Tuesday, April 28, 2009

al-Falah USJ dan al-Habib Umar bin Hafidz

Ini adalah gambar masjid al-Falah USJ 9 yang saya ambil pada 23 April 2009. Masjid ini sekali lagi akan dikunjungi oleh ulama yang sangat masyhur dalam dunia Islam pada masa ini iaitu al-Habib Umar bin Hafidz. Poster tentang kunjungan al-Habib telah diedarkan secara meluas (Maklumat terkini: Kunjungan Habib Umar bin Hafidz dibatalkan)

Masjid al-Falah USJ 9. Gambar ini diambil beberapa minit menjelang maghrib. Masjid ini sekali lagi akan menerima kunjungan ulama besar dari Tarim, Hadramaut iaitu al-Habib Umar bin Hafidz pada 11 Mei ini.



Poster tentang kunjungan al-Habib tahun ini

Gambar al-Habib Umar bin Hafidz

Pengajian al-Habib Umar di Dar al-Mustafa


Dar al-Mustafa di Tarim, Yaman. Institusi pengajian ini menjadi tumpuan pelajar dari seluruh pelusuk dunia

Suasana di Dar al-Mustafa dalam majlis maulid

Makam Nabi Hud yang terletak tidak jauh dari Dar al-Mustafa

Pengajian di Dar al-Mustafa. Lihatlah kepada wajah pelajar-pelajar yang hadir yang bukannya dari Tanah Arab sahaja tetapi dari seluruh pelusuk dunia termasuklah Eropah, Amerika Syarikat dan benua Australia

Asrama penginapan pelajar
Sedikit biodata ringkas tentang al-Habib Umar bin Hafidz

