Sunday, October 25, 2009

Program Haul Imam al-Haddad

Sebaik melihat pamplet program yang beredar di kebanyakan masjid di seluruh Lembah Kelang, saya sudah bertekad untuk menghadiri ketiga-tiga program haul seperti yang tercatat didalam pamplet tersebut. Pada aturcara majlis untuk hari Jumaat yang berlangsung di Masjid al-Falah USJ 9, tercatat bahawa program akan bermula pada pukul 6 petang. Apapun ketika saya sampai di masjid tersebut sekitar 6.15 petang, majlis masih belum bermula. Sebaik sahaja saya sampai ke perkarangan masjid, kelihatan sebuah mercedes berwarna hitam memasuki kawasan masjid dan parkir ditempat yang dikhaskan oleh pihak masjid. Kelibat yang keluar dari kereta tersebut ialah para VIP yang akan memimpin majlis pada hari itu antaranya ialah Habib Mohsen bin Hamed al-Haddad yang merupakan Naib Munsib al-Haddad Hawi di Tarim, Hadramaut. Disebabkan saya pada ketika itu betul-betul berada di hadapan laluan ke ruang solat utama masjid, maka saya sempat bersalaman dan mengucup tangan beberapa VIP yang sedang menuju masuk ke ruang solat utama masjid termasuklah Habib Mohsen. Setelah kesemua VIP berada didalam ruang solat utama maka barulah bacaan wirdul latif bermula. Kalau tak silap saya bacaan ini dipimpin oleh Sayyid Alwi Mustafa Al-Haddad. Bacaan bermula sekitar jam 6.30 petang dan berakhir kira-kira jam 6.50 petang. Selepas itu, hadirin diperdengarkan dengan bacaan qasidah Ya Dzaljalali wal Ikram yang dialunkan oleh Sayyid Alwi Mustafa al-Haddad sementara menanti masuk waktu maghrib. Tepat jam 7.00 malam, azan maghrib berkumandang. Solat maghrib berjemaah dipimpin oleh Imam Azian. Selepas solat, majlis bermula dengan bacaan Ratib al-Haddad yang dipimpin oleh Sayyid Alwi Mustafa al-Haddad. Ini disusuli dengan penerangan ringkas biografi oleh penganjur program iaitu Habib Abdul Rahman Isa al-Haddad yang merupakan pengasas Hawi al-Khairat di Malaysia. Selepas penerangan tersebut, hadirin diperdengarkan dengan alunan qasidah Qad Kafani yang dialunkan oleh Sayyid Alwi Mustafa al-Haddad. Ketika azan Isyak berkumandang, seorang lagi tetamu khas majlis sampai iaitu Syeikh Afifuddin al-Gaylani. Majlis diteruskan selepas azan Isyak dengan Habib Abdul Rahman bin Hussain As-Seqaf mengambil posisi di pentas utama untuk menyampaikan syarahannya. Selesai syarahan beliau, hadirin sekali lagi dijamu dengan halwa telinga. Kali ini qasidah didendangkan oleh Ustaz Muhib dari Syria. Beliau mengalunkan qasidah Ya Rasulullah Salamun 'Alaik. Syarahan disambung selepas itu dengan Syeikh Afifuddin al-Gaylani dan Habib Sholeh al-Jufri mengambil tempat di pentas syarahan. Qasidah Salamun-Salamun Kamiskil Khitam dialunkan oleh Sayyid Alwi Mustafa al-Haddad selang antara dua syarahan itu. Selesai syarahan oleh Habib Sholeh, hadirin yang hadir dalam majlis itu kemudiannya diijazahkan sanad dan matan Ratib al-Haddad oleh Habib Mohsen bin Hamed al-Haddad. Selesai pengijazahan tersebut, hadirin menunaikan solat isyak berjemaah sekali lagi dipimpin oleh Imam Azian sambil doa penutup dibaca oleh Habib Mohsen. Untuk pengetahuan, semua qasidah yang dialunkan pada malam itu adalah merupakan hasil nukilan al-Imam Qutub al-Irshad al-Habib Abdullah bin Alwi bin Muhammad al-Haddad yang hidup pada abad ke 12 Hijrah. Sebelum pulang, hadirin dijamu dengan makan dulang lauk daging kambing dan dalca. Di ruang legar masjid, hadirin mengambil kesempatan untuk melihat pelbagai barangan yang dijual antaranya kitab, tasbih, kopiah dan sebagainya. Tetapi gerai jualan yang paling laris berdasarkan pengamatan saya pada malam itu ialah gerai jualan poster ulama. Poster yang sold-out ialah poster almarhum Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki. Majlis berakhir sekitar jam 10.30 malam. Sebelum tidur, saya dah mula pasang impian untuk pergi ke kemuncak progam haul di Baitul Aman keesokan harinya. Sebaik bangun tidur pada pagi Sabtu, mata sebelah kanan saya merah dan ceme (loghat Perak maksudnya bengkak sikit). Sah kena sakit mata! Isteri saya juga sama. Anak lelaki saya adalah yang paling awal kena. Dia kena pada hari Khamis, kami kena pada hari Sabtu. Pada sebelah petang, mata kanan saya menjadi semakin merah dan denyut sampai menangkap ke kepala. Maka tak dapatlah saya hadir progam Haul di Baitul Aman. Hari Ahad kami sekeluarga ke klinik ambil ubat. Kalau semalam belah kanan, hari Ahad belah kiri pula. Hanya anak perempuan saya saja yang tak kena sakit mata. Hajat hendak hadirkan diri ke program haul di Masjid al-Bukhary pada hari Ahad nampaknya juga tinggal impian. Terpaksalah tunggu tahun depan, Insya Allah.

No comments:

Post a Comment