumnya. Jam sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Kami bergerak menuju ke Teluk Intan. Hajat dihati ialah hendak melihat bandar Teluk Intan yang tidak kurang hebatnya dengan kesan sejarah. Jarak dari Pasir Salak menuju ke Teluk Intan adalah sekitar 40 km. Dalam perjalanan, seingat saya ada sebuah sekolah (rasanya sekolah menengah) yang memakai nama Dato Maharaja Lela, pahlawan Melayu yang sangat terkenal dan mempuyai kaitan secara langsung dengan peristiwa Pasir Salak pada abad ke-19 dahulu. Pemandangan dari Pasir Salak menuju ke Teluk Intan diwarnai dengan kampung-kampung Melayu, bendang dan kawasan paya yang menjadi tumpuan beberapa orang pemancing. Agaknya mereka memancing ikan haruan atau bujuk yang kaya dengan khasiat perubatan.
Kami sampai di Teluk Intan sekitar jam 6.30 petang. Kali terakhir saya mengunjungi bandar ini ialah kira-kira 18 tahun yang lalu. Sudah tentu bandar ini mengalami banyak perubahan. 18 tahun yang lalu, saya datang ke sini bersama keluarga. Kami pernah menginap di Hotel Anson. Saya tidak ingat kedudukannya dan cuba mencari hotel ini tetapi tidak berjaya. Kami bergerak mengelilingi bandar Teluk Intan. Menara Condong berada betul-betul di pusat bandar. Ketika menikmati pemandangan bandar Teluk Intan, perut saya terasa sakit. Saya mencari stesen minyak tetapi nampaknya tak berhasil. Akhirnya saya masuk ke Masjid Sultan Idris Shah II untuk menunaikan qada hajat. Rasanya ini adalah masjid daerah berdasarkan kepada saiz dan kapasiti ruang masjid. Sebenarnya pada masa yang sama, saya hendak mencari Jalan Berhala tetapi disebabkan sakit perut yang dah tak tertahan terpaksalah saya menukar arah. Apa istimewanya Jalan Berhala? Dikatakan bahawa satu masa dahulu iaitu sekitar tahun 1910-an, Syeikhul Islam Perak iaitu Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi pernah mengasaskan sebuah madrasah disini. Madrasah tersebut dikenali dengan nama Madrasah Ihsaniah. Ramai pelajar dari seluruh Alam Melayu datang menadah kitab kepada Syeikhul Islam. Nampaknya mungkin saya terpaksa datang sekali lagi kesini untuk melihat kesan-kesan sejarah madrasah yang sangat masyhur satu masa dahulu. Sebelum nama Teluk Intan digunakan, bandar ini memakai nama Teluk Anson. Ia mengambil nama sempena nama Kolonel Anson, pegawai British yang dikatakan telah bejasa kerana membasmi aktiviti perhambaan di Perak. Berdasarkan kepada buku yang ditulis oleh A.Talib Haji Ahmad yang (rujuk muka surat 26-28), Kolonel Anson merupakan sahabat baik Residen British pertama JWW Birch. Birch dengan bantuan Anson berunding dengan Sultan Perak pada masa itu iaitu Sultan Abdullah untuk menghapuskan aktiviti perhambaan di Hilir Perak yang melibatkan satu golongan yang disebut golongan diwek. Bagi mengenang peristiwa itu maka pembesar negeri dan sultan bersetuju untuk menukarkan nama Telok Mat Intan kepada nama Telok Anson. Sebetulnya perhambaan yang dimaksudkan itu adalah merujuk kepada golongan yang berhutang. Untuk menjelaskan hutang maka mereka ini perlulah bekerja dengan si pemiutang bagi menjelaskan hutang-hutang mereka. Malangnya pihak penjajah melihat si pemiutang ini sebagai kelompok pemeras kepada golongan si penghutang dan melihat ianya seperti satu penindasan. Setelah aktiviti perhambaan dihapuskan, Birch sebaliknya mengarahkan pula agar semua golongan membayar cukai dengan alasan untuk melicinkan pentadbiran. Sultan dan pembesar negeri diberikan political pension oleh pihak British. Tujuannya ialah untuk menghadkan penguasaan mereka dimana tugasan rasmi mereka telah dibataskan dengan hanya tertumpu kepada adat istiadat Melayu dan urusan agama Islam sahaja sedangkan British menguasai sepenuhnya pentadbiran Perak pada masa itu.
Saya tidak ada rancangan untuk bermalam di Teluk Intan, oleh itu saya terpaksa keluar dari bandar ini secepat mungkin sebelum gelap kerana tidak mahir dengan jalan disini. Jalan-jalan disini boleh tahan juga berseliratnya. Apatah lagi saiz bandar Teluk Intan agak besar rasanya lebih kurang saiz bandar Taiping, maka tidak hairanlah jika banyak jalan yang dihubungkan antara satu sama lain. Jalan-jalan disini ibarat puzzle. Saya terpaksa mengagak jalan yang perlu dilalui untuk sampai ke jalan utama yang mempunyai sign-board keluar dari Teluk Intan. Jalan keluar akhirnya ditemui. Kami mengambil jalan menuju ke Bidor untuk masuk semula ke Lebuhraya Utara Selatan. Jam ketika hampir sudah masuk pukul 7 malam. Jalan dari Teluk Intan ke Bidor agak lengang. Kiri kanan jalan hanyalah ladang kelapa sawit. Hari kian gelap. Tiada lampu di sepanjang bahu jalan. Matlamat saya pada masa ini ialah hendak mencari masjid untuk menunaikan solat maghrib. Kira-kira 20 km dari Teluk Intan, barulah kami bertemu sebuah masjid. Kami solat maghrib disitu. Selesai solat kami meneruskan perjalanan menuju ke susur masuk ke lebuhraya. Kami sampai di pekan Bidor 10 minit kemudian. Pekan Bidor agak lengang. Yang menghidupkan pekan ini adalah kedai-kedai makan. Jam baru pukul 8.00 malam ketika kami masuk ke lebuhraya.


Menara Condong Teluk Intan. Mercu tanda kebanggaan masyarakat setempat. Terletak betul-betul di tengah bandar

Deretan kedai didalam kawasan Masjid Sultan Idris Shah II, Teluk Intan

Sisi belakang masjid

Kolah tempat mengambil wuduk


Sisi hadapan masjid

Kami menunaikan solat maghrib di sebuah masjid dalam perjalanan ke Bidor


Pintu utama masjid

Berhenti seketika di hentian Rawang membeli air minuman

No comments:

Post a Comment