Pada 8 Mac 2009 yang lepas, saya menghadiri majlis Maulidur Rasul yang diadakan di Taman TAR, Ampang. Majlis ini dipimpin oleh Al-Fadhil Asy-Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki yang merupakan penasihat Yayasan Sofa dan juga ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan. Saya sampai dimasjid ini lebih kurang pukul 5.30 petang kerana program dijangka bermula pukul 6.00 petang. Bas-bas yang membawa pelajar sudah memenuhi bahu jalan. Begitu juga dengan kereta-kereta para jemaah yang hadir. Tandas bergerak disediakan diluar perkarangan masjid. Sambutan yang diberikan sangat menggalakkan. Saya anggarkan jemaah yang hadir ada lebih kurang 2000 orang atau mungkin lebih. Pukul 6.00 petang, majlis bermula. Asy-Syeikh menerangkan fadilat kitab selawat dan seterusnya mengijazahkan kitab tersebut pada jemaah yang hadir. Tentang isi penerangan kitab ini, ada diterangkan secara ringkas dibawah ini. Pukul 7.00 petang, pengijazahan kitab selawat selesai dan sambil menanti solat Maghrib, saya meninjau-ninjau jualan kitab di perkarangan masjid. Selesai solat maghrib, majlis dimulakan dengan Maulid Daibaie. Kemudian disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Nazir Masjid Taman TAR. Seterusnya, Asy-Syeikh memberikan syarahan tentang kitab Hadith Keistimewaan Rasulullah. Dalam majlis itu juga Asy-Syeikh ada mengijazahkan satu hadith musalsal. Saya pohon maaf kerana tiada gambar tentang majlis Maulid disertakan dalam artikel ini. Pada masa itu, tak terlintas pun di fikiran saya untuk mengambil gambar. Majlis berakhir sekitar jam 10.30 malam. Dibawah ini saya sertakan sedikit informasi kitab-kitab yang telah diijazah dan disyarah oleh Asy-Syeikh pada malam itu, moga ia memberi manfaat pada kita semua. Insya-Allah
Kitab Selawat Pilihan
Selawat-selawat pilihan yang berjumlah 30 semuanya ini dikumpulkan oleh almarhum al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki al-Hasani dan dikeluarkan di Malaysia oleh muridnya yang telah dianggap sebagai ahli keluarganya sendiri iaitu al-Fadhil asy-Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki pada bulan Mac 2009. Pengumpul kitab ini iaitu al-Muhaddith Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki adalah ulama yang sangat terkenal dalam dunia Islam. Beliau mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang Hadith dari Universiti al-Azhar dengan taqdir Mumtaz ketika berusia 25 tahun. Beliau lahir pada tahun 1946 dan meninggal dunia pada hari Jumaat 15 Ramadhan 1425 H bersamaan dengan 29 Oktober 2004. Kehilangannya begitu dirasai dalam dunia Islam tetapi beliau telah meninggalkan kitab-kitab yang sangat berharga yang menjadi rujukan kepada kebanyakan ulama lain.
Antara Selawat yang terkandung didalam kitab ini ialah seperti Selawat al-Ibrahimiyyah, Selawat Syafaat, Selawat al-Ummiyyah, Selawat al-Anasiah. Didalam kitab ini ada disenaraikan tempat-tempat yang disunatkan kita membaca selawat dan masa-masa yang digalakkan membaca selawat. Asy-Syeikh menganjurkan kitab ini dibaca setiap hari. Atau jika tidak mampu bacalah satu hari satu selawat. Itulah sebabnya kitab ini menghimpunkan 30 selawat dengan harapan si pembacanya jika tidak mampu sekalipun membaca satu kitab satu hari dapatlah kiranya membaca satu selawat satu hari dalam masa sebulan.
