Friday, October 2, 2009

Masjid Tokku Paloh

Walaupun saya pernah tinggal di Kota Bharu, Kelantan pada penghujung tahun 90-an tetapi saya tidak pernah menjejakkan kaki di negeri Terengganu. Sehinggalah pada tahun lepas apabila adik perempuan saya berkahwin dengan orang Terengganu akhirnya saya sampai juga di negeri yang kaya dengan hasil minyak ini. Adik ipar saya menyewa sebuah rumah di Losong untuk kemudahan kami yang datang dari Taiping 'bertanggak' (maksudnya berhimpun). Kami sampai di Losong lebih kurang jam 3.00 petang setelah bertolak awal pagi dari Taiping. Dalam perjalanan itu seingat saya kami berhenti dua kali, satu di Tasik Banding dan satu lagi di Pantai Penarik. Kedua-dua tempat itu mempunyai pemandangan yang sangat indah, sayangnya saya tidak merakamkan apa-apa gambar disitu. Lagipun kami berhenti dalam tempoh yang singkat, sekadar mengalas perut, mengisi apa-apa yang patut. Berbalik cerita Losong tadi, rupanya amat besar hikmahnya kami tinggal disini. Selain terkenal dengan keropok lekornya, Losong juga pernah menjadi pusat halaqah pengajian ulama-ulama besar satu masa dahulu. Antaranya Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong yang asalnya dari Kedah tapi kemudiannya memondok di Losong dan terus menetap disitu. Losong juga sangat dekat dengan Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam dan Masjid Kristal. Satu lagi tempat penting yang sangat hampir dengan Losong ialah Paloh. Apabila sebut nama Paloh, ianya pasti dikaitkan dengan seorang ulama besar pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 iaitu Tokku Paloh. Beliau tinggal disini. Beliau merupakan guru agama dan penasihat kepada Sultan Terengganu. Antara peninggalannya yang masih berdiri teguh ialah masjid yang pernah didirikannya. Masjid ini dikatakan dibina pada tahun 1862. Di masjid inilah Tokku Paloh menyampaikan ilmunya kepada penduduk setempat dan juga kepada penuntut yang dahagakan ilmu. Walaupun masa cukup padat, saya tetap tidak melepaskan peluang untuk menziarahi masjid ini. Masjid ini mempunyai keistimewaan tersendiri dan saya rasa amat bersyukur kerana berpeluang menziarahi masjid yang pernah menjadi saksi ketokohan seorang wali Allah iaitu Tokku Paloh satu masa dahulu. Untuk mengetahui lebih lanjut cerita tentang keunikan masjid ini, silalah baca artikel yang saya petik dari Utusan Malaysia, 5 April 2009.


