Misi seterusnya ialah ke Kuala Kangsar. Dari Kota Lama Kanan (sila rujuk artikel saya sebelum ini, Penyaksian di Kota Lama Kanan), kami menyusuri Jambatan Sultan Azlan Shah dan sampai di Kuala Kangsar sekitar jam 5.00 petang. Tempat pertama yang disinggahi ialah Makam Temenggong Wan Hassan. Boleh dikatakan ia adalah kompleks makam kerana kebanyakan saudara-mara sebelah Temenggong Wan Hassan dimakamkan disini. Kompleks makam ini terletak di dalam bandar Kuala Kangsar.
Pandangan depan kompleks makam
Dari sisi pintu masuk kompleks makam
Satu makam dibahagian depan. Lupa pula siapa pemiliknya
Kalau tak silap saya inilah makam Temenggong Wan Hassan beserta dengan kerabat keluarga yang lain
Disatu sisi yang lain makam Temenggong Wan Hassan
Setelah selesai menziarahi makam Temenggong Wan Hassan. Kami menziarahi pula Makam Daeng Selili. Daeng Selili merupakan moyang kepada semua nama Temenggong yang saya sebutkan tadi, bahkan moyang saya juga. Daeng Selili merupakan satu figur penting di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah ke-3 yakni pada tahun 1700-an. Daeng Selili telah dilantik oleh Sultan sebagai Mufti Negeri Perak yang pertama. Beliau turut dikenali sebagai Haji Besar kerana dikatakan mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang agama pada waktu itu. Makam Daeng Selili terletak di tepi Sungai Perak di Kampung Padang Changkat. Lokasi Kampung ini adalah berdekatan dengan Istana Iskandariah. Dari makamnya, kederangan bunyi deruan sungai yang mendamaikan. Saya sangat suka suasana kampung disini yang sangat nyaman dan damai. Kuala Kangsar sebenarnya adalah kota ilmu pada satu masa dahulu. Saya rujuk pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Shah iaitu anakanda kepada Sutan Idris Murshidul Adzam Shah. Sultan Iskandar Shah memerintah dari tahun 1918 hingga 1938. dalam tempoh 20 tahun baginda memerintah, ramai ulama terkenal di Alam Melayu bahkan dari Tanah Arab datang ke Kuala Kangsar. Ini adalah kerana Sultan Iskandar Shah sangat mencintai ilmu dan suka berdampingan dengan para ulama. Antara ulama terkenal yang pernah menjejakkan kaki dan menabur bakti di Kuala Kangsar ialah seperti Haji Wan Muhammad yang telah dilantik sebagai mufti kerajaan (Beliau berasal dari Kelantan dan ramai ahli keluarganya kini menetap di Bukit Chandan, Kuala Kangsar), Syeikhul Islam Mohd Saleh al-Minangkabawi yang berasal dari Sumatera Barat yang menghasilkan kitab Kasyf al-Asrar yang terkenal itu, Syeikh Abdullah Fahim, datuk kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri Malaysia ke-5 ), Syeikh Tahir Jalaluddin (ahli falak terkenal yang menghasilkan kitab Pati Kiraan) dan Syeikh Abdullah al-Ghadamsi al-Maghribi yang berasal dari Maghribi. Sultan Iskandar sendiri turut mengarang sebuah kitab yang dikenali dengan nama Risalah Iskandar yang isi kandungannya menyeru rakyat supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam. Sultan Iskandar Shah pada masa itu menggalakkan kitab-kitab agama dicetak dan diterbitkan. Kitab Tuan Hussain Kedah kalau tak silap saya yang berjudul Hidayatul Mutafakkirin ada dicetak di Perak. Begitu juga dengan kitab Abdul Rauf Ali Fansuri yang berjudul Mawaidz Badiah, dicetak kembali pada zaman Sultan Iskandar Shah. Pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Shah, Madrasah Idrisiah mula dihuni oleh ramai pelajar yang dahagakan ilmu. Boleh dikatakan pada masa itu, ramai ulama berkampung di Kuala Kangsar. Ulama-ulama di seluruh Perak pada masa itu juga sangat aktif menyebarkan dakwah. Antaranya ialah seperti Tuan Yunus Akib, Tuan Haji Nawawi yang juga terkenal dengan gelaran Pak Wi dan ramai lagi. Syeikh Zubair Ahmad yang pernah menjadi mudir Madrasah al-Ulum di Makkah Mukarramah juga pernah bermastautin di Kuala Kangsar apabila dilantik menjadi mudir Madrasah Idrisiah. Saya sangat rindukan suasana seperti itu. Mungkin dengan adanya Kolej Islam Darul Ridzuan yang terletak di Bukit Chandan, kegemilangan Kuala Kangsar sebagai kota ilmu akan kembali bersinar.
Papan tanda di Makam Daeng Selili
Makam Daeng Selili. Boleh dikatakan kawasan ini juga adalah satu kompleks pemakaman kerana terdapat makam-makam lain disitu. Mungkin semuanya adalah ahli keluarga Daeng Selili.
Selepas menziarahi makam Daeng Selili, kami kemudiannya singgah di rumah bapa saudara sebelah ayah saya yang terletak di Taman Sri Chandan kerana hendak mengambil salinan salasilah keluarga Hamam (Nyang saya). Ayah Ani, panggilan kepada ayah saudara saya yang nama betulnya ialah Ahmad Suffian merupakan anak keempat dari sembilan orang adik-beradik. Ayah saya adalah anak yang ketiga. Kira-kira lima belas minit selepas itu, kami pun pulang ke Taiping. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di satu kawasan Makam yang dikenali orang sebagai Makam Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. Lokasinya terletak berdekatan dengan MCKK (Malay College Kuala Kangsar dan SMK Clifford. Makam ini kalau tak silap saya bertentangan dengan kedai 'Used Car'. Kalau dari Kuala Kangsar menuju ke Taiping, makam ini terletak disebelah kanan jalan. Khabarnya makam ini bukanlah makam sebenar tetapi merujuk kepada tempat persinggahan atau tempat melintasnya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, seorang Wali Allah yang sangat masyhur pada satu masa dahulu. Saya tidak begitu pasti samada Syeikh Abdul Qadir al-Jailani yang dimaksudkan itu adalah Sultanul Aulia yang sangat terkenal itu atau ada nama Wali lain yang juga menggunakan nama yang sama. Wallahualam
Inilah makam yang dimaksudkan. Gambar tidak berapa jelas kerana waktu pada masa itu hampir pukul 7.00 malam. Tambahan pula saya hanya menggunakan kamera telefon.
Menurut yg empunya diri....makam tu...memang tempat jasad beliau di makamkan.....Wallahualam....
ReplyDeleteSalam. Di manakah lokasi makam Syeikh Tahir Jalaluddin ya?
ReplyDeleteBerminat mahu menziarahi makam beliau memandangkan Hamka juga pernah menziarahi makam tersebut