Friday, December 11, 2009

Syeikh Muhammad Jibril

Malam Jumaat lepas, saya menghadiri majlis khas bersama Syeikh Jibril di Masjid al-Falah USJ 9. Syeikh Jibril adalah seorang qari yang sangat terkenal di seluruh dunia. Selain mengimami solat, Syeikh Jibril turut menyampaikan syarah khas pada malam itu. Majlis berakhir sekitar jam 9.00 malam.
Biografi ringkas Syeikh Jibril
Nama penuh ulama besar ini ialah Syeikh Muhammad Muhammad As Sayyid Husnain Jibril. Beliau hafaz al-Qur`an 30 juz dan dikenali ramai sebagai seorang qari` yang sangat hebat yang memiliki suara yang sungguh merdu dimana suaranya itu sentiasa dirindui oleh umat Islam di seluruh dunia. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang sangat menitikberatkan ilmu al-Quran. Ayahanda beliau sendiri adalah seorang hafiz yang sangat masyhur di wilayah Qalyubiyah. Abangnya, Syeikh Sayyid Muhammad Jibril juga seorang hafiz dan mengajar di sebuah pusat pengajian tradisional milik Al Azhar di wilayah Ma’adi. Begitu juga saudaranya yang bernama Nashr dan saudara perempuannya juga hafaz 30 juz. Pada usia 5 tahun, ayahandanya menghantar beliau menimba ilmu kepada Syeikh Amir Utsman, pengajar al-Qur`an di desanya. Gurunya ini telah banyak mempengaruhi corak hidupnya. Kata beliau terhadap gurunya yang wafat di Makkah ini, “Dari Syeikh Amir saya mengambil bacaan al-Qur`an yang “bersih” dan tepat. Laki-laki ini adalah salah satu fadhilah untuk saya”. Beliau menyifatkan pertemuannya dengan Syeikh Amir adalah satu kenikmatan dari Allah. Setelah menghabiskan pengajian di peringkat Aliyah, beliau kemudiannya berpindah ke Jordan dan menjadi tenaga pengajar di Universiti al-Urduniyyah khusus dalam bidang al-Quran. Beliau kemudiannya menyelesaikan pengajian di Fakulti Syari’ah wa Al Qanun Al Azhar. Setelah menghabiskan pengajian, beliau seterusnya dilantik menjadi imam tetap di Masjid Amru bin Ash sejak dari tahun 1988. Kata beliau,“Allah telah memuliakan saya dengan solat dan menjadi Imam di Masjid Al Jami’ ‘Amru bin Ash, yang telah dibangun oleh lebih dari 80 orang sahabat Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam (SAW).” Kemerduan suaranya tatkala melantunkan ayat-ayat suci al-Qur`an menjadi daya tarikan tersendiri bagi warga Mesir. Dalam bulan Ramadhan, warga Mesir berduyun-duyun datang ke situ untuk mengikuti solat tarawih. Ada yang datang seawal jam 2 petang untuk mendapat saf-saf hadapan dan bukanlah sesuatu yang aneh apabila jumlah jemaah di masjid itu mencecah sehingga 500 ribu orang. Syeikh Jibril memang bercita-cita menjadi ahlu al-Qur`an semenjak dari kecil lagi dan akhirnya beliau berjaya meraih tingkatan tertinggi dalam bidang ini. Walaupun sentiasa dipuji atas sebab kemerduan suaranya dan sering mendapat jemputan menjadi imam solat diseluruh dunia naun Syeikh Jibril tidak pernah bersikap membanggakan diri. Kata beliau, tawadhu’ harus tetap dijaga. Bahkan, walau sudah ribuan kali menjadi imam solat di berbagai tempat, beliau masih tetap merasa seperti seakan-akan baru pertama kali menjadi imam. Pada bulan Mac 2004, beliau mula membangunkan lembaga pendidikan al-Qur`an yang dinamakannya dengan nama Dar Ubai bin Ka’ab yang terletak di wilayah Sayyidah Zainab, Kaherah. Ubai bin Ka’ab adalah salah seorang sahabat Nabi saw yang sangat alim, penghafaz al-Quran dan juga penulis wahyu. Pelajar yang mengikuti pendidikan disitu akan menghafaz lima juzuk setiap tahun selama enam tahun. Bermakna, selepas habis tempoh enam tahun seseorang pelajar itu akan menghafaz 30 juz. Pada masa yang sama, Syeikh Jibril juga mendirikan “kuliyah terbuka” yang tidak terikat pada sebarang usia, dimana bidang yang diajar adalah berkenaan tajwid dan bacaan al-Qur`an.
Cara Syeikh Jibril menghafal al-Qur`an
1. Cara yang terbaik menghafal al-Quran disamping mengukuhkan daya hafalan ialah dengan musyafahah iaitu dengan mendengar dan meniru selepas mempelajari hukum bacaan.
2. Hati hendaklah sentiasa bersih dan ikhlas setiap kali mengulangi hafalan
3. Syeikh Jibril mengulang hafalan pada waktu sebelum dan selepas solat subuh.
4. Beliau akan memahami terlebih dahulu tanda wuquf (berhenti) dan cara-cara hendak mengucapkan lafaz yang benar. Esoknya, beliau akan berusaha menghafal surah atau ayat yang dibaca pada hari sebelumnya.
5. Rutin harian Syeikh Jibril ialah mengulangi hafalan sebanyak 5 juz dalam sehari. Menurutnya ini adalah wasiat dari guru beliau iaitu Syeikh Amir Utsman.

Syeikh Jibril memandang berat tentang rutin mengulangi hafalan khususnya bagi seorang hafiz. Katanya, “Barang siapa meninggalkan al-Qur`an dalam sehari, maka al-Qur’an akan meninggalkannya dalam sepekan, barang siapa meninggalkan al-Qur’an sepekan, al-Qur’an akan meninggalkannya sebulan, dan barang siapa meninggalkan al-Qur’an sebulan, maka al-Qur`an meninggalkannya setahun dan barang siapa meninggalkan al-Qur`an setahun maka yang bersangkutan akan lupa, ertinya kita harus memulakan semula hafalan dari peringkat awal.”




Saya singgah di sebuah surau di Puchong Utama untuk menunaikan solat maghrib


Ruang dalam surau

Kereta memenuhi ruang parkir Masjid al-Falah USJ 9


Syeikh Jibril sedang menyampaikan syarahannya


Para jemaah mengambil peluang untuk bersalaman dengan Syeikh Jibril

Syeikh Jibril qari terkenal dari Mesir

Anak kecil juga tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama dengan Syeikh Jibril pada malam itu

No comments:

Post a Comment