Saturday, October 17, 2009

Khusyuk Solat

Pagi tadi saya bukak TV seawal pukul 7. Tengok rancangan Tanyalah Ustaz. Kali ini dikendali oleh al-Fadhil Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir. Beberapa poin yang dapat saya kutip (secara bebas) ialah seperti berikut;
1. Untuk khusyuk, setiap bacaan dalam solat itu perlulah difahami maknanya. Ini adalah kerana setiap makna bacaan itu ada hikmahnya. Sebagai contoh, dalam bacaan rukuk, kita mengagungkan Tuhan. Apabila kita sujud, kita menjadi sehina-hina hamba dihadapan Tuhan kerana kita meletakkan anggota badan kita yang paling mulia iaitu dahi di tempat yang paling rendah iaitu atas lantai. Pada ketika itu, kita meletakkan Tuhan di peringkat yang tertinggi dan kita diperingkat yang terendah iaitu sebagai hamba-Nya.
2. Untuk khusyuk, kita perlu betulkan iktiqad akidah kita. Pastikan akidah kita itu adalah akidah yang sahih.
3. Untuk khusyuk, kita perlu jauhkan diri dari dosa-dosa besar dan kecil.
4. Untuk khusyuk, kita perlu bertaubat (nasuha).
5. Untuk khusyuk, pastikan perut kita jangan terlalu lapar. Jika lapar, isikanlah perut dengan sedikit makanan sebelum menunaikan solat supaya konsentrasi tidak terjejas.
6. Untuk khusyuk, bersegeralah menunaikan solat sebaik masuk waktu.
7. Untuk khusyuk, pandangan haruslah ditundukkan. Mata memandang pada tempat sujud.
8. Untuk khusyuk, selesaikan qada hajat terlebih dahulu jika ada terasa hendak menunaikannya. Ini penting supaya konsentrasi tidak terjejas.
Ada orang bertanya apakah boleh solat itu disegerakan (maksudnya dilakukan secara cepat-cepat)? Jawab: Dalam kitab Ihya Ulumuddin seperti yang dinyatakan oleh al-Fadhil Ustaz, ada dikisahkan satu cerita tentang sahabat Nabi saw yang bernama Ammar bin Yasir. Beliau ditegur oleh sahabat lain apabila didapati beliau menyegerakan solatnya. Lalu dijawab oleh Ammar, adakah aku mengurangkan solatku? Jawab sahabat, Tidak. Tetapi kenapa kamu menyegerakannya (maksudnya cepat-cepat menunaikannya)? Tanya sahabat kembali. Jawab Ammar, Aku menyegerakannya kerana ingin mendapat kekhusyukan dan menghindarkan perasaanku dari was-was syaitan. Ammar bin Yasir tetap menjaga rukun solat, menjaga syarat-syaratnya dan menjaga sunat solat walaupun melaksanakannya dalam keadaan yang agak pantas.

No comments:

Post a Comment