Mufti Iraq sedang memberikan tausyiah pada malam itu
Agak ramai juga jemaah yang hadir walaupun hebahannya tidaklah seluas hebahan majlis di Masjid Negara
Latar belakang tasik dan Bandaraya Shah Alam. Pemandangan malam yang indah. Diakhir majlis, kami dijamukan nasi beriani oleh pemilik restoran tersebut.
Seterusnya pada 11 April 2009, saya dan adinda saya menghadiri majlis Maulidur Rasul di Masjid Negara. Kami sampai di Masjid Negara seawal pukul 4.30 petang. Ramai ulama tersohor hadir pada malam itu dan memberikan syarahan samada dalam dan luar negara. Ulama dari dalam negara yang memberikan syarahan ialah Asy-Syeikh Dr. Muhammad Uthman el-Muhammady, Asy-Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki dan Asy-Syeikh Afeefudin al-Jailani yang juga merupakan penganjur majlis pada malam itu. Dari luar negara ialah seperti Mufti Iraq, Profesor Dr. Rafi Al-Ani; Penasihat Majlis Tertinggi Islam Australia, Dr. Ibrahim Salem; bekas Reaktor Universiti Al-Azhar, Dr. Ahmed Omar Hashem, Presiden Lembaga Amanah Universiti Al Ahqaf, Yaman; Habib Umar Hamid Al-Gailani dan Mufti Mesir Profesor Dr. Ali Gomaa Mohamed Abdelwahab. Dianggarkan kira-kira 5000 orang jemaah hadir pada malam itu. Pada malam itu, jemaah dihadiahkan dengan sebuah kitab bertajuk Qasidah Burdah yang ada dihuraikan serba ringkas dibawah ini.
Pemandangan dari luar Masjid Negara. Ketika ini saya dan adik saya membeli burger untuk mengalas perut
Jemaah sedang khusyuk mendengar syarahan mantan Rektor al-Azhar
Buku Qosidah al-Burdah ini telah disusun oleh Syeikh Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al-Linggi, anak murid kepada Asy-Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Selain dari memuatkan biografi dan qasidah al-burdah, buku ini turut memuatkan gambar-gambar penting yang berkaitan dengan Burdah Rasulullah saw dan tempat atau lokasi yang ada kaitan dengan pengarang Qasidah ini iaitu Imam al-Busairi.
Sejarah Qasidah ini sangatlah menarik untuk dibaca. Ianya bermula semasa Imam al-Busairi mengalami sakit lumpuh separuh badan. Penyakit tersebut cuba diubati tetapi gagal. Ramai tabib dan doctor yang pakar datang mengubat tetapi tidak berjaya. Dalam keadaan lumpuh itu, timbul ilham difikiran Imam al-Busairi untuk menulis sebuah Qasidah memuji Baginda Rasulullah saw. Walaupun dalam keadaan lemah, hatinya begitu bersemangat untuk menulis sebuah Qasidah yang teristimewa buat Junjungan Baginda saw. Beliau pun menulis satu demi satu sehinggalah apabila selesai bait yang ke-161, beliau kemudiannya tertidur. Didalam tidur itu, beliau bermimpi melihat Rasulullah saw. Dalam mimpinya, Rasulullah saw menziarahinya dan menyapu tangannya yang mulia pada tubuh Imam al-Busairi lalu menyelimutinya dengan sehelai selendang yakni burdah. Sebaik sahaja terjaga dari tidur, Imam al-Busairi mendapati penyakitnya telah sembuh. Sebagai mengenang peristiwa yang sangat indah itu, Imam al-Busairi telah menamakan Qasidah yang dikarangnya itu al-Burdah yang bermakna selendang.Dalam menyusun buku ini, Syeikh Ahmad Lutfi telah merujuk kepada beberapa buah kitab antaranya seperti Hasyiah Bajuri ‘ala Matan Burdah yang ditulis oleh Imam Ibrahim al-Bajuri, Burdah al-Madih Mubarakah lil Imam Syarafuddin Abi Abdullah Muhammad al-Busairi Syarah yang ditulis oleh Dr Ahmad Umar Hasyim dan al-Burdah Syarhan wa I’raaban wa Balaghah yang ditulis oleh Muhammad Tahyi al-Hilwa.
No comments:
Post a Comment