Kitab 40 Hadith Keistimewaan Rasulullah
Kitab ini ditulis oleh Abu al-Fadhl Abdullah ibn Muhammad al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani lalu diterjemah oleh al-Fadhil Asy-Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Kitab ini dicetak oleh Yayasan Sofa pada bulan Mac 2009 sejurus selepas Asy-Syeikh selesai menterjemah kitab ini. Pengarang kitab ini iaitu Abu al-Fadhl Abdullah ibn Muhammad al-Siddiq al-Ghumari ini adalah seorang ulama Ahlul-Bait. Beliau lahir pada tahun 1910 dan wafat pada tahun 1993 di Tonjah. Setelah menghafaz al-Quran dan mengkhatamnya mengikut Qiraat Warash dan Hafs, beliau kemudiannya mula menghafaz matan-matan ilmu dan sebahagian besar Nazam al-Kharraz yang dinamakan Mawrid al-Zam’an. Beliau turut menghafaz beberapa kitab-kitab besar yang lain. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Morocco. Disitu, beliau mula menulis sebuah kitab yang mensyarahkan Matan al-Ajrumiyyah. Pada tahun 1930, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar. Beliau mendapat ijazah al-‘Aliyyah yang tarafnya sama atau lebih tinggi dari ijazah falsafah kedoktoran selepas menduduki peperiksaan dalam 12 bidang ilmu Islam.
Tentang kitab ini, seperti kata Asy-Syeikh Muhammad Fuad, ianya mengandungi 40 hadith keistimewaan Rasulullah saw yang memaparkan ketinggian dan kemuliaan Rasulullah saw yang terlalu istimewa. Baginda adalah semulia-mulia makhluk disisi-Nya. Kata pengarang asal kitab ini dalam muqaddimahnya,
“Dan aku naik saksi bahawa Junjungan kami, Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, insan pilihan dan kekasih-Nya, Allah menjadikannya sebagai Nabi ketika Adam masih lagi dalam proses kejadian dan diambil perjanjian dengannya ke atas sekalian para nabi. Kemudian, Allah mengutusnya dalam keadaan dikuatkan dengan mukjizat-mukjizat yang hebat-hebat dan melebihkannya dari yang lain dengan bermacam jenis keistimewaan dan kemuliaan”
Disebut oleh Abu al-Fadhl Abdullah ibn Muhammad ketika menukilkan kitab ini,
“Adapun berikutnya, maka ini adalah 40 hadith pilihan mengenai kelebihan Penghulu dan Junjungan kita, Rasulullah saw. Dengannya, saya berkhidmat disisi Halaman Nabawi dan menghadiahkan para muhibbin bagi maqamnya yang tinggi. Saya menjadikannya sebagai wasilah untuk mencapai syafaatnya pada hari seseorang itu lari daripada saudara, ibu dan ayahnya dan juga daripada rakan dan taulannya.”
Abu al-Fadhl telah membahagikan bab-bab dalam kitab ini seperti berikut;
1. Keistimewaan Nabi Muhammad saw telah bermula di Alam Roh
2. Keistimewaan Nabi Muhammad saw ketika dilahirkan dan zaman kanak-kanaknya
3. Keistimewaan Nama, Akhlak dan Kejadian Rasulullah saw
4. Keistimewaan Rasulullah saw semasa di dunia
5. Keistimewaan Rasulullah saw menerusi mukjizatnya yang banyak
6. Keistimewaan Rasulullah saw di Alam Barzakh
7. Keistimewaan Rasulullah saw pada Hari Kiamat
8. Keistimewaan Umat Muhammad saw
Kitab yang diterjemah oleh Asy-Syeikh Muhammad Fuad ini tebalnya 68 mukasurat. Bahasanya mudah dihadam dan mudah lekat didalam jiwa. Mudah-mudahan dengan membaca kitab ini, seluruh jiwa raga kita akan bertambah-tambah lagilah mengasihi Rasulullah saw.
Untuk mendapatkan kitab-kitab ini, bolehlah menghubungi Syeikh Abd Jalil (Sofa Production) di no. berikut; 013-3302143
No comments:
Post a Comment