Salasilah al-Habib Umar adalah seperti berikut,
Al-Alamah al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abdullah bin Abi Bakr bin Idrus bin Umar bin Idrus bin Umar bin Abi Bakr bin Idrus bin al-Husin bin al-Shaikh Abi bakr bin Salim bin Abdullah bin Abd. al-Rahman bin Abdullah bin al-Shikh Abd. al-Rahman al-Saqaf bin Muhammad Maulay al-Duwailah bin Ali bin Alawi bin Muhammad sahib al-saumiah ibn Alawi bin Abdullah bin al-Imam al-Muhajir ila Allah Ahmad bin Isa bin Muhammad al-Naqib bin Ali al-Aridhy bin Jafar al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zain al-Abiddin bin al-Husin al-Sibthi bin Ali bin Abi Thalib dan Fatimah al-Zahra’ binti Saidina Muhammad Khatam al-Nabiyin selawat, salam dan keberkatan ke atasnya dan ke atas mereka seluruhnya.
Al-Habib Umar dilahirkan di Bandar Tarim, Hadramaut Negara Republik Yaman sebelum fajar hari Isnin 4 Muharam 1383H bersamaan 27 Mei 1963M. Beliau mendapat pendidikan awal daripada ayahandanya yang ketika itu menjawat jawatan mufti di Tarim. Seterusnya menerima ilmu daripada ulamak-ulamak Hadramaut yang ada pada masa itu, antara guru beliau yang utama ialah al-Habib Salim bin Abdullah al-Shathry. Bermula tahun 1402H bersamaan 1982M al-Alamah al-Habib Umar berulang-alik ke al-Haramain al-Sharifain untuk menimba ilmu dan tarbiyah daripada al-Imam al-Arif al-Daiyah al-Habib Abd al-Qadir bin Ahmad al-Saqaf, al-Arif al-Daiyah al-Habib Ahmad bin Taha al-Hadad, al-Arif al-Alamah Abi Bakr al-Athas bin Abdullah al-Habasi dan beliau menerima ijazah al-Asanid daripada al-Musnid al-Shaikh Muhammad Yasin al-Fadany dan al-Alamah Muhadith al-Haramain al-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliky dan ulamak-ulamak lain.
Beliau mula mengajar dan melaksanakan tugasan dakwah Islam ketika berusia 15 tahun disamping meneruskan pengajian secara talaqi. Berdakwah, mengajar dan belajar telah sebati dalam jiwa beliau. Ayahandanya, al-Habib Muhammad bin Salim adalah salah seorang ulama intelektual Islam yang mengabdikan hidupnya dalam menyebarkan dakwah agama Islam. Beliau secara tragis diculik oleh kelompok komunis dan dipercayai telah meninggal dunia. Dalam menyampaikan dakwah, Habib Muhammad terkenal lantang dalam menyeru umat kepada jalan Allah dan syariatNya. Vokalnya dalam menyampaikan kebenaran tidak dapat dihalang sehingga dengan kepala diacukan pistol beliau tetap menyatakan kebenaran tanpa takut dan gentar. Hal ini membuatkan pemerintah komunis sangat gusar pada waktu itu. Kemuncaknya ialah pada bulan Dzul Hijjah 1392H tatkala beliau dan anakandanya al-Habib Umar yang baru berusia 9 tahun beri’tikaf dalam Masjid Jami` Tarim menunggu masuk waktu solat Jumaat, Habib Muhammad telah dijemput oleh 2 orang polis dan dibawa ke balai yang berdekatan. Sehingga selesai solat Jumaat, Habib Muhammad tidak kembali lagi. Sejak saat itu tidak ada khabar berita mengenai beliau dan tidak diketahui samada beliau telah wafat atau masih hidup. Ramai yang percaya bahawa beliau telah dibunuh syahid oleh pemberontak komunis tersebut kerana khuatir akan pengaruh dan kelantangan beliau. Didepan mata al-Habib Umar sendiri, ayahandanya diculik oleh golongan komunis lalu al-Habib ‘Umar bersendirian pulang ke rumahnya dengan membawa syal milik ayahnya. Seperti yang disebut tadi, sejak dari peristiwa itu, ayahnya tidak pernah terlihat lagi. Syal yang ditinggalkan oleh ayahandanya seakan-akan memberi petunjuk bahawa al-Habib Umar adalah calon yang bakal menyambung tugas dakwah ayahandanya. Al-Habib mula mengumpul jemaah, membentuk majlis-majlis ilmu dan menyebarkan dakwah ke seluruh pelusuk dunia. Perjuangan dan usahanya yang keras demi melanjutkan pekerjaan ayahandanya mula membuahkan hasil. Kelas-kelas dibuka bagi anak muda mahupun orang tua di masjid-mesjid setempat dimana ditawarkan pelbagai program menghafaz Al Qur’an dan juga ilmu-ilmu pengajian tradisional Islam yang lain.Pada tahun 1414H bersamaan 1994M apabila kembali ke tanah tumpah darahnya, beliau telah mengasaskan sebuah pusat pendidikan Islam yang diberi nama “Dar al-Musthafa” di Bandar Tarim Hadramaut. Ini berikutan daripada pelajar-pelajar yang datang dari beberapa Negara Islam untuk menerima didikan daripada beliau. Diperingkat awal penubuhan Dar al-Mustafa diasaskan atas beberapa matlamat seperti berikut:-
1. Menimba ilmu syariat dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya secara talaqi daripada guru-guru yang berkeahlian dalam bidang tersebut berserta sanad mereka
2. Membersihkan jiwa serta mendidik akhlak
3. Mengarusperdanakan ilmu-ilmu yang bermanafaat serta dakwah kepada Allah
Akhirnya Dar al-Musthafa mampu membangunkan tapak pengajian sendiri yang dinobatkan secara rasmi sebagai sebuah pusat pengajian dan pendidikan Islam pada 29 Zu al-Hijjah bersamaan 6 Mei 1997. Kini Dar al-Mustafa begitu mendapat perhatian daripada pelajar-pelajar seluruh dunia Islam, ditambah pula graduan-graduannya telah diiktiraf oleh al-Azhar al-Sahrif dan kebanyakan universiti terkemuka dunia Islam.
Dar-al-Mustafa menjadi hadiah beliau bagi dunia, dan di pusat pengajian itu pulalah dunia diserukan. Dalam waktu yang dapat dikatakan demikian singkat, penduduk Tarim menyaksikan berkumpulnya pada murid dari berbagai daerah atau negara yang jauh bersatu di satu kota. Murid-murid datang dari pelbagai pelusuk negara seperti dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Kepulauan Comoro, Tanzania, Kenya, Mesir, United Kingdom, Australia, Pakistan, Amerika Syarikat, Kanada dan juga negara-negara Arab yang lain.Al-Alamah al-Habib Umar al-Hafiz telah banyak membuat lawatan dakwah Islami dan menyampaikan ilmu ke negara-negara Islam lain seperti Syria, Mesir, Sudan, Pakistan, Indonesia, Brunei Darussalam dan negara kita Malaysia.

No comments:

Post a Comment