Masjid Tok Ku Paloh – Timba tembaga jadi tarikan
dipetik dari Utusan Malaysia
KUALA TERENGGANU 5 April – Pertama kali menjejakkan kaki di Masjid Kampung Paloh di sini, pastinya anda akan terpukau melihat sebuah timba yang begitu unik di bahagian pintu masuk masjid berkenaan. Selepas diteliti, timba itu sebenarnya diperbuat daripada tembaga asli dan digunakan sebagai alat untuk menimba air dari perigi sebelum dimasukkan ke dalam kolah untuk kegunaan jemaah mengambil wuduk. Menurut cerita penduduk setempat, timba tembaga itu dikatakan pernah dicuri, namun setelah beberapa ketika, si pencuri meletakkan kembali timba itu ke tempat asalnya. Timba tembaga itu mempunyai ukiran Melayu tradisional yang menarik dan mengkagumkan. Disebabkan isipadu timba tembaga berat, sebatang tiang didirikan untuk dijadikan sebagai alat untuk memegang tali timba. Demikian antara beberapa keunikan dan keistimewaan Masjid Kampung Paloh yang terletak berhampiran Pekan Chabang Tiga di sini. Pengarah Lembaga Muzium Negeri, Mohd. Yusof Abdullah berkata, pembinaan masjid itu mempunyai kaitan dengan kemunculan seorang tokoh agama, Syed Abdul Rahman yang dikenali oleh penduduk setempat dengan panggilan Tok Ku Paloh. Beliau dilahirkan pada tahun 1839 dan dikatakan menuntut ilmu dengan ayahnya sendiri iaitu Syed Muhammad. ”Keturunan ulama itu adalah daripada salasilah Hussein al-Idrus, manakala Tok Ku Paloh pula mempunyai empat adik beradik. ”Tok Ku Paloh akhirnya menjadi seorang ilmuan Islam Terengganu yang terkenal pada zaman silam,” katanya.
Mengulas lanjut Mohd. Yusof berkata, berdasarkan catatan, Tok Ku Paloh banyak menabur jasa terhadap pembangunan di Terengganu dengan tugas penting yang dilakukannya sebagai penasihat kepada Sultan Zainal Abidin III. Berdasarkan kenyataan tersebut jelaslah bahawa terdapat hubungan rapat antara ulama dan umara di dalam menjalankan pentadbiran di negeri Terengganu. Menurut cerita, Tok Ku Paloh memikirkan suatu tempat yang sesuai untuk menyampaikan ilmunya dan bermula dari saat itulah terbinanya sebuah masjid pada tahun 1862 di Kampung Paloh. 90 peratus pembinaan masjid itu menggunakan kayu cengal dan tembesu. Kayu cengal dijadikan tiang utama dewan sembahyang dengan ukuran lilit 6X6 inci.
Menurut penduduk setempat, empat tiang yang lama masih dikekalkan sehingga kini, manakala pada bahagian tiang lain sudah digantikan dengan tiang yang lebih kecil. Tinggi bahagian dewan sembahyang adalah sembilan kaki dari bahagian lantai ke bahagian bumbung. Menurut cerita lain, pada peringkat awal pembinaan, masjid ini mempunyai ketinggian tujuh kaki dari aras tanah sebagaimana dilihat pada bahagian rumah-rumah lama orang Melayu di persekitaran kampung itu. Menyedari betapa pentingnya masjid ini dari segi sejarah, mendorong Muzium Negeri menjadikannya sebagai tapak Muzium Negeri Terengganu dan sudah diwartakan sebagai tapak muzium. Sebagaimana masjid tradisi yang lain, Masjid Kampung Paloh juga terdapat sebuah mimbar yang sekali imbas serupa dengan mahkota diraja, membuktikan betapa eratnya hubungan antara pengasas masjid ini dengan keluarga istana.
Sementara itu, warna hijau pada mimbar melambangkan kebersihan dan kesucian menjadikan sesiapa sahaja yang memandangnya pasti akan terpesona dengan warna yang sinonim dengan tumbuh-tumbuhan yang memayungi kawasan sekitar masjid. Selain mimbar, terdapat juga sebuah geduk tua yang masih utuh zaman berzaman. Geduk atau istilah lain disebut sebagai beduk atau tabuh dijadikan alat utama pihak pengurusan masjid memanggil jemaah bersembahyang dengan cara memukul pada kulit belulang.
Jarak yang dapat didengar apabila dipalu dengan pemukul adalah sejauh satu kilometer persegi.
Bunyi yang dihasilkan daripada beduk ini adalah pantulan daripada belulang sejenis kulit haiwan yang dikeringkan selama beberapa hari sebelum dimasukkan pada bahagian mulut tong yang besar. Sementara itu tongkat yang digunakan iman masjid ini untuk sembahyang Jumaat dikatakan diperbuat daripada jenis yang tahan lama dan ringan untuk dibawa. Tongkat itu pula adalah seusia Masjid Tok Ku Paloh. Selain itu kelainan lain masjid ini ialah setiap jemaah yang berkunjung pastinya perlu berhati-hati semasa menaiki atau menuruni tangga masjid.
Ini kerana tangga yang dibina agak curam dan tidak terdapat penghadang atau tempat untuk berpaut. Pada awalnya tangga mempunyai sembilan anak tangga tetapi kini ia mengalami perubahan mengikut keadaan dan suasana semasa. Lantaran itulah anak tangga di masjid itu juga turut dikurangkan kepada empat anak tangga sahaja.Kini anak tangga kayu ini jarang digunakan lagi setelah dibina tangga simen yang lebih selesa dan selamat. Pada permulaan masjid dibina, tempat mengambil wuduk dibina daripada batu-batu yang diambil dari sungai berdekatan tetapi kemudian kolah ini diperbesarkan dan dicantikkan dengan meletakkan marmar di sekeliling dinding.
Terasa kesejukan menggigit tulang kepada setiap jemaah yang menggunakan air di dalam kolah ini. Selain daripada berwuduk, penduduk kampung juga menggunakan air kolah ini untuk mandi dan dijadikan ubat penawar bagi penyakit-penyakit tertentu. Mengenai kedudukan perigi yang terletak berhampiran masjid, ia dikatakan digali oleh penduduk kampung secara bergotong-royong. Antara keanehan utama perigi tua ini menurut penduduk setempat, ia dikatakan tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau. Dinding pada bahagian perigi diletakkan simen supaya tidak ditimpa tanah runtuh pada musim hujan lebat. Pada bahagian pintu masuk ke Masjid Tok Ku Paloh terpampang satu papan tanda yang menggunakan tulisan khat thulus. Papan tanda itu bermaksud ‘Masjid Ar-Marhum Engku Syed Abdul Rahman Tok Ku Paloh.’
Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMADutusanterengganu@utusan.com.my





Pemandangan masjid dari bahagian hadapan



Papan tanda masjid


Serambi masjid bahagian hadapan


Mimbar masjid yang dikatakan mirip seperti mahkota diraja


Timba tembaga yang unik yang dikatakan pernah dicuri tetapi kemudiannya dipulangkan semula oleh si pencurinya




Air perigi masih lagi digunakan untuk tujuan wuduk



Agak-agak berapa kedalaman perigi ini? 20 meter, 30 meter? Entah, tak pasti. Wallahualam


Timba tembaga yang mempunyai ukiran yang unik. Timba ini agak berat dan terpaksa disokong oleh sebatang tiang untuk memegang tali timba

4 comments:

  1. salam..cuba tuan buat lawatan semula ke masjid tersebut..semuanya dah berubah ..100% berubah dah jadi batu belaka..mungkin beberapa tiang ada lagikayunnya.

    ReplyDelete
  2. kedudukan kolah dan telaga berubah..

    ReplyDelete
  3. yang terbaru...ada batu tanda..kisah masjid dibina oleh almarhum tokku paloh

    ReplyDelete
  4. ada batu tanda terbaru..cuba perhatikan tulisan maklumatnya...

    ReplyDelete